WAFA menyantuni kanak-kanak dalam The Melor Project bersama anak-anak Orang Asli Kampung Kelaka, Negeri Sembilan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


PENERIMA Hadiah Nobel Keamanan yang juga aktivis muda kelahiran Pakistan, Malala Yousafzai antara insan yang begitu dikaguminya bahkan wanita itu membentuk cara dia berfikir dan menerima pandangan dari sudut berbeza.

Bagi Wafa Aimi Fajuri, figura itu sentiasa menjadi inspirasi dan meyakinkannya bahawa perjuangan kemanusiaan ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia perlu diiringi semangat yang tinggi dan tidak mudah berputus asa.

Prinsip itu, katanya, menjadi asas perjuangannya dalam Pertubuhan Sukarelawan Muda Malaysia atau lebih dikenali dengan nama The Bulb On! Project (TBOP) yang ditubuhkan pada 2017.

Kagum melihat semangat wanita berusia 24 tahun ini ketika menceritakan rentak perjalanannya dalam dunia kesukarelawanan. Meskipun jadualnya sarat dengan aktiviti kuliah sebagai penuntut tahun akhir Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah dengan Kepujian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), ia tidak pernah dijadikan penghalang untuk bergiat aktif dalam misi kemanusiaan.

“Sekiranya kita hidup atas pujian, sesiapa pun tidak akan selamanya berada di atas maka hiduplah secara sederhana tetapi dengan semangat yang luar biasa. Itu yang akan menjadikan setiap orang berbeza,” katanya.


PROJEK pemberian makanan ketika Ramadan 2018.

Menurut Wafa, sejak 2017 hingga kini, TBOP sudah membabitkan lebih 100 sukarelawan dan berkolaborasi dengan lebih 30 agensi, badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, institusi pendidikan seperti sekolah, universiti serta termasuk kolaborasi pertama bulan ini bersama NGO dari Indonesia.

Pembabitannya dalam program kebajikan bermula secara tidak langsung pada 2015 tetapi mula aktif secara serius pada 2016 bersama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ketika itu katanya, hanya 50 mahasiswa Malaysia yang terpilih ke Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) di Vietnam selama 35 hari.

Seterusnya, Wafa mewakili Malaysia ke Laos untuk Youth Exchange Programme di bawah penganjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Asian Youth Council, Vientiane, Laos.

“Peranan saya dalam kedua-dua program ini adalah sebagai sukarelawan global yang membantu membangunkan masyarakat merentasi negara.

“Ia menjadi contoh kepada mahasiswa dan belia kerana program kemanusiaan ini diketengahkan untuk melahirkan ramai lagi belia yang berkualiti bukan saja dari sudut akademik malah budi pekerti serta jati diri.


THE Melor Project bersama anak Orang Asli Kampung Kelaka, Negeri Sembilan.

“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika misi kemanusiaan ke Kemboja tahun lalu, saya menyaksikan sendiri keperitan hidup mangsa banjir negara itu untuk meneruskan hidup selepas bencana berkenaan.

“Perkara yang menyentuh hati saya, walaupun dengan kekurangan yang dialami, penduduk di sana tetap menjamu kami dengan hidangan yang saya pasti melebihi kemampuan mereka.

“Ketika itu saya berasakan, kadangkala kita berasa cukup susah, cukup payah untuk menghadapi masalah kita, sedangkan hakikatnya di dunia ini ada ramai lagi orang yang lebih susah.

“Kesusahan mereka ini terpapar di depan saya. Saya cukup terharu melihat mangsa banjir menyambut dan meraikan saya dengan segala yang mereka ada. Benarlah, kebaikan dan kasih sayang itu tidak mengenal agama, negara dan bahasa,” katanya.

Katanya, antara pengalaman lain yang menyentuh hati adalah ketika bermalam di sebuah rumah anak yatim di Batang Kali, Selangor. Dia memilih untuk tidak tidur di bilik berasingan, sebaliknya tidur di atas tilam dan bantal yang sama dengan anak yatim.

Pengalaman itu antara yang sukar dilupakan kerana sebelum tidur, anak berkenaan bertanyakan mengenai kehidupannya. Ketika itulah Wafa sedar betapa bertuahnya dia, pada usia sekarang dia masih mempunyai ibu bapa yang menyayanginya.


SCHOOL of Leaders bersama Asean Youth Foundation dan SMK Bukit Bandaraya.

Turut menggalas tanggungjawab sebagai Koordinator Pendidikan untuk Kelas Rakyat di bawah penganjuran Persatuan Kebajikan Projek Iqra’ Semalaysia, Wafa menyifatkan pembabitannya dalam bidang itu seakan-akan sebati dalam jiwa mudanya.

Ada satu ketika, katanya, dia menerima mesej daripada ibu bapa pelajar yang berterima kasih kerana mendidik anak mereka meskipun sumbangannya tidaklah seberapa. Ucapan itulah yang membuatkan dia menitiskan air mata dan terasa semua penat lelahnya hilang begitu saja dalam usaha mendidik anak bangsa.

Baginya, tiada pengalaman pahit sepanjang pembabitannya dalam program kebajikan disertai kerana segala kesusahan dan kepayahan dilalui adalah ‘universiti kehidupan’ terbaik buat dirinya.

Malah, kata Wafa, kepayahan dalam kerja sukarelawan menjadikan dia lebih matang dan manusia yang memandang kepayahan itu sebagai satu hikmah Tuhan yang meletakkan sesuatu itu mengikut keupayaan masing-masing.

“Namun mungkin cabaran yang saya boleh kongsikan ialah untuk mengimbangi masa sebagai mahasiswa undang-undang dan menguruskan NGO bersama ahli kami.

“Kadangkala saya akan menghabiskan semua kerja sehingga pada hujung minggu dan mempunyai masa rehat yang agak terhad.


TAUTAN Kasih Ramadhan bersama keluarga Puan Rahimah untuk Ramadan 2019.

“Bagaimanapun, saya yakin Wafa yang anda lihat pada hari ini adalah hasil pengajaran hidup yang Allah kurniakan untuk menjadikan lebih baik dan kuat,” katanya.

Atas usaha dan kegigihannya membantu golongan memerlukan, tahun lalu Wafa menerima anugerah Best Volunteerism Award: Outstanding Student Achievement Award daripada Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM.

Katanya, selain keluarga, pihak fakulti dan pensyarah yang menyokongnya serta mengiktiraf pembabitannya dalam NGO antara inspirasi terbesar buat dirinya.

Sambungnya, untuk perancangan jangka masa panjang, pertubuhan itu berhasrat menyumbang tenaga dalam pembinaan sekolah buat pelarian Somalia di Malaysia.

“Impian dan harapan saya agar TBOP akan sentiasa dapat membantu anak bangsa dan juga sentiasa memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengenal erti penat.

“Semoga lebih ramai belia dan mahasiswa terbuka hati untuk terbabit dalam program kebajikan kerana ia bukan saja membantu masyarakat tetapi juga sebenarnya menjadi wadah yang membentuk diri untuk menjadi insan lebih baik.

“Kadangkala kita berasakan sudah cukup semuanya, tetapi percayalah yang mencukupkan kehidupan ini adalah doa daripada mereka yang kita bantu sebaik-baiknya,” katanya.


BERSAMA pasukan Iamfaithmen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 6:15 AM