ZHAFRI galas tugas bapa dan ibu selepas pemergian isteri akibat kanser.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


MENERUSI paparan di Facebook lelaki ini ada berkongsi gambar arwah isterinya, Nabilah Fahimy Mustapa sedang menyuapkan makanan ke mulut anak keempat mereka, Ainin Sofea Khairul Zhafri.

Dia menyifatkan anak ini sebagai paling manja dalam keluarga dan rapat dengan ibunya. Bagi Khairul Zhafri Abd Razak, 35, kehilangan isteri tersayang akibat kanser pada 17 Ogos lalu benar-benar meninggalkan kesan mendalam apatah lagi dia ditinggalkan bersama lima cahaya mata perempuan berusia antara sembilan tahun dan si kecil baru dua bulan.

Sebagai bapa dan kini ibu, sudah pasti tanggungjawab yang perlu digalas sangat besar dan hebat. Serba-serbi perlu diperhatikan termasuk keperluan diri, makan pakai dan jiwa anak yang perlu dibelai.

Begitu juga emosi diri sendiri, kesedihan, kenangan bersama yang sukar dilupakan dan segala macam perkara yang perlu digalas seorang diri.

Walaupun pada zahirnya susuk tubuh lelaki ini tampak gagah, apabila bercerita mengenai kehilangan isterinya, pasti air mata mengalir juga. Kata Khairul Zhafri atau mesra disapa Zhafri, perkara pertama yang dilakukannya adalah reda.

“Siapa yang tidak sedih. Apatah lagi, anak masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang ibu. Tetapi, saya terima hakikat sememangnya ini takdir Allah yang tidak dapat ditolak.

“Saya reda kerana kematian sesuatu yang pasti. Tiada siapa mampu beri jaminan boleh hidup sehingga esok.

Reda itu penting sebelum saya mengalihkan tumpuan kepada perkara lain.

“Tambahan pula melihat lima anugerah Allah ini saya sedar mereka adalah amanah dan perlu diuruskan dengan baik. Saya kembali tenang dan pulih semangat,” katanya memulakan bicara.

Zhafri bersyukur kerana dalam tempoh 25 hari selepas isteri meninggal, dia menerima sokongan kuat daripada kedua-dua keluarga termasuk mentua yang banyak membantu menguruskan anak.

Kata-kata semangat, sokongan emosi dan moral turut diterima daripada rakan, kenalan dan orang ramai menjadikan Zhafri mampu ‘berdiri’ tatkala jiwanya dilanda kesedihan.

Mengenai anak pula, mereka masih dalam proses memahami dan menerima hakikat pemergian ibu tersayang. Anak sulung yang berusia sembilan tahun paling jelas nampak kedukaannya.

“Mungkin kerana dia paling rapat dengan ibu. Kebiasaannya, arwah akan menjemput dan mengambil anak di sekolah selepas pulang daripada mengajar di sekolah. Dia juga akan terus menyiapkan kerja sekolah dengan bantuan ibunya.

“Tetapi, selepas kehilangan besar ini, dia seakan-akan tertunggu-tunggu kepulangan ibunya,” luah Zhafri.

Paling terkesan apabila baru-baru ini anak ketiga terpaksa dihantar pulang awal disebabkan menangis di sekolah. Apabila ditanya guru mengapa bersedih, dia memanggil ‘mama, mama’ tanpa henti.

Menurut Zhafri, buat masa ini dia cuba menyelami perasaan anak dan menggembirakan hati mereka dengan melakukan perkara yang disukai. Sebagai contoh membawa anak ke taman permainan, membeli buku dan meluangkan masa berbual bersama.

“Ini sahaja yang dapat melupakan kesedihan buat seketika. Apabila sesekali mereka teringat dan menangis, saya biarkan sahaja kerana kerinduan itu pasti ada dan sukar dilupakan. Ia mengambil masa,” katanya.


MEMBAWA anak mandi kolam bagi mengubat kesedihan mereka.

BIASA LAKUKAN KERJA RUMAH

Mengenai tugas hakiki isteri yang biasa dilakukan Nabilah, menurut Zhafri, sejak berkahwin dia sudah biasa melakukan kerja rumah. Ini kerana pada pemahamannya tugas di rumah sepatutnya dilakukan bersama dan bukan dibebankan di bahu isteri seorang.

Tiada apa yang perlu dimalukan kerana sebagai suami, mereka yang perlu berasa malu apabila isteri ‘terpaksa’ keluar mencari nafkah dan berkongsi pendapatan bagi menyara kehidupan keluarga. Jadi, apa salahnya suami membantu pula dalam melakukan kerja di rumah.

“Menyapu sampah, membasuh pinggan dan mengemas rumah ini adalah kerja mulia yang tidak menyebabkan maruah kita sebagai suami jatuh walaupun memegang jawatan tinggi di tempat kerja. Menjemur baju dan memandikan anak adalah perkara rutin yang saya lakukan. Kadang-kadang memasak juga untuk keluarga.

