KOLABORASI dua pereka tampil gaya ringkas inspirasi wanita muda.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


MEMPERSEMBAHKAN 27 persalinan di pentas peragaan bersempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019 (KLFW) di Pavilion minggu lalu, buat pertama kalinya dua pereka berkolaborasi bagi mengetengahkan koleksi terkini mereka bertemakan gaya ringkas inspirasi daripada penggayaan wanita muda masa kini.

Menggabungkan nama TemujanjiXWanpa, istimewanya gabungan dua pereka ini apabila mereka sepakat menggunakan fabrik mesra tubuh selain praktikal untuk digayakan ke pejabat atau majlis keramaian.

Antara material yang menjadi pilihan termasuk sifon, satin, kapas dan crepe yang memberikan ilusi berbeza kepada si pemakai.

Mengetengahkan tema gaya masa hadapan si cantik manis, kedua-dua pereka mengambil potongan kasual moden sebagai asas dalam rekaan kemudian ia dizahirkan menerusi skirt, blaus dan gaun.

Pemilik Temujanji, Datin Seri Suzie Eryanty antara pereka fesyen yang sedang meningkat naik. Dia terkenal dengan identiti serba boleh apabila kerap menghasilkan padanan ke pelbagai acara seperti makan malam, anugerah permaidani merah dan busana perkahwinan.

“Namun kali ini saya berkongsi idea dengan Wanpa bagi menghasilkan rekaan yang lebih segar dan memikat hati ramai. Kerjasama dengan Wanpa ini diharap dapat memberi impak kepada industri fesyen seterusnya menjadi pilihan wanita dalam menampilkan gaya mereka,” katanya.

Antara selebriti yang pernah menyarung rekaan koleksi Temujanji termasuk Yana Shamsudin, Uqasha Senrose, Nelydia Senrose dan Nadia Brian.

Semua koleksi ini ditawarkan pada harga mampu milik bermula dari RM79 sehingga RM279 manakala bagi tempahan busana perkahwinan, harga bermula dari RM1,500.


POTONGAN gaun paras lutut dengan gaya peplum pada bahagian bawah memberikan teknik potongan berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 5:10 AM