SOLEKAN ala ‘smokey’ serlahkan mata untuk tampil mempesona. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


SOLEKAN mata yang sempurna mampu menyerlahkan dimensi wajah menarik, sekali gus menjadikan penampilan tampak lebih anggun. Pada masa sama, teknik solekan mata yang betul juga mampu memberikan imbangan pada keseluruhan riasan wajah agar tampak sempurna.

Pilihan warna pembayang mata juga perlu betul dan sesuai untuk penampilan yang senada serta sesuai digayakan dengan pelbagai rona pakaian.

Menurut jurusolek, Mohd Airil Raimi (@airilraimimakeupartist), bagi menampilkan gaya lebih memukau persis ratu cantik, menyerlahkan mata dengan solekan ala ‘smokey’ sesuai bagi menghadiri majlis seperti acara karpet merah.

Katanya, pemilihan rona pembayang mata yang digunakan perlulah berwarna lebih gelap untuk membantu menyerlahkan penampilan mata menawan.

“Saya memilih rona gelap sebagai asas dan penggunaan pembayang mata jenis stik lebih sesuai untuk memastikan solekan tahan lebih lama di bahagian mata. Kemudian pembayang mata rona coklat tua atau perang dicampur bagi membentuk soket mata.

“Kening pula dibentuk sekadar perlu menggunakan pensil mata dan dikemaskan dengan berus. Usah bentukkan kening sehingga nampak terlalu tajam dan sempurna kerana ia mungkin boleh mencacatkan keseluruhan solekan,” katanya.

Untuk solekan ini katanya, solekan bahagian mata dibuat terlebih dulu sebelum meratakan produk penjagaan kulit seperti pelembap dan serum diikuti alas bedak pada seluruh wajah.

Tambah sedikit penyerlah di kawasan yang ingin ditonjolkan seperti dahi, hidung, dagu dan bawah mata.

Penggunaan teknik ‘shading’ atau bayangan juga sangat penting supaya bahagian seperti hidung, tulang pipi, rahang dan tepi muka serta dahi kelihatan lebih menyerlah.

Menurut Airil, selain mata, pewarna pipi juga perlu lebih menyerlah. Untuk itu, pemilihan rona merah jambu dan kuning kemerahan mampu memperlihatkan sisi wanita yang ayu dan menawan, apabila tersenyum warna pemerah pipi akan menampakkan tulang pipi yang sedikit menonjol.

Selain itu, penggunaan penyembur pada wajah yang sudah disolek dapat mengekalkan solekan lebih lama serta mengurangkan wajah kelihatan terlalu ‘berbedak’.

Kemaskan bahagian bulu mata menggunakan maskara dan bulu mata palsu untuk kesan lebih dramatik. Gunakan celak mata di bahagian dalam dan luar alis kelopak mata.

Oleskan gincu mengikut bentuk bibir menggunakan warna ‘nude’ untuk menyeimbangkan solekan mata ‘smokey’ agar wajah tetap tampil anggun dan mempesona.

Ikuti langkah demi langkah solekan yang dihasilkan Airil bersama model, Scarlet Megan Liew.

1. WAJAH sebelum disolek.

2. BENTUKKAN dan kemaskan kening dengan pensel kening.


SOLEKAN 1 dan 2

3. SAPUAN pembayang mata rona gelap sebelum dicampur dengan rona perang.

4. SELEPAS menyapu alas bedak, lakukan teknik bayangan di bahagian sisi hidung, dahi, rahang dan tulang pipi.


SOLEKAN 3 dan 4

5. SAPUAN penyerlah pula untuk menonjolkan bahagian dagu, batang hidung dan bawah mata.

6. PEMERAH pipi menggunakan jenis krim dan ditutup dengan jenis bedak.


SOLEKAN 5 dan 6

7. LEKATKAN bulu mata palsu untuk menyerlahkan penampilan.

8. OLES gincu rona tanah untuk menyeimbangkan solekan mata smokey.


SOLEKAN 7 dan 8

AIRIL bersama model yang siap disolek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 3:15 PM