MALIK bersama pasukan bergerak aktif capai visi lahir lebih ramai anak muda dalam perniagaan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


‘KITA bantu orang lain, Allah akan bantu kita’. Itu prinsip yang dipegang anak muda berwawasan ini dalam mencorak hala tuju dan cita-cita diimpikan selama ini.

Ketika belia seawal usia 20-an lain baru bertatih mencari ruang menempatkan diri dalam dunia pekerjaan, figura ini sudah berada pada tahap agak selesa.

Namun, pencapaian itu tidaklah semudah disangka. Sejak usia remaja lagi anak jati Kampung Pandan, Kuala Lumpur ini sudah pun didedahkan dunia perniagaan yang penuh pancaroba.

Menurut Malik Hairuddin, 27, dia sudah biasa melakukan pelbagai perniagaan kecil-kecilan untuk menyara diri tanpa mengharap ibu bapa memberi wang saku ketika melanjutkan pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Mekatronik di Politeknik Sultan Azlan Shah kira-kira sembilan tahun lalu

Katanya, minat dalam perniagaan sudah bercambah sejak di universiti dengan memulakan khidmat percetakan menggunakan mesin cetak sendiri selain menjual isian prabayar dan barangan secara dalam talian.

Menyambung cerita, Malik berkata, selepas tamat pengajian dia meneruskan penjualan pakaian dan aksesori lelaki secara dalam talian serta servis blog dan berjaya meraih pendapatan lima angka.

“Tetapi semuanya tidak bertahan, saya jatuh terduduk kerana akaun Facebook yang menjadi sumber pendapatan disekat. Akibatnya duit simpanan semakin susut dan saya rasa tertekan kerana tarikh perkahwinan semakin dekat.

“Saya terpaksa kumpul duit dengan meminta orang yang meminjam duit saya dulu pulangkan semuanya untuk menampung perbelanjaan perkahwinan,” katanya.

Nekad bangkit daripada kegagalan, Malik menyedari kesilapannya dalam perniagaan kerana tiada bimbingan yang betul, lalu dia mendaftar dalam program keusahawanan.

MALIK bersama keluarga.

Ketika itulah dia mengenali seorang rakan dan perkenalan itu mengubah seluruh hidupnya. Rakan yang juga mentornya itu meminta Malik menguruskan bahagian pemasaran syarikat sebelum mempelawa menjadi rakan kongsi dalam Byond Success Sdn Bhd pada 2014.

Masih segar dalam ingatannya ketika mula berniaga, tiada bimbingan daripada sesiapa sebaliknya dia hanya ‘meredah’ segalanya tanpa memikirkan risiko yang akan dihadapi.

Selepas mengharungi pelbagai rintangan akibat tiada ilmu dan menemui kegagalan dalam perniagaan sebelum ini, Malik berasakan pentingnya dia mengambil inisiatif sendiri untuk belajar menjalankan perniagaan dengan betul dan menghasilkan pendapatan yang lumayan.

Malik bangkit bersama penguasaan ilmu dalam bidang pemasaran dan kini giat membantu ramai usahawan muda yang mahu bertapak selain menjadi rujukan utama untuk konsultansi dalam strategi pemasaran perniagaan secara dalam talian dan luar talian untuk Byond Success Sdn Bhd, Byond Marketing Sdn Bhd dan beberapa syarikat lain.

Dengan kekuatan pasukan seramai 60 orang, beliau bergerak aktif mengatur strategi dalam mencapai visi untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan usahawan yang lebih berdaya saing dan memberi perubahan pada dunia.

Kini, Malik dan pasukannya berjaya melatih hampir 20,000 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dari seluruh Malaysia dalam bidang pengurusan bisnes melalui program yang dianjurkan.

“Saya juga pernah berjanji, jika berjaya, saya akan bantu orang lain untuk berjaya juga. Syukur, saya kini boleh membantu ramai sahabat dan orang sekeliling saya untuk membina bisnes mereka sendiri.

PENGALAMAN manis menuntut ilmu di negara orang.

“Ini juga niat saya untuk melihat lebih ramai orang Islam menguasai ekonomi sekali gus membina ekosistem perniagaan yang memberi manfaat kepada bangsa, agama dan negara,” katanya.

Kejayaannya itu bukan menjadikan Malik alpa, sebaliknya dia sentiasa dahagakan ilmu hingga tahun lalu bapa kepada dua cahaya mata ini mendapat Anugerah Silver Tulip Award dalam Program Professional Diploma in Entrepreneurship di University Institute of International European Studies (UNIES) Barcelona, Sepanyol.

Katanya, di sebalik kejayaan dikecapinya itu, sudah pasti insan penting bergelar isteri yang menjadikan dirinya seperti sekarang bahkan, masih diingatinya pada awal perkahwinan, wanita itu sanggup bersusah payah dan menerima dirinya seadanya.

“Berkahwin pada usia muda memang memberi cabaran terutama dari segi ekonomi. Maklumlah ketika itu saya baru saja tamat belajar dan perniagaan dalam talian diusahakan pula menghadapi masalah. Mujurlah isteri, Atiqah Zulkepli, sangat memahami dan menyokong saya untuk terus bangkit serta mencabar kebolehan diri untuk berjaya.

“Selain itu, bergelar bapa muda ketika usia 23 tahun juga antara sebab saya berusaha keras untuk menyara keluarga. Tiada istilah malas atau membuang masa sebaliknya setiap hari saya sentiasa fikir apa yang mahu dicapai dalam hidup.

“Syukur, isteri tidak pernah lupa mengi­ngatkan saya kelebihan membantu orang lain malah saya sendiri sudah rasai apabila kita bantu orang, Allah beri balasan berganda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 5:30 AM