DIANGGARKAN 5 hingga 10 peratus wanita dalam umur produktif alami masalah ketidakseimbangan hormon.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


“DOKTOR, saya sudah mempunyai seorang anak. Selepas melahirkan anak pertama, saya masih tidak hamil. Sekarang anak saya sudah berumur tujuh tahun dan dia sibuk bertanya bila nak dapat adik.”

Ramai berpendapat apabila mudah hamil untuk anak pertama bermakna mereka juga tidak akan menghadapi masalah untuk hamil lagi dan menambah bilangan ahli keluarga. Namun hakikatnya tidak begitu.

Terdapat banyak kes pasangan sukar hamil setelah mempunyai seorang atau dua anak walhal mereka tidak mempunyai masalah sebelumnya.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Natasha Ain Mohd Nor, pasangan yang berhadapan masalah sukar hamil kali kedua dan seterusnya walaupun sudah mencuba dalam tempoh dua hingga tiga tahun perlu bertemu pakar kesuburan atau doktor ginekologi bagi mengetahui puncanya.

Dikenali sebagai masalah kesuburan sekunder jelas Dr Natasha, ia berlaku apabila seseorang wanita mendapati sukar untuk hamil semula setelah mengalami satu atau lebih kehamilan atau keguguran.

Dalam hal ini terdapat beberapa punca yang menyebabkan pasangan sukar hamil selepas kelahiran anak pertama. Punca paling umum disebabkan oleh masalah ketidakseimbangan hormon atau dikenali sebagai sindrom polisistik ovari (PCOS).

Dianggarkan lima hingga 10 peratus wanita yang berada di dalam umur produktif mengalami masalah ini. Ia disebabkan ketidakseimbangan hormon di dalam badan dan terdapat berlebihan hormon lelaki dan insulin di dalam tubuh pesakit.

“Ini mengakibatkan kitaran haid menjadi

tidak teratur seterusnya membawa punca kepada haid yang berpanjangan dan banyak, kemandulan, obesiti, gangguan

metabolisme gula dan kolesterol.

“Malah doktor masih tidak dapat memastikan punca sebenar PCOS ini tetapi mungkin penyakit ini turut dikaitkan dengan genetik,” katanya.

Mereka yang berdepan PCOS akan mengalami gejala seperti kitaran haid yang tidak teratur, iaitu berpanjangan dan banyak. Kegemukan atau obesiti, kencing manis, kolesterol tinggi dan tumbuh bulu-bulu yang berlebihan seperti lelaki seperti misai, janggut dan di bahagian dada.


DR Natasha Ain

RAWATAN PCOS

Terdapat beberapa rawatan PCOS antaranya:

1. Menurunkan berat badan bagi pesakit obes dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

2. Mengambil pil perancang atau hormon untuk memperbetulkan kitaran haid.

3. Mengambil ubat kencing manis terutamanya pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan, menghidap kencing manis atau kadar hormon insulin tinggi.

4. Ubat kesuburan untuk merangsang ovulasi contohnya clomiphene atau gonadotrophin.

5. Pembedahan ‘ovarian-drilling’ untuk pesakit yang tidak boleh menerima ubat rangsangan ovulasi.

Jelas Dr Natasha, selain PCOS, fibroid dan sista ovari juga antara punca yang kerap menghalang berlakunya kehamilan. Lebih-lebih lagi jika pesakit mengalami endometriosis kerana ia akan menurunkan kadar kesuburan kepada 20 hingga 30 peratus.

“Polip endometrum pula menyebabkan dinding rahim tidak sesuai untuk hamil. Ujian

hysterosalphingogram (HSG) untuk memeriksa salur fallopio akan dilakukan bagi melihat sama ada berlaku sumbatan pada tiub atau tidak,” katanya.

Selain itu kegagalan untuk hamil seterusnya juga disebabkan oleh faktor usia yang semakin meningkat seterusnya menyebabkan kualiti telur yang dihasilkan sangat rendah.

Ini ditambah pembedahan kelahiran ataupun dilatasi dan pengkuretan (D&C) selepas keguguran yang kadangkala boleh menyebabkan parut atau jangkitan. Akan tetapi, masalah ini tidak kerap berlaku.

Masalah sperma lelaki juga turut menjadi punca ketidaksuburan. Ia boleh berlaku sekiranya pasangan lelaki kuat merokok, menghidapi masalah seperti kencing manis atau darah tinggi yang tidak terkawal atau mendapat jangkitan beguk.

UJIAN DAN RAWATAN

Selepas mencuba selama dua atau tiga tahun seharusnya pasangan bertemu doktor untuk membuat pemeriksaan. Terdapat beberapa ujian yang perlu dilakukan bagi mengetahui punca masalah antaranya:

1. Imbasan pelvis untuk wanita

2. Ujian sperma untuk lelaki

3. Ujian untuk menguji sama ada saluran peranakan wanita tersumbat atau tidak.

Selepas ujian dilakukan, doktor akan menilai jenis rawatan kesuburan yang akan diberikan. Ia bergantung kepada punca masalah setiap pasangan.

Rawatannya termasuk memberi ubat subur, permanian beradas (IUI) dan juga persenyawaan In-Vitro (IVF).

Pada umumnya, mereka yang menghadapi masalah kesuburan sekunder masih mempunyai peluang dan harapan cerah untuk hamil lagi.

Namun ia bergantung kepada umur wanita itu dan punca masalah yang menyebabkan ketidaksuburan.

“Saya berharap pasangan yang mengalami masalah ini tidak sedih atau berputus asa. Mereka hendaklah berdoa dan berikhtiar agar mereka dikurniakan anak seterusnya.

“Sekiranya takdir mereka hanya untuk mempu-nyai satu anak, hendaklah bersyukur dan menumpukan perhatian kepadanya. Percayalah mungkin ada hikmah di sebaliknya,” nasihatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 5:30 AM
Skip this ad x