MARIYATUL Adawiyah paksa diri bersenam setiap hari
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


MENGURUSKAN masalah berat badan yang mencecah tahap obes bukanlah semudah cakap-cakap orang. Tambahan jika ia sudah berkait dengan gangguan kesihatan jantung.

Banyak pengorbanan, komitmen, usaha, disiplin dan kesungguhan diperlukan. Itu tidak termasuk keprihatinan diri untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan doktor mengikut jadual.

Hal sama dilalui ibu kepada tiga anak, Mariyatul Adawiyah H A Malik, 46. Wanita ini nekad meninggalkan dirinya yang dulu selepas disahkan mengalami serangan jantung pada 2016.

Ibarat menggenggam bara api, pemegang Sarjana Pengajian Antarabangsa (Politik dan Ekonomi) dari University of Warwick, United Kingdom ini membuktikan usaha kerasnya mendapatkan berat badan ideal berbaloi.

Biarpun terpaksa bekerja keras, dia tidak pernah menyesal. Baginya, pada usia anak yang masih terlalu muda, dia perlu mengutamakan kesihatan dan kecergasan tubuh. Dia mahu terus sihat, menyaksikan anak membesar depan mata.

Mengimbau kembali titik mula yang mengubah dirinya, Mariyatul Adawiyah berkata, dia sebenarnya pernah bekerja di pelbagai sektor termasuk hartanah, minyak dan gas serta telekomunikasi di ibu kota Kuala Lumpur.

“Saya bekerja selama 10 tahun sebelum mengikut suami yang ditukarkan ke Langkawi sekitar 2011. Memandangkan anak masih kecil, saya membuat keputusan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga,” katanya.

OBESITI KELAS II

Menurut Mariyatul Adawiyah, masalah kegemukan yang dihadapi bukan bermula sejak dia menjadi suri rumah, bahkan memang dilalui sejak usia muda.

“Ketika pengajian matrikulasi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) lagi saya sudah obes. Pada usia 18 tahun, berat badan saya pernah mencecah 75 kilogram. Saya dimasukkan ke hospital kerana apendiks.

“Mungkin kerana sebagai anak bongsu dan lahir dalam keluarga cintakan makanan berminyak serta bergoreng, corak pemakanan saya memang ‘mewah’.

“Saya akui, ketika itu sentiasa berada dalam penafian. Menidakkan dan tidak mahu mengakui keadaan diri yang gemuk. Saya cuba mencari alternatif untuk menggembirakan hati dengan makan dan terus makan. Walaupun tidak lapar tetapi masih hendak mengunyah,” katanya.

Banyak perkara menjadi kekangan dirinya. Pergerakan terbatas, cepat mengah atau tercungap ketika berjalan dan naik tangga.

“Pada masa sama, saya mudah berasa rendah diri, tidak cantik dan kurang keyakinan. Hendak mencari pakaian juga susah. Memang tertekan!

“Petanda awal akhirnya tiba saat saya hamil anak pertama. Saya disahkan mengalami PIH (hipertensi kerana kehamilan). Bacaan darah yang tinggi menjadi petanda awal penyakit jantung.

“Kemudian, apabila hamil anak ke tiga, saya diletakkan di bawah pemantauan pakar perbidanan dan sakit puan kerana dibimbangi mengalami serangan jantung yang membahayakan ibu serta bayi,” katanya.


KETIKA obes tidak lama dulu. Kanan, masih kekal dengan rutin berjalan laju di Taman Lagenda Langkawi.

Siapa sangka, selepas bersalin anak bongsu, berat badan wanita ini terus naik sehingga dia disahkan mengalami serangan jantung pada 2016.

“Salah satu salur darah ke jantung sudah 70 peratus tersumbat, dengan dua lagi 30 peratus dan 20 peratus tersumbat. Doktor menasihatkan saya menjalani angiogram dan angioplasti untuk membuka salur darah yang tersumbat itu.

“Akur dengan nasihat doktor, saya jalani kedua-dua prosedur pada Disember 2017. Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar. Selesai prosedur, tinggal dua lagi salur yang masih tersumbat dan saya terpaksa bergantung hidup dengan menelan belasan jenis ubat sebelum berusia 40 tahun,” katanya.

SILAP SENDIRI

Wanita ini nekad mengusahakan yang terbaik. Dia sentiasa terkenang anak yang masih kecil dan bersekolah, terbayangkan kematian semakin menghampiri.

“Semua ini berlaku atas silap sendiri, tidak menjaga pemakanan, tidak bersenam. Penyakit jantung bukan perkara kecil yang boleh diabaikan.

“Awal September 2018, saya hadir temu janji doktor. Ujian darah sangat teruk dan saya dikatakan mempunyai masalah hati berlemak. Doktor mengambil berat kerana saya menunjukkan tanda-tanda boleh mengalami serangan jantung sekali lagi jika gagal mengurangkan berat badan dan lemak pada hati.

