IDEA asal inspirasi daripada burung kakaktua spesies macaw.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


BAGI kanak-kanak keterujaan menyambut Hari Kemerdekaan akan lebih terasa apabila mereka dapat melihat atau merasai sendiri suasana hari bersejarah ini.

Mengibarkan Jalur Gemilang atau memakai pakaian yang ditandai dengan rona bendera kebangsaan sememangnya mampu menaikkan semangat patriotik dalam jiwa kanak-kanak.

Menyedari akan hal ini mendorong pemilik bersama butik Ayiey Zikry Wedding Home, Nik Hafiz Muhamad Afandi dan Ayiey Zikry menghasilkan rekaan gaun kanak-kanak bercirikan Malaysia. Menurut Nik Hafiz idea asal rekaan busana merdeka ini adalah inspirasi daripada burung kakaktua spesies macaw.

“Kami memilih burung macaw kerana haiwan ini mempunyai warna Jalur Gemilang yang unik dan tersendiri lantas kami diketengahkan dalam rekaan busana,” katanya.

Menghasilkan tiga rekaan gaun labuh mewah ia ditujukan kepada semua kanak-kanak yang ingin memperagakan pakaian bersempena Hari Kebangsaan tidak lama lagi.

“Oleh itu rekaan yang dihasilkan sarat dengan kemasan manik dan bunga tiga dimensi. Gaun berpotongan duyung, peplum dan gaun labuh dipilih bagi menampakkan si cilik lebih bergaya sekali gus menyerlahkan lagi potongan,” katanya.

Katanya, selain menampakkan ciri keunikannya, setiap rekaan memberi keutamaan kepada aspek keselesaan supaya si kecil ceria sepanjang masa. Ini dapat dilihat melalui potongan yang tidak terlalu berat, sarat sekali gus memudahkan pergerakan.

“Setiap rekaan dihasilkan mengikut peredaran zaman dan popular buat masa kini. Gaun, peplum, kebaya dan semua jenis rekaan berpotongan tradisional antara yang menjadi pilihan ibu bapa,” katanya.

Kata Ayiey pula, bagi memberikan keselesaan kepada si comel mereka menggunakan fabrik jenis satin bridal, sifon, renda, organdi dan net yang sejuk, tidak membuatkan kanak-kanak sensitif, tidak mudah terkoyak dan tahan lama.

“Istimewanya bersempena Hari Kemerdekaan ini kami memilih fabrik mengikut kod warna Jalur Gemilang. Jadi warna dipilih seperti merah, biru dan kuning menjadi daya pemikat dalam koleksi istimewa ini,” ujarnya.


BUSANA merah pulasan diserikan dengan bunga kebangsaan bagi memberikan nilai patriotik kepada si comel. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman.

Selain itu, pemilihan fabrik dan warna juga mengikut kesesuaian si pemakai, warna kulit, ketinggian dan saiz badan. Kemudian bagi menampakkan nilai patriotik setiap rekaan dikemaskan dengan manik mengikut tema ditetapkan.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan busana kemerdekaan ini boleh datang ke butik yang terletak di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur dan Di Kepala Batas Jitra Kedah. Kebanyakan pakaian boleh disewa atau terus dibeli di butik.

Harga sewaan untuk busana cilik bermula daripada RM200 sehingga RM350 manakala untuk belian bermula dari RM350 hingga RM1,500 mengikut rekaan busana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 4:30 AM
Skip this ad x