SITI ROHANI tekad dengan impiannya.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


MEMILIKI pakej lengkap sebagai seorang wanita yang wajar dikagumi. Dia bukan saja cantik malah mempunyai aura luar biasa yang membuatkan sesiapa saja mahu mengenalinya dengan lebih dekat.

Tutur katanya penuh kelembutan, setiap butir kata yang diungkapkan mempunyai maksud tersendiri menjadikan ibu kepada tiga cahaya mata ini sangat istimewa.

Pada usianya kini mencecah 47 tahun, semangat dan usaha kerasnya dalam memastikan apa yang diimpikan selama ini dapat direalisasikan wajar dikagumi dan dijadikan contoh khususnya wanita berkerjaya.

Siapa sangka dalam kesibukan hariannya menguruskan perniagaan sehingga sering tidak mempunyai cukup masa untuk bersama anak-anak, wanita berhati mulia ini sebenarnya mempunyai misi dan impian tersendiri dalam memastikan apa yang dihajati mampu digapai.

Memulakan bicara, Siti Rohani Habib berkata, bukan saja keluarga, ramai kenalannya sering mempersoalkan mengapa dia terlalu sibuk hinggakan kadang kala pulang lewat ke rumah hampir setiap hari.

“Secara zahirnya saya sama seperti wanita berkerjaya lain yang mempunyai perniagaan sendiri untuk diuruskan namun itu hanyalah apa yang dilihat di mata umum.

“Misi dan impian saya dalam mengendalikan perniagaan ini sebenarnya berbeza. Saya sebenarnya lebih fokus untuk mencapai impian sebenar saya dalam memastikan lebih ramai wanita bukan saja cantik malah mempunyai gaya dan stail tersendiri,” katanya.

Siti Rohani yang menjalankan perniagaan dalam dunia fesyen dan kosmetik berkata, sebenarnya agak keberatan dan berasa segan hendak berkongsi mengenai impiannya namun ia dilakukan demi memberi semangat kepada usahawan lain.

“Ramai orang menganggap peniaga hanya mahu kejar keuntungan semata-mata namun sebenarnya ramai usahawan yang mempunyai niat dan usaha lain di samping apa yang dimilikinya.

“Berbekalkan pengalaman berniaga, saya sangat bersyukur kerana satu persatu impian tercapai iaitu dengan bertapak dalam dunia kecantikan bersama jenama kosmetik bertaraf antarabangsa iaitu Note,” katanya.

Tambahnya, memandangkan apa yang diimpikannya itu memerlukan perbelanjaan dan penyusunan jadual harian yang tepat membuatkan dia membuat jadual serta tabungan khas setiap bulan untuk memastikan perniagaannya berjalan lancar.

“Separuh daripada keuntungan saya simpan manakala selebihnya untuk kegunaan masa kecemasan. Mungkin ramai yang menganggap saya mendapat keuntungan yang besar setiap bulan namun itu tidak. Adat berniaga, ada ketikanya keuntungan yang diterima tidak banyak namun saya tetap komited demi memastikan impian saya terus tercapai.

“Disebabkan itu, saya berusaha berjimat cermat kerana untuk memastikan segalanya berjalan dengan baik bukanlah satu perkara mudah,” ujarnya.


SITI ROHANI bersama suami dan anak-anak.

DIDIK ANAK BERDISIPLIN

Menurut Siti Rohani, dia bersama suami, Mohammad Reza Vojodi sentiasa mengingatkan dua anak lelaki dan seorang anak perempuannya supaya sentiasa komited dalam kerjaya.

“Memandangkan saya dan suami terbabit dalam bidang ini, kami menggalakkan anak-anak untuk turut meneruskan legasi ini bagi memastikan mereka dapat menyambung usaha kami kelak.

“Pada masa sama, kami juga mahu anak-anak merasai sendiri susah senang dalam bidang ini. Mungkin dengan cara ini terjawab semua soalan mereka yang selalu bertanyakan mengapa kami selalu sibuk dan tidak seperti ibu bapa lain yang ada masa untuk bersiar-siar pada hujung minggu ketika mereka kecil dahulu,” katanya.

Sebagai ibu, dia juga berasa sedih kerana selalu tidak cukup masa untuk anak-anak namun Siti Rohani berharap semua pengorbanannya itu berbaloi.

“Kini, walaupun usia semakin meningkat saya masih tetap komited dalam usaha bagi memastikan impian saya untuk berjaya tercapai.

“Saya juga bersyukur kerana anak-anak semakin meningkat dewasa dan ada yang sudah tamat pengajian. Kini mereka bersama-sama saya dan suami menguruskan perniagaan dan turut berusaha merealisasikan impian ini,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga berharap segala urusan dan misinya itu dipermudahkan selain turut menggalakkan lebih ramai usahawan di luar sana untuk terus berusaha keras mencapai apa yang diimpikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 5:30 AM