‘CIKGU CUKAI’ Zurianee tempat peniaga minta nasihat masalah kewangan syarikat
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

MEMILIKI kerjaya berprestij dalam industri kewangan tidak pernah menjadikan wanita ini lupa diri sebaliknya dia sedar kelebihannya itu seharusnya dikongsi bersama orang lain.

Bergelar akauntan bertauliah dan memiliki firma akauntan sendiri pada usia muda, Zurianee Zabidi, 32, kini aktif memupuk kesedaran dan nasihat kewangan kepada sesiapa saja terutama usahawan Bumiputera.

Zurianee bukan saja menawarkan laporan pe­ngauditan dengan teliti dan berkualiti seiring dengan prinsip integriti, malah memberi bimbingan kepada pemilik syarikat dalam soal pelaburan hartanah dan pengurusan kewangan yang cekap.

“Sesetengah peniaga tidak arif menguruskan akaun syarikat menyebabkan sukar untuk menunjukkan kedudukan kewangan sebenar. Ada yang mempunyai akauntan, namun tidak mahir dalam selok-belok pelaburan dan ini membataskan perkembangan syarikat.

“Kami bukan saja membantu melengkapkan profil kewangan menerusi pengau­ditan, pengurusan akaun dan cukai, malah menjadi platform bagi membantu peniaga atau individu me­ngembangkan aset mereka menerusi pelaburan hartanah. Kami juga menawarkan perkhidmatan membuat kertas kerja bagi permohonan pinjaman dan pengurusan pendaftaran syarikat.

“Jujur saya katakan, ramai usahawan muda yang peroleh keuntungan besar, tapi gagal menguruskan kewangan syarikat dengan baik. Ramai yang naik cepat, turun juga cepat.

“Kebanyakan yang datang kepada saya meminta nasihat kerana masalah kewangan yang kian meruncing dan ada antaranya pemilik jenama terkenal di negara ini,” katanya.

Disebabkan itu katanya, dia selalu menekankan agar mereka bijak menguruskan keuntungan syarikat dengan membuat pelaburan yang betul.


MENERIMA anugerah keusahawanan baru-baru ini.

Katanya, memang agak dikesali melihat ramai usahawan Bumiputera yang berpotensi besar, tapi selalu alpa dengan kemewahan walaupun mereka sebenarnya tiada aset tetap, simpanan tunai tidak mencukupi dan ekuiti tidak meningkat.

Mereka lebih gemar membazirkan wang dengan bertukar kereta mewah dan berbelanja barangan yang tidak masuk akal semata-mata mahu mempamerkan gaya hidup mewah.

Bahkan katanya, seakan menjadi trend pula ramai antara usahawan ini yang berlumba-lumba menayang kemewahan di media sosial, tetapi apabila berdepan masalah kewangan, mereka tiada aset yang boleh dicairkan untuk menampung perbelanjaan syarikat.

Bergelar akauntan bertauliah di bawah Malaysian Institute of Accountant (MIA) dan ejen percukaian berdaftar di bawah Chartered Tax Institute Malaysia (CTIM), Zurianee turut dikenali sebagai ‘cikgu cukai’ dalam kalangan usahawan yang dibantunya.

Baginya, proses mencapai cita-cita sebagai akauntan mungkin mengambil masa lama jika dibandingkan beberapa bidang lain, namun ia berbaloi terutama kepada mereka yang benar-benar berminat.

Katanya, untuk menjadi akauntan yang berjaya, seseorang perlu mempunyai kualiti, sikap mementingkan penelitian terhadap sesuatu perkara.

“Mereka perlu menanam sikap suka memberi perhatian pada maklumat terperinci dan perkara kecil yang selalunya terlepas pandang oleh pihak lain,” katanya.

Menurut Zurianee yang kini hamil anak kedua, dia cukup bertuah kerana dibantu suami, Ahmad Zairul Dzuljastri, 37, yang juga berkelayakan dalam bidang pelaburan, pemegang Sarjana Kewangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Presiden Komuniti Pejuang Maqasid Syariah.

Dia dan suaminya menubuhkan firma itu sejak 2015, bertujuan membantu usahawan mengurus kewangan dengan baik bagi mengelakkan wang atau keuntungan yang diperoleh tidak kekal lama kerana habis dibelanjakan.

Adat berniaga pasti ada cabaran yang perlu ditempuhi. Begitu juga wanita ini yang mengakui dia bukan saja berdepan berbagai ragam pelanggan, malah perlu memahami hal ehwal dan masalah berkaitan kewangan mereka.

Kesibukan tugas sebagai akauntan bagaimanapun tidak membataskan waktu untuk diluangkan bersama keluarga dan menghabiskan hujung minggu melakukan aktiviti bersama suami dan anak mereka.

“Pada awal penubuhan firma ini, saya dan suami banyak menghabiskan masa untuk kerja dan fokus terhadap peningkatan kerjaya kami.

“Itulah pengorbanan yang perlu kami lakukan untuk mencapai kejayaan pada hari ini. Selepas beberapa tahun ditubuhkan, syarikat semakin stabil dan kini tiba masa untuk saya memberi tumpuan pada keluarga pula,” katanya.

Zurianee berkata, suaminya dianggap sebagai sahabat baik sentiasa menemaninya sama ada ketika bekerja di pejabat malah tidak teragak-agak meluang­kan masa jika dia mahu ke pusat kecantikan dan membeli-belah.

Menyedari pentingnya air tangan isteri untuk menambat hati suami, wanita bertubuh kecil molek ini akan memastikan setiap hari dapat memasak hidangan untuk suami dan anaknya selepas habis kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:15 AM