BUSANA sedondon dari Gedung Muslim.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


ADA pasangan suami isteri yang tidak suka tampil sedondon, tetapi ada juga sebaliknya. Namun atas faktor kesukaran mendapatkan busana sedondon yang menepati kriteria diinginkan menjadikan hasrat itu terbantut.

Bukan saja kelihatan manis malah memakai pakaian sedondon secara tidak langsung membuatkan kemesraan antara suami isteri itu lebih terserlah.

Tidak hanya pada musim perayaan atau ketika menghadiri jemputan majlis tertentu, ramai pasangan berusaha mencari busana sedondon untuk dipakai ketika mengerjakan ibadat haji atau umrah di Tanah Suci.

Berusaha bagi membantu pasangan suami isteri atau adik-beradik yang ingin menyarung busana sedondon ketika di Tanah Suci, Gedung Muslim menawarkan busana umrah dan haji berkualiti tinggi yang juga sesuai dipakai pada hari-hari biasa.

Pengasasnya Siti Sarah Zainol berkata, koleksi terbaru ‘Pakaian Sedondon di Tanah Suci’ menawarkan jubah dan kurta untuk lelaki dan wanita yang direka menepati tuntutan syariat Islam.

“Kami mengutamakan keselesaan pelanggan yang mana setiap koleksi ini dihasilkan daripada material tidak panas, tidak mudah berkedut dan memudahkan pergerakan.

“Selain itu, kami turut meletakkan zip pada hujung lengan bagi memudahkan mengambil wuduk juga zip di bahagian depan baju untuk koleksi wanita,” katanya yang menjalankan perniagaan atas talian di www.gedungmuslim.com.

Menurutnya, pihaknya menawarkan koleksi sedondon itu bermula saiz S hingga 3XL namun pelanggan juga boleh menempah busana mengikut ukuran badan sendiri.

“Semua koleksi dijual pada harga bermula RM99 hingga RM250 bergantung kepada koleksi dan rekaan.

“Selain untuk golongan yang ingin menunaikan umrah dan haji, koleksi ini juga sesuai digayakan penuntut tahfiz juga wanita bekerjaya yang ingin tampil anggun dengan fesyen Muslimah,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 5:20 AM