DR Hiew dan Dr Inna Eiberger.

RAMAI wanita tidak sedar mereka berhadapan masalah saraf atau neuropati kerana berasakan ia disebabkan faktor usia. Rasa kebas, sakit apabila disentuh, otot lemah atau kejang sering diabaikan akibat kurang kesedaran mengenai gejala penyakit ini sedangkan ia mempunyai kaitan dengan kesejahteraan hidup.

Bagi pesakit diabetes pula, simptom yang sama menyebabkan ramai pesakit termasuk wanita kurang mengambil endah mengenai tahap kesihatan dan tidak mendapatkan rawatan sewajarnya sedangkan sistem saraf yang sihat amat penting untuk memastikan rutin harian berjalan lancar.

Sistem saraf berfungsi dengan menghantar isyarat dalam badan dan membantu menerima rangsangan, memahami dan memberi maklum balas kepada sekeliling. Sistem saraf pusat merangkumi otak, tulang belakang dan sistem saraf periferal yang terdiri daripada sel-sel dan gentian saraf atau neuron. Ia saling bekerjasama untuk menyelaras tindakan boleh dikawal seperti berjalan dan luar kawalan seperti bernafas.

Walaupun fungsinya amat besar tetapi gangguan pada sistem saraf jarang diberi perhatian berbanding masalah kesihatan lain.

Neuropati adalah gangguan saraf yang memberi kesan kepada transmisi maklumat. Disebabkan profilnya yang rendah dan simptom yang mirip patologi lain, neuropati sukar untuk dikesan dan sering tidak didiagnosis.

Antara gangguan saraf yang lazim adalah neuropati periferi iaitu satu penyakit yang biasanya kronik dan mengakibatkan kerosakan saraf yang beransur-ansur semakin teruk.

Memandangkan ada banyak punca yang menyebabkannya dan ia boleh memberi kesan terhadap pelbagai saraf berbeza di bahagian tubuh yang berlainan, maka ia menjejaskan pelbagai fungsi badan.

SUMBER makanan yang kaya dengan vitamin B.

Menurut Pakar Perunding Neurologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Hiew Fu Liong, dalam kalangan rakyat Malaysia, faktor risiko neuropati periferi seperti proses penuaan dan diabetes kini membabitkan ramai orang.

Oleh kerana ia adalah penyakit yang progresif, maka pengesanan awal dan menerima rawatan bersesuaian amat penting untuk memelihara kualiti kehidupan serta kemampuan hidup berdikari dalam kalangan golongan berisiko.

Berdasarkan laporan, bilangan rakyat Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas dijangka mencecah 3.5 juta orang pada 2020 dan meningkat kepada 6.3 juta pada 2040 (mewakili kira-kira 20 peratus populasi negara).

Dianggarkan kira-kira 3.6 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes iaitu bilangan paling besar di Asia dan antara yang terbesar di dunia. Menjelang 2025, bilangan rakyat Malaysia dewasa yang menghidap penyakit itu dijangka meningkat kepada tujuh juta, kadar prevalens sebanyak 31.3 peratus.

SIMPTOM

Simptom penyakit neuropati adalah pelbagai dan meluas. Biasanya individu yang mengalami keadaan ini tidak mendapatkan nasihat doktor. Mereka mungkin mengalami sedikit rasa tidak selesa tetapi selalunya mengabaikan keadaan itu.

Antara simptom neuropati adalah:

l Rasa sakit apabila disentuh

l Kebas

l Keperitan seperti terbakar

l Kemerosotan kebolehan merasa sakit atau kurang sensitif terhadap rasa sakit

l Kemerosotan deria sentuh

l Kehilangan sensasi

l Otot menjadi kebas, lemah atau kejang

l Rasa otot berdenyut serta geli

l Kesukaran untuk berjalan atau menaiki tangga

l Kadar denyutan jantung yang meningkat

l Disfungsi pundi kencing

l Rasa pening

l Gaya berjalan yang tidak stabil

Ada kalanya, simptom seperti kepeningan, takikardia atau kelemahan otot boleh disalah tafsir sebagai tanda penyakit lain.

SUPLEMEN vitamin D mungkin diperlukan oleh sesetengah golongan.

FAKTOR RISIKO

Terdapat sebilangan faktor risiko neuropati yang diketahui, termasuk penyakit yang dikaitkan dengan kerosakan saraf sebagai komplikasi sekunder. Dalam 20 peratus kes penyebab neuropati periferi tidak diketahui.

Antara faktor risiko termasuk:

lPenuaan - Risiko kerosakan saraf bertambah seiring dengan peningkatan usia. Prevalens neuropati dalam kalangan individu berusia 40 hingga 49 tahun adalah 8.1 peratus dan dan meningkat kepada 34.7 peratus bagi mereka yang berusia melewati 80 tahun.

l Penyakit kronik seperti diabetes. Diabetes adalah punca neuropati periferi paling utama di seluruh dunia dan merangkumi kira-kira 35 peratus daripada kesemua kes yang dilaporkan.

l Penyakit seperti kanser, kemoterapi, jangkitan dan keradangan.

l Gaya hidup - Penyalahgunaan alkohol, merokok dan diet khusus yang membawa kepada kekurangan sesetengah nutrien.

l Tekanan berulang-ulang dan berpanjangan pada saraf, disebabkan aktiviti seperti menaip, memasak dan sentiasa duduk untuk jangkamasa lama.

l Kecederaan yang memberi kesan kepada saraf seperti trauma ekoran kemalangan jalan raya, jatuh atau kecederaan semasa bersukan.

l Kesan sampingan ubat-ubatan tertentu.

l Genetik - Sekiranya ahli keluarga anda menghidap neuropati, anda mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit yang sama.

PENCEGAHAN

Walaupun wanita memberi perhatian dalam bab penjagaan makanan namun ramai yang masih kurang arif mengenai nutrisi yang diperlukan setiap hari apatah lagi membabitkan vitamin.

Pengambilan vitamin B neurotropik iaitu gabungan vitamin yang memberi manfaat terhadap kesihatan sistem saraf boleh membantu mengurangkan risiko mengalami masalah ini. Kekurangan vitamin B biasanya dikaitkan dengan penyakit saraf dan apabila ia berlaku, suplemen vitamin B neurotropik boleh diambil sebagai rawatan.

Pengesanan awal, rawatan dan langkah pencegahan dalam kalangan individu yang berisiko tinggi mengalami kekurangan vitamin B juga penting untuk mengelakkan kerosakan kekal pada saraf.

Menurut Pengurus Perubatan Global Kanan Procter & Gamble Health International, Dr Inna Eiberger, nutrien ini berupaya membantu mereka menghindar masalah kesihatan kronik yang boleh memberi kesan negatif apabila tua kelak.

“Bagi sesetengah golongan contohnya

pesakit diabetes atau warga emas, keperluan vitamin ini lebih tinggi dan ia mungkin tidak cukup daripada makanan sahaja. Jika dilihat pada gaya pemakanan kita hari ini, kekurangan nutrien boleh berlaku dan ia akan membawa kepada impak kesihatan khususnya sistem saraf,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 5:15 AM