“Biarpun buntu, saya tetap berusaha mencari penyelesaian. Saya rujuk Internet, mencuba segala jenis diet, sehinggalah bertemu muat naik Facebook jurulatih kecergasan, Rohani Yaman.

“Menariknya, Rohani memberitahu sesiapa yang mahu kurus masih boleh makan nasi dua kali sehari. Kebetulan saya memang jenis lidah Melayu yang perlu makan nasi setiap hari. Jadi, saya terus mendaftar untuk mengikuti bimbingan secara dalam talian,” katanya.

Jelas Mariyatul Adawiyah, dia mengikuti program dalam keadaan separa sedar dan tidak meletakkan harapan tinggi untuk menurunkan berat badan dengan banyak.

“Memang sukar pada awalnya sebab kita sudah terbiasa makan tanpa kawalan dan had waktu. Mengubah tabiat buruk memang sukar.

“Saya nekad teruskan sebab dalam waktu percubaan selama 10 hari itu ada perubahan pada angka mesin penimbang, ada penurunan padahal makan nasi seperti orang lain.

“Melihat hasil positif, saya disiplinkan diri. Saya tukar pemikiran separa sedar kepada sedar akan perubahan yang berlaku. Saya buat log makanan dan senaman serta ambil gambar setiap hidangan bermula sarapan sampailah makan malam.

“Saya paksa diri bersenam setiap hari. Mula dengan senaman ringan di rumah seperti yang diajar oleh jurulatih seperti lompat bintang, plank dan squat,” katanya.


HIDANGAN suku-suku-separuh jadi amalan.

Katanya, permulaan usahanya memang cukup ‘seksa’ kerana badan masih berat. Tambahan dengan masalah jantung berdegup kencang setiap kali bersenam.

“Saya diajar untuk membuat sedikit pengubahsuaian pada senaman. Selama tiga bulan saya disiplinkan diri dengan menjaga pemakanan. Saya masak sendiri, kurangkan penggunaan minyak, garam dan gula.

“Tidak cukup dengan itu, saya baik pulih pantri dan kabinet makanan. Segala jenis makanan kurang sihat diasingkan dan diberi kepada orang lain. Itu langkah pertama.

“Langkah kedua, saya dan suami elakkan makan di luar dan pada lewat malam kerana ini memang salah satu penyumbang kegemukan saya. Selepas itu, saya penuhkan peti sejuk dengan makanan sihat seperti sayur, buah, ikan dan ayam segar.

“Saya juga banyak berjalan. Setiap hari akan berjalan laju di Taman Lagenda Langkawi. Tidak kira hujan atau panas, dari hanya 2,000 langkah sehari, saya berjaya mencapai 30,000 langkah sehari. Saya anggap ini adalah kejayaan untuk saya yang sudah pun berusia 40-an,” katanya tersenyum.

Kemuncak usahanya, Mariyatul Adawiyah berjaya mendapatkan Indeks Jisim Tubuh (BMI) ideal pada minggu ke-14 dia mengikuti kelas bersama jurulatih sama.

“Saya mendapat berat idaman pada minggu ke-20, bersamaan 8 Februari 2019 iaitu 55.5 kg. Jangkamasa dari Obes Kelas II ke BMI normal berjaya diraih dalam tempoh tiga bulan, manakala berat idaman dicapai dalam masa lima bulan.

“Syukur, sekarang saya dalam fasa mengekalkan berat badan. Ia lebih mencabar kerana saya perlu tahu jumlah kalori harian yang diperlukan. Selain itu, saya juga masih kekalkan pemakanan sihat mengikut saranan kementerian kesihatan iaitu Suku Suku Separuh. Cuma protein dan serat dilebihkan sedikit.

“Saya bersenam sekurang-kurangnya tiga jam sehari. Sejam untuk kardio dan bakinya untuk kekuatan tubuh. Latihan ini penting untuk memastikan badan tidak menggeleber apabila berat makin menyusut,” katanya.

Satu perkara yang membuatkan wanita ini teruja dan memanjat rasa syukur tidak terperi apabila keputusan darah diperolehi sangat memberangsangkan.

“Alhamdulillah, setiap kali temu janji doktor, bacaan darah stabil, gula cantik, kolesterol menurun. Tiada lagi kaki bengkak, sakit kepala, atau kebas pada tangan dan kaki.

“Daripada menelan 16 jenis ubat, sekarang saya cuma makan lima jenis saja. Penukaran gaya hidup yang sangat memuaskan dari segi rohani dan jasmani.

“Ini semua hasil dorongan suami. Dia pada mulanya sangat skeptikal apabila saya ikut kelas atas talian. Namun, selepas melihat perubahan saiz dari 3XL ke XS tanpa ubat atau makanan tambahan, suami memang beri sokongan penuh,” katanya yang gembira menjadi bualan pengguna gimnasium kerana mampu kurus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 5:30 AM