RENDAM kaki dalam air dicampur dengan garam bukit dapat legakan kesakitan. FOTO: Rohanis Shukri
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

BERJALAN awal pagi hingga ke malam, ada juga yang bekerja dalam keadaan berdiri sepanjang hari selain kerap menekan pedal brek apabila berdepan kesesakan lalu lintas setiap hari antara punca kaki rasa terlalu sakit, lenguh, kejang dan sakit tumit.

Tanpa mengira usia, setiap individu termasuk kanak-kanak hinggalah golongan berusia sering mengalami kesakitan pada kaki terutama sebelum tidur.

Kepenatan berdepan dengan rutin harian padat terutama bagi individu yang mempunyai berat badan berlebihan membuatkan kaki mudah berasa sakit dan memerlukan urutan bagi melegakannya.

Tidak perlu bersusah payah berkunjung ke spa atau pusat refleksologi, urutan kaki boleh dilakukan sendiri di rumah atau atas bantuan suami, isteri mahu pun anak.

Berkongsi cara urutan kaki yang betul, juruterapi bertauliah yang juga pengusaha spa, Emelia Roslan berkata, ramai yang keberatan melakukan urutan pada kaki sendiri sebab risau tersalah urut dan menyebabkan masalah bertambah buruk.

Menurutnya, perkara utama yang perlu diketahui adalah tekanan pada bahagian kaki itu perlulah sederhana, tidak terlalu kuat atau terlalu perlahan.

“Jangan takut kerana urutan kaki yang menggunakan tekanan sederhana tidak meninggalkan kesan buruk bahkan ia mampu membantu melegakan tekanan dan kesakitan pada kaki.

“Kaki menampung berat badan kita dan ia menerima tekanan sepanjang masa khususnya bagi individu yang kerjanya banyak bergerak atau berdiri.

“Tekanan kepada kaki akan bertambah jika kita memandu sendiri dan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk sewaktu pergi dan balik kerja. Jadi tidak hairanlah mengapa ramai yang mengalami sakit kaki terutama pada waktu malam,” katanya.

Emelia berkata, gunakan apa saja minyak bersesuaian yang ada di rumah seperti minyak angin atau aromaterapi, namun sekiranya tidak ada boleh juga gunakan minyak bayi atau losen bagi memudahkan urutan dilakukan.

“Jika tidak ada sesiapa, anda juga boleh mengurut kaki anda sendiri, namun sebaik-baiknya mintalah bantuan suami atau isteri. Jika mempunyai anak remaja boleh juga boleh minta khidmatnya.

“Sekiranya anda lakukan urutan kaki secara konsisten, ia dapat membantu mengurangkan kesakitan yang membolehkan kita memperoleh tidur yang lebih lena dan berkualiti,” ujarnya.

Katanya, urutan kaki juga boleh dilakukan kepada kanak-kanak juga bayi, namun kekuatan tekanan itu perlulah dikurangkan, sesuai dengan usia si kecil. Antara manfaat yang diperoleh melalui urutan ini ialah ia dapat melancarkan peredaran darah di sekitar kaki selain melegakan kesakitan yang ditanggung.

“Selain itu, anda juga disaran untuk kerap merendam kaki dalam air suam yang dicampur garam bukit, minum air masak secukupnya selepas selesai urutan juga pada waktu lain setiap hari,” ujarnya.

Emelia berkongsi langkah melakukan urutan ringkas pada kaki untuk melegakan kepenatan, kekejangan dan kesakitan.

LANGKAH DEMI LANGKAH


1. RENDAM kaki menggunakan air suam, jika ada boleh campurkan dengan garam bukit.

2. GUNAKAN minyak yang ada di rumah, seelok-eloknya minyak angin yang tidak terlalu panas atau minyak aromaterapi.

3. BARING dalam posisi meniarap. Tukang urut perlu picit bahagian tapak kaki dari tumit hingga ke jari. Lakukan langkah ini secara berulang dalam anggaran kiraan 20.

4. TERUSKAN langkah yang sama namun berubah ke posisi dari jari naik ke tumit.

5. TEKAN sedikit pada bahagian tapak kaki terutama pada bahagian yang tidak selesa.

6. URUT setiap jari kaki.

7. DALAM posisi telentang, pegang kaki menggunakan dua belah tangan, sebelah tangan memegang pergelangan kaki manakala sebelah tangan lagi memicit keseluruhan kaki hingga ke jari kaki. Lakukan teknik yang sama pada kedua-dua belah kaki.

8. URUT bahagian betis hingga ke kaki bagi mengurangkan kepenatan.

9. PICIT pergelangan kaki menggunakan kekuatan sederhana.

10. TERAKHIR, tolakkan setiap jari kaki ke dalam dan regangkan setiap bahagian kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 5:11 AM