BOLEH ancam nyawa, tingkat risiko bayi lahir tidak cukup bulan, kurang berat.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

MUDAH letih, berasa tidak sihat, emosi mudah terganggu dan tubuh lemah sering berlaku pada kebanyakan wanita mengandung. Keadaan ini memang nampak normal ketika ini hingga tidak diberikan perhatian serius.

Mereka menganggap ia mungkin kesan perubahan hormon dalam badan, namun sebenarnya masalah terbabit boleh menandakan gangguan yang lebih serius iaitu anemia atau kekurangan sel darah merah akibat tidak mendapat zat besi secukupnya.

Anemia atau kurang darah adalah suatu keadaan apabila jumlah sel darah merah (hemoglobin) berada di bawah paras normal. Hemoglobin yang terkandung di dalam sel darah merah berperanan mengangkut oksigen dari paru-paru dan menghantarnya ke seluruh bahagian tubuh.

Apabila anda mengalami anemia, tubuh tidak menghasilkan sel darah merah yang mencukupi. Lantas anda tidak mendapat oksigen yang cukup dan akibatnya cepat berasa penat. Malah komplikasi kesihatan serius yang lain juga boleh berlaku.

Apabila seseorang wanita hamil, ada kemungkinan untuknya mengalami anemia apabila tidak mendapat zat besi secukupnya. Dalam keadaan ini, wanita mungkin berasa cepat penat, emosi mudah terganggu dan lemah.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Dr Ida Lilywaty Md Latar berkata, semasa hamil badan wanita menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.


DR Ida

Katanya, sekiranya zat besi atau vitamin B12 dan folat tidak dibekalkan secukupnya, penghasilan darah merah mungkin tidak cukup untuk keperluan badan seseorang itu. Ini kerana apabila usia kandungan semakin meningkat, isi padu darah juga bertambah dan ia menyebabkan pencairan darah berlaku.

“Walaupun sel darah merah makin bertambah, penghasilan plasma darah juga bertambah dan menyebabkan keadaan yang dipanggil anemia relatif atau fisiologi.

“Seseorang itu dikatakan mengalami masalah anemia apabila tahap kepekatan hemoglobin (g/dl) kurang dari 11 g/dl semasa trimester pertama, 10.5 g/dl semasa trimester kedua dan 10 g/dl dalam trimester ketiga.

“Kira-kira 75 peratus wanita hamil mengalami anemia akibat kekurangan zat besi. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko wanita hamil melahirkan bayi tidak cukup bulan atau berat badan bayi yang rendah.

“Wanita hamil sentiasa mengalami kekurangan zat besi untuk menampung keperluan semasa mengandung. Mereka disaran agar meningkatkan pengambilan zat besi dalam diet harian,” katanya.

Pemeriksaan darah perlu dijalankan secara rutin semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung. Antara gejala anemia adalah letih, tidak bermaya, sakit kepala, pening, berdebar-debar dan sesak nafas.

Menurutnya, selain itu masalah anemia yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan komplikasi seperti kelahiran pramatang (tidak cukup bulan), kematian bayi dalam kandungan dan kemurungan selepas kelahiran.

Rawatan zat besi secara rutin disarankan dalam program penjagaan ibu mengandung. Sekiranya ibu mengandung tidak dapat mengambil zat besi dengan cara biasa, maka disarankan mereka mendapatkan suntikan zat besi yang dilakukan di klinik atau hospital.

“Pemindahan darah mungkin perlu dilakukan sekiranya berlaku anemia yang teruk dalam kalangan wanita mengandung yang hampir bersalin. Tahap hemoglobin yang perlu untuk pemindahan darah mungkin lebih rendah dalam kalangan mereka yang mempunyai anemia kronik berbanding wanita dengan masalah hemolisis akut. Hemolisis adalah keadaan apabila kemusnahan sel darah merah disebabkan kecederaan pada membran sel.

“Anemia yang teruk mesti dirawat sebelum kelahiran bayi untuk mengelakkan komplikasi yang berpunca akibat pendarahan semasa kelahiran,” katanya.

Katanya, wanita mengandung disarankan supaya menjalani pemeriksaan mengikut jadual seperti disediakan di klinik ibu mengandung. Ini sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan ibu dan anak.

JENIS ANEMIA KETIKA HAMIL

Masalah anemia ketika hamil boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:

Anemia akibat kekurangan zat besi

Ia berlaku apabila badan tidak mendapat zat besi secukupnya untuk menghasilkan hemoglobin yang diperlukan badan. Jadi, darah tidak dapat membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh badan. Ini masalah anemia yang paling lazim dalam kalangan wanita hamil.

Anemia akibat kekurangan folat

Folat adalah vitamin yang ditemui secara semula jadi dalam beberapa jenis makanan seperti sayur-sayuran berdaun hijau. Ia sejenis vitamin B yang diperlukan badan untuk menghasilkan sel baru, termasuk sel darah merah.

Ketika hamil, wanita memerlukan lebih folat, tetapi kadang kala ia tidak dapat dibekalkan melalui pemakanan. Apabila ini berlaku, badan tidak boleh menghasilkan sel darah merah normal yang cukup untuk mengangkut oksigen ke tisu badan.

Jadi inilah sebabnya wanita hamil diberikan suplemen asid folik. Kekurangan folat boleh menyebabkan kecacatan pada bayi seperti spina bifida dan bayi dilahirkan tidak cukup berat.

Anemia akibat kekurangan vitamin B12

Badan kita memerlukan vitamin B12 untuk menghasilkan sel darah merah yang sihat. Apabila wanita hamil tidak mendapat cukup vitamin B12 daripada pemakanannya, badannya tidak boleh menghasilkan sel darah merah yang sihat dalam kuantiti diperlukan.

GOLONGAN BERISIKO TINGGI

Menurut Dr Ida, semua wanita hamil berisiko mengalami masalah anemia. Ini kerana mereka perlukan lebih zat besi dan asid folik berbanding biasa. Namun risikonya lebih tinggi dalam keadaan seperti berikut:

Kehamilan kembar

Kerap hamil dan jarak antara dua kehamilan adalah rapat

Banyak muntah kerana mabuk hamil sehingga tidak lalu makan

Hamil pada usia terlalu muda (remaja)

Tidak mengambil cukup makanan yang kaya zat besi

Pernah alami anemia sebelum hamil

GEJALA DAN KESAN ANEMIA TERHADAP KEHAMILAN

Pucat, letih, lesu, sesak nafas dan jantung berdegup laju

Risiko keguguran, kelahiran pramatang, bayi kecil, koma dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

1. Tingkat pengambilan makanan kaya zat besi seperti:

Ayam

Sayur berdaun hijau

Kekacang

Hati

Bijirin penuh

Buah-buahan kering seperti prun dan kismis

Tomato

Tembikai

Labu

Bijan

Tauhu

Lada benggala

Kiwi

2. Ambil roti dan bijirin diperkaya zat besi, asid folik

3. Dalam kebanyakan kes, doktor mengesyorkan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:20 AM