IBU bapa perlu lengkapkan keperluan imunisasi anak sejak usia bayi.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


DEHIDRASI boleh terjadi kepada sesiapa saja. Ia berlaku apabila tubuh seseorang mengalami kekurangan cecair. Berbeza dengan orang dewasa yang serba boleh menguruskan keperluan diri, keadaan lazimnya lebih berbahaya kepada bayi dan kanak-kanak kecil.

Mereka cenderung merengek, tantrum, menangis, muntah, cirit-birit, kembung perut, tidak selesa dan lemah kesan daripada pengurangan air dalam tubuh.

Atas sebab inilah ramai pakar menasihatkan ibu bapa bersikap peka, prihatin dan sentiasa berhati-hati terhadap perubahan serta tahap kesihatan si manja, tidak kira di mana mereka berada.

Pakar Pediatrik, Dr B Kishore berkata, dehidrasi yang teruk boleh membawa maut. Ini disebabkan kekurangan air dan elektrolit yang banyak secara tiba-tiba daripada tubuh anak susulan jangkitan kuman dalam perut mahupun usus.

“Lazimnya punca dehidrasi dikaitkan dengan keradangan usus, kesan jangkitan virus, bakteria atau parasit yang kemudian membawa kepada simptom muntah dan cirit-birit akut (gastroenteritis akut atau AGE).

“Dalam kebanyakan kes AGE di Malaysia, ia berlaku disebabkan jangkitan rotavirus atau bakteria Salmonella di sekeliling kita. Virus atau bakteria ini akan pergi ke perut melalui air atau makanan tercemar.


IBU bapa perlu peka perubahan keadaan tubuh anak-anak.

“Apabila berlaku jangkitan, usus mudah tercedera dan air daripadanya akan keluar. Penting untuk diketahui bukan air saja yang akan hilang daripada tubuh sepanjang proses ini, tetapi sodium, potasium dan klorida juga akan turut berkurangan. Inilah yang menjadikan tubuh pesakit semakin lemah," katanya.

Jelas Dr B Kishore, masalah cirit-birit dan muntah tidak seharusnya dipandang remeh berikutan boleh membawa maut jika sampai ke tahap tubuh mengalami dehidrasi.

“Ramai ibu bapa yang tahu anak mereka cirit-birit, tetapi tidak tahu kesan buruk yang menanti jika lambat dirawat. Kita kena faham apabila air kurang dalam badan, semua organ tubuh akan turut mengalami kekurangan air.

“Buah pinggang, jantung dan hati, semuanya memerlukan air untuk berfungsi secara normal. Kekurangan air, sodium dan potasium umpamanya boleh menyebabkan organ tidak dapat bekerja dengan baik. Kalau dibiarkan, mangsa boleh maut,” katanya.

STATISTIK MEMBIMBANGKAN

Memetik jurnal bertajuk The Hidden Health and Economic Burden of Rotavirus Gastroenteritis in Malaysia yang diterbitkan pada 2016, Dr B Kishore berkata, situasi hari ini menuntut ibu bapa supaya lebih bijak memikirkan pentingnya pengambilan vaksin rotavirus untuk mengekang peningkatan jumlah kematian akibat penyakit itu saban tahun.

“Menurut jurnal berkenaan, di Malaysia kini 27 kanak-kanak meninggal dunia setiap tahun disebabkan rotavirus, 31,000 dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut, 41,000 mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan 145,000 lagi menjalani rawatan di rumah. Ini angka yang besar.


IBU bapa perlu peka perubahan keadaan tubuh anak-anak.

“Jika kita masih ingat, kira-kira tujuh tahun dulu, jangkitan rotavirus mengorbankan tiga kanak-kanak di Perak. Mereka meninggal dunia disebabkan kekurangan air dalam badan. Sejak itu barulah masyarakat membuka mata terhadap bahaya jangkitan virus ini dan mula mengambil tahu pentingnya vaksin.

“Namun, sehingga ke hari ini orang kita selalu kata vaksin rotavirus mahal. Mereka gagal membuat kira-kira sewajarnya. Bayangkan apabila anak dijangkiti virus ini, ibu bapa mungkin berdepan kos rawatan dan penjagaan yang tinggi, gangguan dalam kerjaya, tekanan emosi dan sebagainya. Semua ini nilainya berganda daripada harga vaksin itu,” katanya.

Kata Dr B Kishore, tiba masanya ibu bapa melangkah setapak ke depan dengan melengkapkan keperluan imunisasi anak sejak usia bayi supaya tidak terbeban pada masa akan datang.

“Sikap peka itu penting. Kalau anak mengalami demam, cirit-birit, muntah berpanjangan, tidak mahu makan dan minum serta lemah, bawa ke hospital sebelum terlambat. Itu antara simptom jangkitan yang boleh membawa kepada dehidrasi.

“Namun jika anak yang cirit-birit masih aktif, boleh minum, kencing dan makan, tidak perlu risau. Lazimnya doktor akan mencadangkan rawatan klinikal mengikut kesesuaian umur dan tahap sakit dihadapi. Ia bertujuan mengembalikan air dan garam mineral di dalam badan melalui terapi penghidratan semula oral (ORS),” katanya.

3 LANGKAH AWAL ELAK DEHIDRASI

1. Imunisasi

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Memandangkan kes dehidrasi saling berkait dengan jangkitan kuman dan virus, pengambilan vaksin adalah pilihan terbaik untuk mengurangkan risiko pada masa depan.

2. Pastikan persekitaran bersih

Tidak kira kediaman, pusat asuhan, taska atau tempat bermain, sentiasa utamakan kebersihan. Bawa semburan atau gel pensanitasi untuk menyahaktifkan sekurang-kurangnya 99.9 peratus bakteria, kulat dan virus yang hadir di permukaan.

3. Pastikan kebersihan makanan

Bagi yang kerap makan di luar, sentiasa utamakan restoran yang bersih sebagai pilihan.

INGAT GEJALA DEHIDRASI

- Kelesuan

- Kulit kering, sejuk

- Tiada air mata ketika menangis

- Mulut kering atau melekit

- Mata tenggelam atau ubun-ubun kepala tenggelam (tempat yang lembut di atas kepala bayi)

- Dahaga melampau

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 6:00 AM