MUATNAIK video, gambar di media sosial apabila beri hukuman bukan cara baik dalam mendidik.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

KEMUNCULAN trend ibu bapa yang secara terbuka memalukan anak masing-masing di media sosial (child shaming) dengan memuat naik video atau gambar mereka menghukum anak bagi kesalahan yang dilakukan si kecil bukanlah perkara yang boleh dipandang sepi.

Tindakan seumpama itu sebaliknya mengajak dunia untuk mengulas mengenai salah laku anak mereka, malah lebih teruk melabel anak itu sebagai budak nakal.

Ibu bapa tidak mempunyai kawalan ke atas pelayar yang menonton video dan komen yang dilontarkan. Segala komen dan maklum balas negatif dan tidak bertimbang rasa boleh menyebabkan kanak-kanak berasa didiskriminasikan dalam kehidupan seharian mereka.

Trend dokumentasi web mengenai kehidupan peribadi dan mencari perhatian di media sosial bukan lagi perkara pelik ketika ini sehingga ada ibu bapa tanpa rasa bersalah membuat penstriman langsung mengenai bagaimana anak mereka perlu ‘membayar’ dan ‘dihukum’ atas perbuatan salah yang dilakukan.

Kewajaran tindakan ini semestinya menimbulkan debat berpanjangan dan menurut Kaunselor Universiti Perdana, Fudhail Hakimi Arif Ibrahim, meskipun sesetengah ibu bapa berpendapat tindakan itu sebagai pengajaran kepada anak, ia bukanlah didikan terbaik untuk membentuk tingkah laku mereka.

Bahkan, katanya, fenomena itu sebenarnya secara tidak langsung menjadikan topik perbualan rakan dan memalukan anak kepada masyarakat tanpa disedari ibu bapa.

“Adakah dengan melakukan perkara begini adalah didikan yang terbaik? Saya yakin anak kita sudah memahami situasi yang berlaku walaupun mereka masih kecil.


BERI kesan buruk kepada anak dari aspek mental dan emosi.

“Cuba bayangkan sekiranya pasangan kita memuat naik isu rumah tangga di media sosial. Saya amat yakin akan berbalas-balas status dan akhirnya membawa kepada pertengkaran.

“Hal ini berlaku kerana masing-masing berasa malu, isu rumah tangga dibawa keluar dan orang luar mengetahui keadaan rumah tangga mereka.

“Sama juga halnya dengan anak anda. Tindakan sebegini boleh membuatkan perkembangan kendiri mereka terbantut dan sikap kebergantungan mereka adalah lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, walaupun mungkin ramai tidak bersetuju, tindakan memalukan anak secara terbuka memang berlaku kini dan semakin meluas apatah lagi apabila semua pihak beranggapan perkongsian di media sosial adalah hak privasi kepada semua individu dan mereka bebas menggunakannya di mana saja dengan cara yang difikirkan ‘elok’.

Katanya, perkongsian rutin yang mereka lakukan bahkan ada juga yang menyiar secara langsung segala aktiviti rutin bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat.

Trend memuat naik video rakaman atau hukuman kepada anak juga menjadi fenomena perkongsian di media sosial kini dan semakin hari semakin membimbangkan.

Menurutnya, tindakan sebegitu hanya memberi kesan buruk kepada anak dari aspek mental dan emosi apatah lagi memikirkan bagaimanakah mereka akan melalui hari-hari dan persekitaran mereka.

“Bayangkan apabila di sekolah mereka menjadi topik hangat perbincangan sesama rakan, guru dan jiran tetangga.

Mereka menjadi bahan gurauan, usikan, sindiran dan umpatan tidak kira di sekolah atau di luar.

“Sudah tentu anak ini akan berasa malu dan rendah diri terhadap apa yang berlaku. Lanjutan daripada peristiwa ini akan memberi kesan negatif kepada anak seterusnya membawa kepada kejatuhan perkembangan kendiri mereka,” katanya.


FUDHAIL Hakimi

Jelasnya, Profesor Madya di Jabatan Pembangunan Manusia dan Sains Keluarga di Universiti Texas di Austin, Elizabeth T Gershoff, kajian menunjukkan semakin kerap anak dipukul boleh menyebabkan mereka bertindak agresif dalam kehidupan.

Bukan itu saja, tindakan sedemikian membuatkan anak hanya berdisiplin dalam tempoh sementara selain perasaan marah dan dendam akan wujud dalam diri anak yang akhirnya membuatkan mereka membenci ibu bapa apatah lagi mendedahkan hukuman yang diterima untuk tontonan awam di media sosial.

Ini kerana pendedahan yang dimuat naik di media sosial akan bertahan lama dan dalam beberapa detik saja boleh tersebar ke seluruh dunia. Sekali ia tersebar, amat sukar untuk dibendung yang tentunya memberi kesan negatif yang berpanjangan juga.

Oleh itu, katanya, hukuman yang dikenakan kepada anak tidak perlu dimuat naik ke dalam media sosial sebaliknya disimpan rapi dan menjadi rahsia antara ibu bapa dan anak.

Cara ini dilihat sebagai langkah yang jauh lebih baik dalam mendidik dan mengajar anak meneroka kehidupan serta perkembangan mereka.

INFO

MEMALUKAN ANAK SECARA TERBUKA TERMASUK:

- Mendedah perbuatan memalukan untuk memanipulasi sikap dan tingkah laku kanak-kanak

- Menjadikan perbualan yang sepatutnya bersifat peribadi mengenai kesilapan anak kepada umum.

- Ini dilakukan dengan berkongsi bersama rakan, keluarga atau lebih meluas di media sosial.

- Secara sengaja mahu anak berasa dirinya teruk dan bersalah terhadap diri sendiri berbanding fokus kepada sikap yang mahu diubah.

KESAN BURUK MALUKAN ANAK SECARA TERBUKA

- Anak berasa didiskriminasi

- Anak berasa malu

- Anak berasa tertekan dan dikhuatiri akan melakukan sesuatu di luar jangkaan

- Membantutkan perkembangan jati diri anak

- Menjejaskan keyakinan anak dan berasa rendah diri

- Memberi kesan jangka panjang kerana video itu akan kekal

- Anak akan menjadi bahan bualan yang menyebabkan dia tidak selesa

- Membuka ruang untuk anak menjadi mangsa buli

- Anak hanya akan berdisiplin di depan ibu bapa

- Wujud perasaan tidak puas hati

- Merangsang rasa dendam dalam diri anak

- Anak akan membenci ibu bapa dan hilang sifat belas

CARA DIDIK ANAK TANPA MEMALUKAN MEREKA I

- Mendisiplinkan anak dengan bermain bersama Ketika bermain otak anak paling mudah menerima maklumat.

- Berbanding menghukum, ajar anak tentang akibat perbuatan mereka, bukan memalukannya.

- Pantau situasi dan bantu anak fahami kesan buruk akibat tindakan mereka.

- Tunjukkan perbuatan positif yang anda mahu anak lakukan.

- Jangan bertindak melangkaui batas disebabkan anda kecewa dengan perbuatan anak

- Bertindak seperti ‘jurulatih’ kepada anak terutama pada usia remaja.

- Jika perbuatan anak menimbulkan masalah kepada orang lain, bawa dia untuk memohon maaf, perbetulkan kesilapan dan tidak mengulanginya semula.

- Disiplinkan anak dalam keadaan mereka sedang tenang kerana ketika ini maklumat dapat diserap dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 5:30 AM