Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


DEMAM filem Dilwale yang menyerang hampir seluruh dunia tiga tahun lalu bukan saja menghidupkan semula kemasyhuran filem Hindi di negara ini malah pada masa sama menimbulkan keinginan wanita untuk tampil menawan dan memukau persis Kajol.

Dengan lirikan mata dan wajah segar, solekan ala Bollywood memberi penekanan pada bahagian mata bermula daripada kening, bulu mata dan penggunaan penggaris mata supaya mata nampak lebih bundar.

Solekan ini memerlukan teknik yang tepat pada bahagian kening supaya ia lebih menonjol, penggaris mata yang sedikit tebal dan penekanan pada penggunaan maskara atau bulu mata.

Menurut jurusolek profesional, Eureka Sazeli, penghasilan solekan Bollywood moden ini sesuai digayakan wanita yang mahu tampil luar biasa terutama untuk menghadiri apa juga majlis keraian atau makan malam.

“Menghasilkan solekan ini pada hakikatnya tidak sesukar yang disangka, namun sekiranya langkah digunakan itu salah terutama pada bahagian mata, ia boleh mencacatkan hasil keseluruhan solekan,” katanya.

Menurutnya, pemilihan warna gincu juga memainkan peranan dan penggunaan warna sesuai dengan pembayang mata pasti melengkapkan solekan.

“Ramai yang bimbang kelihatan keterlaluan apabila mengenakan solekan ini namun percayalah penampilan diri anda akan berbeza dan disukai ramai.

“Bagi melengkapkan kesempurnaan solekan ini, busana sesuai juga diperlukan bagi mendapatkan aura Bollywood diimpikan,” ujarnya.

Tambah Eureka, tidak mengira usia, solekan itu sesuai digayakan semua wanita, sekali gus memberikan imej moden.

“Paling utama adalah bahagian mata kerana di situlah titik utama dalam menghasilkan solekan ini.

“Cuba belajar dengan individu mahir terlebih dulu sekiranya anda belum pernah melakukan solekan jenis ini kerana bimbang hasilnya tidak menepati konsep ala Bollywood,” katanya. Eureka berkongsi langkah demi langkah dalam melakar solekan ala Bollywood.

1. WAJAH model tanpa solekan.

2. SAPUKAN bedak asas pada seluruh wajah dengan sekata menggunakan warna bedak yang seakan-akan senada dengan warna kulit sebelum menggunakan bedak tabur atau bedak padat.

SOLEKAN 1 dan 2

3. DIIKUTI teknik pembayang pada bahagian wajah, rahang dan hidung.

SOLEKAN 3

4. SAPUKAN pembayang mata menggunakan rona menyerlah, pilihan rona dan teknik penyapuan juga perlu betul bagi memastikan mata kelihatan memukau.

SOLEKAN 4

5. KEMUDIAN, buat garisan di bawah dan di atas mata menggunakan celak bagi memberikan kesan lebih dramatik.

SOLEKAN 5

6. GUNAKAN maskara atau bulu mata palsu untuk hasil bulu mata yang lebih cantik, diikuti dengan membentuk kening supaya lebih terletak dan kemas.

SOLEKAN 6

7. SELESAI bahagian mata, sapukan pemerah pipi bagi melengkapkan lagi solekan.

8. TERAKHIR, gunakan gincu menggunakan warna bersesuaian bagi menaikkan aura solekan Bollywood moden.

SOLEKAN 7 & 8

EUREKA (kiri) bersama Model, Era Sazeli mengayakan hasil solekan Bollywood di Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 4:31 AM
SOLEKAN ala Bollywood moden sesuai untuk penampilan luar biasa. FOTO: Faiz Anuar