SELESA sepanjang hari dengan pemilihan fabrik kapas spandex.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

SELAIN golongan dewasa, kanak-kanak juga pasti teruja untuk kelihatan bergaya dengan mengenakan pelbagai pilihan fesyen yang berada di pasaran.

Justeru tidak hairan ramai ibu mahukan keterampilan terbaik untuk anak mereka menerusi pakaian yang digayakan si kecil.

Bagi Pengasas Keeds Apparel, Siti Aida dan Ali Raziman, pendekatan ini digunakan untuk menghasilkan rekaan sendiri yang berkualiti, selesa dan sesuai digayakan mengikut trend semasa.

Selain itu katanya, berbeza dengan butik jenama lain, mereka memastikan setiap rekaan keluaran butik itu adalah konsep bertema dan yang penting ia selesa dipakai serta digayakan sepanjang hari.

“Lumrah kanak-kanak sentiasa aktif, gemar berlari dan sukar duduk setempat membuatkan mereka cepat berpeluh. Oleh itu, pemilihan fabrik yang dipakaikan untuk anak kecil ini haruslah dititikberatkan ibu bapa dalam memilih pakaian mereka.

“Ini kerana kulit mereka lembut dan mudah merengsa, jika salah pilihan pakaiannya seperti tidak menyerap peluh dan panas maka, mudahlah timbul masalah pada kulit si manja seperti ruam dan gatal,” katanya.

Menerusi koleksi terbarunya, si manja pasti tampil comel dan bergaya dengan lebih 10 pilihan warna dan rekaan yang menarik hati.

Selain itu, penggunaan fabrik kapas spandex pula bagi memastikan si kecil selesa berasa selesa sepanjang hari malah material ini lebih elastik dengan ketahanan lebih lama berbanding material lain.

Koleksi itu juga dilengkapi bukaan zip di bahagian belakang badan untuk memudahkan kanak-kanak memakainya selain perincian renda dan bunga timbul agar si manja tampak lebih menyerlah.

Boleh didapati pada harga antara RM50 hingga RM100, koleksi butik itu direka agar sesuai dipakai untuk apa jua majlis sama ada kasual, majlis keraian mahupun makan malam istimewa.

“Kami mempunyai variasi rekaan daripada ringkas dan menarik sehinggalah elegan dan anggun untuk digayakan kanak-kanak pada bila-bila masa.

“Oleh kerana tumpuan rekaan kami adalah kanak-kanak, warna ceria, lembut dan comel dipilih sebagai tarikan utama,” katanya.


FABRIK selesa untuk si manja aktif. Kanan,aksesori pelengkap gaya manis si cilik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:00 AM