POKOK nanas yang ditanam Adilah tumbuh segar dan sihat.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


ADA pelbagai cara beriadah yang boleh dilakukan bersama keluarga namun apa pun aktiviti yang dipilih, matlamat untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan perlu menjadi keutamaan.

Ada sesetengah orang menjadikan hobi berkebun sebagai terapi untuk menenangkan diri sambil bersantai bersama keluarga tersayang.

Bahkan, memanfaatkan halaman rumah dengan pelbagai tanaman dan sayuran bukan saja memberi kepuasan buat mereka yang meminatinya malah menghidangkan panorama indah dan menyejukkan pandangan.

Ini diakui Adilah Abdullah, 32, yang mendapat kepuasan dan ketenangan fikiran apabila penat lelah mengusahakan halaman rumahnya di Simpang Pulai, Perak dengan pelbagai tanaman tumbuh segar.

Katanya, hasil tanamannya itu bukan hanya untuk kegunaan sendiri malah turut diberi kepada ahli keluarga dan jiran bagi mengeratkan silaturahim.


POKOK betik.

“Berkebun juga bermanfaat sebagai ganti riadah kerana ia juga mengeluarkan peluh. Di samping membersihkan kawasan rumah, ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan apabila aktiviti seperti menyiram pokok dan memetik hasil tanaman dilakukan bersama suami dan anak.

“Asalnya ayah saya yang suka menanam pelbagai pokok di kampung dan selepas berkahwin saya pula berminat menanam pokok dan sayuran di rumah sendiri.

“Menariknya hobi ini kerana kita dapat nikmati hasilnya dan berkongsi rezeki dengan jiran tetangga. Pernah juga saya menanam serai dan menjualnya di kedai makan berdekatan,” katanya.

Adilah berkata, dia juga gembira kerana suami dan anaknya berkongsi minat sama dan apabila hujung minggu dan cuti mereka sekeluarga akan meluangkan masa bersama untuk mengindahkan landskap kebun dapur dan bercucuk tanam.


POKOK pisang yang ditanam di halaman rumah.

Antara tanaman yang ditanam Adilah termasuk nanas, betik dan pisang selain tanaman herba seperti daun kunyit, serai, pandan, ulam-ulaman dan sayuran.

Dalam pada itu, Adilah berkata, tiada petua tertentu yang diamalkannya namun dia akan memastikan untuk menyiram tanaman setiap hari agar pokok tidak kering dan mati.

Selain itu katanya, banyak kumpulan menanam yang disertai di laman sosial untuk berkongsi pengalaman dan maklumat. Antaranya kumpulan Kebun Bandar Jom Tanam Sendiri, Kebun Sayur Bunga dan Buah-Buahan, Kelab Peminat Rose Jepun dan banyak lagi.

Katanya, komuniti itu banyak memberi panduan dan tip untuk hasilkan tanaman yang segar dan sihat, bahkan dia boleh bertanya sebarang soalan berkaitan tanaman dan jawapan akan diterima dengan cepat.


SAYURAN segar yang boleh dipetik dan dimakan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 6:00 AM