SENAMAN berkala amat penting.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


JANTUNG menanggung beban yang berat akibat tabiat makan yang mungkin tidak seimbang dan kurang sihat, lebih-lebih lagi jika dipadankan dengan gaya hidup kurang aktif.

Menurut kajian Jabatan Statistik Malaysia mengenai statistik punca kematian 2018, penyakit jantung iskemik kekal punca utama kematian di Malaysia sepanjang 13 tahun kebelakangan ini.

Faktor utama yang menyumbang kepada situasi ini ialah kolesterol tinggi, selain faktor penyakit tidak berjangkit yang berkaitan seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan obesiti.

Realitinya, satu daripada dua rakyat dewasa Malaysia mengalami masalah kolesterol tinggi. Namun, lebih membimbangkan, hampir 40 peratus daripadanya tidak menyedari bahawa paras kolesterol mereka adalah tinggi.

Kementerian Kesihatan Malaysia, baru-baru ini, menegaskan sikap acuh tak acuh ini adalah punca utama peningkatan kes penyakit jantung dan menyeru rakyat supaya lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan diri.

Oleh itu, tiba masa menjadi titik permulaan perubahan sikap ke arah gaya hidup sihat dan aktif untuk mengawal tahap kolesterol supaya kesihatan jantung terpelihara.

Umpama perjalanan seribu batu yang bermula dengan langkah pertama, begitu juga perjalanan ke arah jantung lebih sihat yang bermula dengan perubahan kecil, namun meninggalkan kesan positif.

MOTIVASI APLIKASI

Terdapat bermacam-macam aplikasi telefon pintar berkaitan kesihatan sedia untuk dimuat turun secara percuma yang dapat memberikan motivasi dalam perjalanan menuju gaya hidup sihat di hujung jari anda.

Cuba aplikasi MyNutriDiari 2 oleh Kementerian Kesihatan yang menyediakan maklumat pemakanan dan aktiviti fizikal serta fungsi berguna seperti diari pengambilan makanan harian dan kalkulator indeks jisim tubuh (BMI).


GOLONGAN muda turut berisiko terkena serangan jantung.

JANGAN TAKUT UNTUK MAKAN

Makan semua makanan daripada pelbagai kumpulan dalam piramid makanan, tetapi dalam saiz hidangan yang sederhana.

Pilih pelbagai jenis makanan daripada setiap kumpulan makanan. Dalam erti kata lain, amalkan tabiat makan berpandukan keseimbangan, kesederhanaan, dan kepelbagaian.

Jadikan Model Pinggan Sihat Malaysia atau konsep ‘Suku-Suku-Separuh’ sebagai panduan dalam membuat pilihan makanan seharian. Isikan suku pinggan pertama dengan sumber karbohidrat (seperti nasi, mi dan bijirin), suku kedua dengan protein (ikan, ayam, daging, telur dan kekacang), manakala separuh pinggan pula dipenuhi sayur-sayuran dan buah-buahan.

Amalkan tabiat pemakanan ‘jantung sihat’

Kekerapan pengambilan makanan yang berlemak dan berkolesterol tinggi meningkatkan faktor risiko penyakit jantung. Oleh itu, kurangkan makanan bergoreng; pilih makanan yang dikukus, dipanggang atau dibakar.

Hadkan juga makanan yang tinggi dengan gula, minyak dan garam. Tingkatkan pengambilan serat makanan yang dapat membantu mengawal paras kolesterol dan glukosa dalam darah, mengekalkan berat badan sihat dan mengurangkan risiko penyakit jantung.

Kekal aktif

Aktiviti fizikal, terutama senaman aerobik membantu menguatkan otot jantung, mengurangkan stres, memperbaiki metabolisme dan meningkatkan paras kolesterol baik. Kementerian Kesihatan menyarankan senaman selama 30 minit sehari, sekurang-kurangnya lima hari seminggu.

Jika terasa berat untuk melakukannya, untuk peringkat permulaan, lakukan aktiviti harian seperti menggunakan tangga berbanding lif, berulang-alik ke tempat kerja dengan menaiki pengangkutan awam atau berjalan pergi dan balik dari makan tengah hari atau kedai berhampiran berbanding menaiki kereta.

Pada hujung minggu, cuba luangkan sedikit masa untuk aktiviti riadah seperti berjalan pantas di taman atau membersihkan halaman rumah atau aktiviti bercucuk tanam di depan rumah.

Kekalkan berat badan sihat

BMI adalah ukuran yang menilai kesesuaian berat badan berbanding dengan ketinggian. Berat badan yang sihat adalah BMI di antara 18.5 dan 24.9.

Mengekalkan berat badan yang sihat dapat membantu mengawal tahap gula darah dan tekanan darah. Anda disarankan untuk mengurangkan berat badan jika BMI melebihi 25.

Selain itu, ukur lilit pinggang 90 sentimeter (35 inci) ke atas bagi lelaki atau 80 sentimeter (32 inci) ke atas bagi wanita dikaitkan dengan peningkatan risiko kencing manis, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.

Ketahui status kolesterol anda

Penyakit jantung sering dikenali sebagai pembunuh senyap kerana simptom penyakit yang tidak mudah dikenal pasti secara fizikal. Oleh itu, saringan kesihatan secara berkala adalah penting untuk mengesan paras kolesterol tinggi.

Sahut Cabaran 30 Hari Nestle Omega Plus yang menawarkan ujian darah kolesterol menyeluruh termasuk lipoprotein berketumpatan rendah atau kolesterol tidak baik (LDL), lipoprotein berketumpatan tinggi atau kolesterol baik (HDL) serta trigliserida.

Matlamat cabaran yang berakhir pada 30 September itu adalah untuk mencari individu yang berjaya menurunkan tahap LDL dan trigliserida serta mengekalkan paras HDL yang tinggi. Pemenang hadiah utama berpeluang menikmati pakej percutian ke New Zealand bernilai RM20,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 5:20 AM