NUR Sabrina selesa guna bahan semula jadi untuk rawatan kulit.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


BUKAN artis atau selebriti, namun gaya dan penampilan menarik wanita ini mudah mencuri tumpuan orang di sekelilingnya. Mungkin ramai pengikut fesyen tempatan yang sudah kenal dengan si cantik manis, Nur Sabrina Ismail, 24.

Wajahnya kerap menghiasi majalah, katalog dan laman web jenama fesyen tanah air, selain kerap muncul dalam kempen mahupun majlis pelancaran produk.

Menariknya, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia dan Pengurusan ini mempunyai hampir 55, 000 pengikut di laman sosial Instagram.

Dia manis menyarung pelbagai jenis busana tidak kira moden mahupun tradisional, selain bijak beraksi di pentas peragaan serta di depan lensa kamera.

Justeru, Hati mempelawa Nur Sabrina berkongsi rutin dan petua kecantikan yang diamalkan selepas membelek gambar terbaru wanita ini di media sosial.

Kata anak kelahiran Melaka ini, dia selesa menggunakan produk semula jadi, di samping mengamalkan petua tradisi kerana mudah didapati dan tidak memberi kesan negatif kepada kulit.

“Saya beri perhatian kepada perubahan kulit sejak di bangku sekolah lagi. Ketika itu, walaupun sudah banyak produk berjenama di pasaran, saya tetap percayakan penggunaan bahan semula jadi.

“Tabiat itu kekal ke hari ini. Sesekali, saya akan bancuh air perahan tomato bersama yogurt asli. Campuran ini disimpan semalaman di dalam peti sejuk sebelum dijadikan pupur.

“Ia juga boleh disapu ke seluruh wajah untuk membantu melembapkan kulit. Saya percaya, apabila kulit wajah lembap, hasil solekan akan menjadi lebih sempurna,” katanya.

Melengkapkan rutin penjagaan diri, wanita ini mengakui dia turut bersenam untuk mengeluarkan toksin dalam badan.

“Wajah akan nampak berseri-seri jika kita rajin bersenam. Kemudian, saya juga mengurut wajah beberapa minit selepas mencuci muka untuk kekal awet muda

“Saya pasti jika rutin ini dijadikan amalan, kulit wajah akan berasa lebih anjal dan segar setiap kali. Ia juga sesuai untuk mereka yang mengamalkan penggunaan produk tertentu seperti krim dan serum kerana memudahkan penyerapan kandungan produk serta menghilangkan tekanan.

“Selebihnya, minum air secukupnya, dapatkan tidur dan rehat yang berkualiti, bersenam jika ada masa terluang dan amalkan diet sihat.

“Bagi saya, sarapan adalah kunci utama untuk memulakan hari dan kekal bertenaga. Dapatkan tidur secukupnya untuk mengelakkan wajah kusam atau sembab,” katanya.

8 TIPS CANTIK

1. Minum air masak secukupnya.

2. Dapatkan tidur berkualiti.

3. Rajinkan diri untuk bersenam.

4. Jaga pemakanan dengan amalan suku-suku-separuh.

5. Amalkan menggunakan bahan semula jadi yang dijamin selamat .

6. Buat urutan wajah setiap hari.

7. Jaga kebersihan wajah.

8. Senyum selalu!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 5:00 AM