BAHAN semula jadi boleh diguna untuk sental kulit kering dan berkerak.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


SIKU dan lutut antara bahagian tubuh yang cukup sensitif untuk dibicarakan dalam kalangan wanita. Walaupun kedua-duanya boleh ditutup dengan pemakaian baju berlengan dan seluar panjang, ia bukan penyelesaian.

Sesetengah wanita memandang remeh pada perbezaan warna siku dan lutut dengan kulit tubuh. Bagi mereka, ia normal dan berlaku pada setiap individu.

Bagi mereka yang berkulit cerah, lazimnya kulit kering di bahagian siku dan lutut tidak mencacatkan penampilan. Namun, jika anda berkulit gelap atau sawo matang, dua bahagian tubuh ini perlu dibelek sekali sekala.

Agak memalukan sekiranya kulit tampak kering seakan-akan menggelupas, sedangkan wajah dijaga bersih. Boleh jadi, sapuan losen, minyak zaitun atau krim tangan amat membantu untuk menyembunyikan kelemahan yang satu ini.


GUNAKAN skrub untuk membersihkan lutut.

Namun, seeloknya siku dan lutut dibelai dan dirawat dengan pemakaian skrub, gel pelembap atau minyak zaitun, seminggu sekali. Anda akan kelihatan lebih rapi, bersih dan senang didampingi.

Cuba beberapa tip berikut. Ada di antaranya cukup popular digunakan sebagai penyental untuk masalah kulit kering atau berkerak. Jangan lupa sapu losen setiap kali sebelum tidur untuk mendapatkan kesan perubahan maksimum!


GULA dan garam dicampur dengan air.

1. GULA DAN GARAM

Campurkan kedua-dua bahan ini dengan nisbah sama dan larutkan dengan sedikit air. Sental pada siku dan lutut selama lima minit mengikut arah atau lawan jam. Bilas bersih dan ulang seminggu dua kali.

2. MADU DAN LEMON

Lemon memang diketahui tinggi kandungan vitamin C. Ambil sebiji lemon dan potong dua. Sental pada siku selama tiga hingga lima minit. Kemudian tambah sedikit madu dan sental selama lima minit. Bilas bersih dan ulang seminggu sekali.


BETIK muda

3. BETIK

Kandungan vitamin C dan E dalam betik dikatakan boleh membantu mencerahkan kulit. Pilih betik mengkal (muda) saiz kecil untuk memudahkan proses menyental siku dan lutut.

Usah buang bahagian biji dan jadikan ia skrub dan masker untuk siku dan lutut. Bagi yang memiliki siku gelap, digalakkan untuk buat secara konsisten selama seminggu. Bilas dengan air bersih sebelum menyapu losyen.

4. BERAS KISAR

Orang dulu memang sukakan lulur diperbuat daripada beras yang direndam semalaman dan digiling atau kisar halus. Selain menghaluskan tekstur kulit kasar dan kering, ia juga boleh membantu mencerahkan siku dan lutut.

Alang-alang menyental siku, elok jika anda berlulur satu badan. Tambahkan sedikit kelopak mawar sebagai wangian semula jadi.

5. KULIT RAMBAI

Jika kebetulan bertembung dengan musim rambai berbuah, kumpul kulitnya dan keringkan di bawah jemuran. Kisar dan simpan dalam balang kedap udara untuk diulang pakai bila perlu.

Serbuk kulit rambai biasanya dicampur air mawar untuk dijadikan pupur siku dan lutut. Apabila pupur separa kering, sental dengan tangan sehingga bersih. Bilas dengan air hangat.

Sebenarnya, banyak lagi petua untuk mencerahkan siku dan lutut yang menjadi amalan orang lama. Namun, kerana kekangan masa untuk menyediakan bahan, ramai memilih produk siap pakai seperti gel aloe vera dan losyen.

Tidak kira apa pun pilihannya, pastikan kebersihan kulit siku dan lutut sentiasa terjaga. Bagi yang sudah berkahwin, perubahan kecil sebegini tentu menyenangkan hati suami tercinta!

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 5:15 AM