ZAIDAH kekal cergas pada usia 55 tahun turut saran berpantang seperti amalan wanita dahulu.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


“UMUR hanya angka, bukan penentu tahap aktiviti seseorang. Walaupun berusia lebih 50 tahun tidak semestinya wanita perlu mengehadkan aktiviti atau duduk di rumah melayan cucu. Sebenarnya pergerakan aktif akan membuatkan seseorang itu bertambah sihat. Banyak bergerak juga menyebabkan otak sentiasa berfikir lantas membuatkan wajah awet muda,” demikian menurut pelumba kereta, Zaidah Mohd Ishak, 55, yang juga nenek kepada lima cucu.

Melihat kepada kulit wajahnya yang masih tegang dan mulus tanpa sebarang cela, tubuhnya yang aktif dan cergas membuatkan ramai bertanya rahsianya. Sambil menunjukkan sebotol jamu kepada penulis, dia berkata, “Ini rahsia saya, amalan makan jamu Jawa”.

Kata Zaidah, ibunya seorang yang amat mementingkan kesihatan dan kecantikan. Sebab itu sebaik haid pertama Zaidah sudah diberikan segelas jamu buatan sendiri terdiri daripada sebiji telur ayam kampung dicampur madu dan kunyit.

“Mulanya saya menolak juga. Memikirkan rasanya yang pekat, payau sehingga melekat pada tekak. Namun ibu berulang kali meminta saya mengambilnya setiap bulan kerana banyak kebaikannya. Tambah pula untuk wanita yang baru datang bulan. Akhirnya saya menjadikan jamu kampung sebagai amalan sehinggalah mendirikan rumah tangga pada usia 23 tahun,” katanya.

Bagi Zaidah pengambilan jamu sangat berkesan sekiranya diamalkan sejak remaja. Ini kerana selain menguatkan organ dalaman terutama peranakan wanita, tubuh juga menjadi lebih sihat dan cergas.

Dia yang juga pemenang pertandingan Mrs Malaysia South East Asia Asia Supreme Pageant 2019 memberitahu, wanita kini seharusnya mengamalkan amalan berpantang dengan betul seperti wanita zaman dahulu. Sebaiknya selepas bersalin, perlu berurut sekurang-kurangnya tiga, lima atau tujuh hari, memakai bengkung, stoking, param dan pilis.

“Memang ini yang saya lakukan selepas melahirkan cahaya mata pertama. Bengkung tradisional tidak pernah lekang dari badan bermula hari pertama bersalin sehingga habis pantang. Saya juga tidak minum air sejuk hampir

tiga bulan.

“Ibu sangat mengambil berat ketika berpantang kerana badan perlu direhatkan sepenuhnya. Bayangkan ketika bersalin keseluruhan otot ditumpukan padanya, jadi apa salahnya 44 hari mengikut pantang Melayu. Selepas habis pantang boleh lakukan aktiviti semula, tetapi yang tidak membebankan badan,” katanya.

Pada masa sama, penjagaan makanan perlu selari. Selain mengamalkan pemakanan sihat seperti sayuran dan buah-buahan, makanan berangin, manis, masin dan berlemak perlu dielakkan.

Kata Zaidah, ramai wanita menganggap berpantang hanya untuk anak pertama. Sebenarnya ia perlu dilakukan setiap kali selepas bersalin. Jangan sesekali culas, kerana kesan akan dirasai apabila berusia nanti.

“Begitu juga wanita muda yang beranggapan mereka boleh keluar rumah dan berkunjung ke pusat beli-belah dalam tempoh berpantang kerana berasa cukup kuat. Jika boleh elakkan, kerana ia boleh mengakibatkan bentan atau meroyan. Bersabar seketika jika sayangkan tubuh anda,” nasihatnya.


MENGAMBIL jamu untuk kekal cergas setiap hari.

KHASIAT JAMU JAWA

Mengamalkan jamu ketika berusia 23 tahun, ujar Zaidah, jamu yang berasal dari Jawa ini mengandungi herba tradisional seperti kencur (cekur), halia, serai dan daun herba. Untuk kekal sihat, jamu diambil setengah gelas selepas bangun pagi ketika perut masih kosong.

“Oleh kerana saya penggemar jamu jadi rasanya yang pahit tidak menjadi masalah. Saya boleh menghabiskan setengah cawan jamu setiap hari. Sebagai pelumba kereta, saya perlu sentiasa sihat dan bertenaga terutama ketika sesi latihan dan perlumbaan.

“Bayangkan saya perlu mengawal tangan dan kaki ketika memecut. Jika tidak cukup cergas bagaimana boleh melakukannya,” katanya yang mengakui selain awet muda jamu juga menambah kecergasan dan rasa bertenaga setiap hari.

Memulakan aktiviti seawal jam 5.30 pagi, rutin wanita ini bermula dengan senaman kardio selama tujuh minit. Kemudian dia mengambil sarapan sekeping roti, bijirin atau dua biji telur rebus. Ini sudah memadai kerana kandungan protein dalam sajian paginya cukup memberi tenaga sementara menunggu tengah hari.

“Saya jarang mengambil nasi, tetapi melebihkan sayur-sayuran, buah-buahan seperti epal hijau dan lauk-pauk antaranya ikan atau ayam. Pada usia sebegini sudah semestinya metabolisme semakin menurun, apa sahaja yang dimakan akan menjadi lemak. Jadi saya sangat menjaga jenis makanan yang masuk ke dalam tubuh,” katanya yang gemar memasak pada

awal pagi untuk seisi keluarga.

Nenek lasak ini turut mengajak wanita untuk melakukan apa sahaja aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh. Sentiasa memikirkan perkara positif yang boleh meningkatkan kemajuan diri. Jangan sesekali membandingkan kelebihan orang lain dengan diri sendiri.

“Bagi suri rumah pula pelbagai perniagaan boleh dilakukan dan bukan hanya mengharapkan pendapatan suami. Wanita perlu ada duit dan kerjaya sendiri supaya fikiran mereka lebih terbuka luas. Gunakan peluang yang ada untuk meningkatkan pencapaian diri ke arah yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 5:15 AM