BUSANA miliki aura tersendiri, lebih praktikal dan tepati cita rasa remaja
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com


RINGKAS, minimalis dan selesa. Ketiga-tiga ciri ini selalunya menjadi kriteria penting dalam pemilihan pakaian remaja. Berbeza dengan pakaian kasual, memilih busana sopan lazimnya memerlukan penelitian.

Ini kerana golongan remaja lebih sensitif terhadap peredaran fesyen semasa. Mereka mahukan persalinan yang menonjolkan ciri kewanitaan dan feminin, pada masa sama tidak terlalu 'dewasa' di mata yang melihatnya.

Icahfa antara jenama fesyen tempatan yang menjadi tumpuan remaja kini. Pilihan busana yang dibawakan cukup santai, moden, namun masih mengekalkan ciri tradisi dan gaya klasik.

Sesuai buat mereka yang mahu tampil ringkas dan manis, setiap helaian busananya diberi sentuhan moden, seiring jiwa serta kehendak remaja alaf baru.

Menurut pengasas jenamanya, Hafisah Shafii, sentuhan moden perlu demi mencuri perhatian remaja kini terhadap keunikan dan keindahan busana klasik.

Mengambil contoh koleksi kurung Kedah yang dihasilkan, kata Hafisah, dia sengaja menambahkan satu poket di bahagian depan baju sebagai ‘aksesori’.


KURUNG kedah berpoket di depan.

“Jika letak dua poket, mungkin ia akan nampak terlalu klasik. Jadi, kami buat satu poket dan jahit dalam kedudukan senget. Bahagian lengan pula dikembangkan sedikit. Kurung Kedah ini dipadankan dengan kain batik supaya nampak sopan dan manis.

“Selain kurung Kedah, kami juga bereksperimen dengan kurung dan kebaya Riau. Kalau diikutkan, kedua-dua busana ini sepatutnya mempunyai pesak, tetapi kami buang untuk dapatkan potongan yang lebih ringkas dan moden, sesuai untuk golongan muda.

“Kami juga ada koleksi Sarimah yang menampilkan kurung klasik tanpa kekek. Ini juga kita modenkan supaya tampak lebih kemas dan ringkas,” katanya.

Jelas Hafisah, dia percaya busana klasik yang diberi sentuhan moden bukan saja memiliki aura tersendiri, bahkan lebih praktikal dan menepati cita rasa remaja sekarang.

“Saya mahu remaja mengenal pakaian tradisional dan bangga menyarung busana ini ke tubuh mereka sebagaimana persalinan kasual lain. Untuk itu, saya harus selangkah ke depan supaya pilihan busana yang disediakan seiring peredaran zaman.

“Bagi yang mahukan busana kasual dengan gaya sopan, ada banyak lagi pilihan yang mungkin sesuai dengan kehendak mereka yang mementingkan ciri minimalis dan selesa dalam gaya,” katanya.


MANIS dengan kurung Riau tanpa pesak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 4:30 AM