SITI Azlina tekad ajak lebih ramai wanita berniaga. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

KOMITED mengajak lebih ramai wanita mengecap kejayaan sepertinya, Master Stokis Meeracle, Siti Azlina Mhd Halil, baru-baru ini membuka satu lagi cawangan di Bandar Prima Senawang, Negeri Sembilan.

Mengenali wanita berperwatakan lembut dan murah dengan senyuman ini, Siti Azlina memang tangkas mengurus dan merangka pelan perniagaan jangka panjang. Kalau tidak, masakan setiap langkahnya menjadi perhatian ramai wanita lain.

Sedia maklum bukan semua orang berpeluang berdiri di tempatnya kini, wanita ini tekad mendidik lebih ramai wanita untuk yakin dengan kebolehan diri dan berani membuat perubahan demi kehidupan lebih berkualiti.

Kata Siti Azlina, 32, sebelum menjadi stokis utama, dia wanita biasa yang gigih meraih pendapatan dengan menjual nasi lemak di tepi jalan. Ketika itu, adiknya berniaga secara dalam talian dan memperoleh pendapatan yang agak lumayan.

“Seronok melihat hasil jualan adik, saya minta dia ajar cara berniaga dalam talian. Secara kebetulan saya ternampak iklan Meeracle di Facebook, jadi saya beli dan mencubanya. Melihat ia sesuai dengan kulit saya, saya mohon menjadi ejen di Melaka pada 2015.

“Berbekalkan modal permulaan RM490, saya beli 10 botol serum dan semuanya habis dijual dalam masa tiga hari.

“Melihat sambutan menggalakkan, saya jadi teruja. Hasilnya saya berjaya membuka pejabat di MITC Melaka dan memiliki lebih 1,000 wakil jualan di seluruh Malaysia. Semua ini hasil usaha dan sokongan ibu pejabat,” katanya.

SITI Azlina (kanan) bersama pengasas produk Meeracle, Noor Ameera Nordin memotong reben pada perasmian cawangan baharu di Senawang. FOTO Hasriyasyah Sabudin

Pada pelancaran Meeracle Outlet Senawang di Bandar Prima Senawang, Negeri Sembilan, Sabtu lalu, wanita ini sempat berkongsi pengalaman. Dia turut mengajak lebih ramai wanita mendaftar sebagai wakil jualan sah untuk meraih pendapatan sampingan yang selesa.

“Sebenarnya, banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa saya tempuh untuk ke tahap ini. Tetapi, disebabkan matlamat dan impian untuk berjaya, saya nekad berusaha menggapai impian.

“Hari ini, selepas empat tahun dalam dunia perniagaan produk kecantikan, syukur, saya berjaya membuka cawangan kedua di Senawang. Sejak dulu, membuka cawangan sendiri memang impian saya.

“Saya masih berpegang pada misi untuk membantu lebih ramai wanita berjaya dan mengubah kehidupan mereka. Tidak kira apa latar belakang mereka, saya sentiasa percaya setiap wanita sentiasa punya peluang untuk menyinar,” katanya yang sudah mempunyai lebih 200 wakil jualan di daerah berkenaan sejak cawangan itu dibuka dua bulan lalu.

Jelas Siti Azlina, dia kini menerima lebih 100 pelanggan baharu setiap bulan termasuk mendaftar sebagai wakil jualan. Itu tidak termasuk yang menyapa di laman Facebook Miss Meeracle Lynn.

“Saya harap lebih ramai wanita mengambil bahagian. Kami akan memberi tunjuk ajar, latihan dari segi pemasaran dalam talian dan bagaimana menjadi usahawan berjaya serta sokongan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 4:29 PM