“Malah sejak arwah jatuh sakit pada Mei lalu, saya galas tugas seorang ibu, di samping mendapat bantuan ibu bapa saya. Saya juga mengambil cuti tanpa gaji bagi menjaga isteri sepenuhnya,” katanya.

Kata Zhafri, walaupun dia berjaya melakukan semua kerja yang dibuat isteri, kualiti tidak sama seperti hasil tangan arwah isteri. Memang dia seorang yang teliti. Daripada situ dia faham kesabaran sangat diperlukan untuk menjadi isteri dan ibu.

“Kadang-kadang ada suami tidak menghargai isteri. Langsung tidak membantu isteri melakukan kerja rumah dan membiarkan bebanan di atas bahunya seorang. Kasihan isteri, sudahlah bekerja sehari suntuk, apabila balik ke rumah dia perlu menjaga anak dan menyelesaikan semua tugasan.

“Nasihat saya kepada semua suami sebegini hargailah pengorbanan isteri dan kesusahannya membesarkan anak. Bantu isteri dengan melakukan kerja rumah. Isteri tidak minta lebih pun cukup sekadar memahami,” katanya.


KENANGAN Zhafri dan arwah isterinya, Nabilah bersama anak mereka.

HIDAP KANSER LIDAH

Bercerita mengenai penyakit arwah isterinya, kata Zhafri, semuanya berlaku secara mengejut. Isteri disahkan menghidap kanser lidah. Mulanya dia langsung tidak menyangka ulser yang kecil pada lidah dan tidak sembuh rupa-rupanya adalah petanda kanser.

“Saya membawanya bertemu doktor pakar pada Ramadan lalu dan selepas pemeriksaan dibuat doktor mengesahkan ia kanser lidah peringkat awal. Doktor mencadangkan lidah dibuang separuh bagi mengelakkan sel itu merebak,” katanya.

Lebih menyedihkan ketika itu isteri hamil anak kelima dan usia kandungan memasuki minggu ke-27. Sebelum pembedahan membuang lidah dilakukan, doktor mencadangkan bayi dikeluarkan disebabkan berisiko tinggi kerana tempoh pembedahan mengambil masa 11 hingga 12 jam. Dalam pembedahan yang lama seperti itu, bayi boleh terdedah kepada risiko seperti tidak cukup oksigen sehingga boleh membawa maut.

“Saya uga berbincang dengan beberapa doktor dan melakukan solat Istikharah memohon petunjuk Allah. Kami ada juga mendapatkan rawatan alternatif namun tidak menunjukkan tanda positif.

“Sebelum keputusan diambil, ahli keluarga berbincang dengan doktor pakar bagi mengetahui risiko dan prosedur berkaitan. Akhirnya kami bersetuju untuk meneruskan pembedahan dengan bertawakal kepada Allah sepenuhnya dan mengharapkan proses ini berjalan lancar,” katanya.

Alhamdulillah pembedahan mengeluarkan bayi pada 23 Jun lalu berjaya dilakukan dan bayi seberat 1.01 kilogram diberi nama Afiyah Wafa. Begitu juga pembedahan membuang keseluruhan lidah isteri turut menampakkan kesan positif. Rawatan susulan dan radioterapi turut dilakukan di Hospital Pulau Pinang.

Namun selepas tiga minggu, kesihatan isterinya mulai merosot. Melihat keadaan ini dia cuba sedaya upaya menunaikan permintaan isterinya termasuk keinginan melihat bayi mereka. Arwah menangis kerana terharu melihat si kecil yang masih di dalam inkubator disebabkan tidak cukup bulan.

“Isteri menangis saat menyentuh bayi, mungkin berasakan ini kali pertama dan terakhir melihat anaknya,” ceritanya sayu.

Melihat keadaan Nabilah yang bertambah teruk, doktor mencadangkan agar kemoterapi dilakukan. Namun Allah lebih menyayanginya apabila tanggal 17 Ogos jam 12 tengah hari dia menghembuskan nafas terakhir meninggalkan suami, anak dan keluarga.

Kata Zhafri, sebenarnya dia cukup terkesan melihat ketabahan dan kesabaran arwah menerima ujian kesakitan. Dia langsung tidak merungut atau mengeluh malah kerap kali berkata ‘saya reda dengan ujian ini’ yang membuatkan Zhafri menitiskan air mata.

“Ketika arwah masih ada, dia selalu mengingatkan saya supaya memberi pendidikan agama sepenuhnya kepada anak selain meminta mereka tidak lupa menitipkan al-Fatihah kepada ibu setiap kali selesai solat,” katanya yang berjanji akan melaksanakan semua pesanan arwah isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 5:30 AM