Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


TIDAK ramai wanita yang berani menonjolkan gaya retro pada majlis makan malam bertema. Majoriti terlalu memikirkan busana, penampilan gaya, mainan warna solekan dan sebagainya.

Sebut saja gaya 70-an, mereka terbayangkan gaun polka dot, busana sarat labuci, reben kepala, skaf, sepatu merah bertumit tinggi, dandanan rambut yang berbelah di tengah dan pemakaian pelbagai aksesori.

Solekan pula lebih kepada mainan warna redup di bahagian mata dan gincu merah menghiasi bibir. Segalanya mengikut mood zaman berkenaan.

Mungkin juga kerana drama dan filem lama banyak menonjolkan wajah pelakon yang cerah, rapi serta kemas, ramai menyangka solekan gaya retro memerlukan asas lebih tebal berbanding mekap biasa.

Secara tidak langsung, inilah yang memberi tekanan kepada wanita untuk tampil dalam gaya klasik ini. Mereka bimbang terhadap risiko timbulnya garis penuaan di wajah, sekali gus mencacatkan penampilan.

Namun, menurut juru mekap artis, El Manda Zuhairy (@ mandalicious_official), solekan retro sebenarnya sangat mudah, ringkas dan tidak memerlukan banyak kemahiran khusus.

“Asas paling utama untuk menyerlahkan hasil solekan ini adalah semburan penyegar, serum wajah, krim pelembap dan sapuan primer. Semua rutin ini harus diberi perhatian untuk memastikan solekan tampak sempurna dan kekal bertahan lebih lama.

“Fokus solekan pula terarah kepada bahagian mata dan bibir. Mata biasanya dilatari rona coklat perang dan diulang garis dengan teknik ‘smudge’.

“Kening dibentuk ringkas, manakala bibir pula biasanya disapu gincu dan pengilat rona merah terang untuk menaikkan seri wajah, sekali gus menghidupkan tema retro,” katanya.

Jelas El Manda, solekan retro sebenar tidak menggunakan teknik pembayang untuk membentuk wajah. Tambahan pilihan alat solek zaman dulu agak terhad berbanding kini.

“Jadi, untuk mendapatkan solekan retro yang asli, kita perlu ikut apa yang ada dan tiada di zaman berkenaan. Dengan cara ini, solekan nampak lebih asli dan unik.

“Orang dulu juga tidak menggunakan bedak asas yang tebal. Penggaris mata juga menampakkan sedikit kesan lorekan pensil. Secara keseluruhannya, solekan mereka nipis, tetapi menyerlah dengan perincian warna dan dandanan rambut bersesuaian,” katanya.


MULAKAN solekan dengan sapuan bedak asas dan ratakan dengan berus. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

GUNAKAN penyamar noda rona terang untuk menyerlahkan bahagian dahi, tengah hidung, bawah dagu, bawa mata dan atas bibir. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

SEMPURNAKAN solekan dengan sapuan cecair pembayang di bahagian tulang pipi, tulang hidung, sekitar anak rambut dan bawah rahang. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

OLES pemerah pipi campuran rona merah dan jingga. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

BENTUKKAN kelopak mata dengan sapuan pembayang rona perang, diikuti coklat gelap dan sedikit pengilat. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

KEMASKAN bentuk kening dan pakai bulu mata palsu. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman


SAPU gincu rona merah terang diikuti pengilat bibir. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

SOLEKAN sesuai untuk makan malam bertema retro. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 10:12 AM
SOLEKAN sesuai untuk makan malam bertema retro. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman