DEMONSTRASI mempertahankan diri oleh Skuad Aman Wanita Polis Diraja Malaysia.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


JENAYAH senyap membabitkan wanita dan kanak-kanak semakin menular dalam masyarakat kita. Macam-macam yang terlintas di fikiran tatkala mendengar kenyataan ini. Adakah semakin ramai wanita dan kanak-kanak menjadi pelaku jenayah?

Rupanya jenayah senyap ini merujuk kepada pelbagai kes penderaan dan penganiayaan ke atas wanita dan kanak-kanak. Memang jika dilihat, ada saja kes penderaan yang kadangkala tidak masuk akal dilakukan ke atas mereka.

Isteri yang dulunya dikahwini atas dasar cinta kini dikasari hingga ada yang ditampar, ditendang dan dipijak ketika hamil. Itu belum masuk yang ditinggalkan tanpa nafkah. Anak juga mendapat layanan buruk malah ada yang dipaksa berlapar, dikurung atau dipaksa tidur di luar rumah.

Tidak kira apa pun bentuk jenayah keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak, ia memberi kesan yang sama khususnya terhadap kesejahteraan mental, fizikal, emosi dan psikologi mangsa.

Sudah sampai masa untuk semua ini dihentikan. Program Stop It, Survive (SIS) dibuat untuk meningkatkan kesedaran wanita sendiri dan masyarakat umumnya dalam usaha menjaga keselamatan diri menghadapi keganasan.

Program SIS tidak sekadar mendedahkan bentuk jenayah keganasan terhadap wanita malah turut memperincikan faktor yang mempengaruhi, langkah berkesan menangani dan akta perundangan yang dapat melindungi wanita serta kanak-kanak supaya mereka tidak terus hidup menderita.


PENCERAMAH terkenal, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dan suami, Wan Akashah Wan Abdul Hamid (tengah) turut memberi sokongan.

Projek dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) Daerah Baru Pahat, Hal Ehwal Wanita (Helwa) Batu Pahat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) itu dalam usaha menghentikan jenayah keganasan terhadap wanita.

Inisiatif melaksanakan SIS antara langkah proaktif dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan isu global sekali gus memastikan wanita tahu apa tindakan perlu diambil dan bangkit bagi menangani 0permasalahan ini.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor yang juga Ahli Undangan Negeri (Adun) Penggaram, Gan Peck Cheng berkata, kerajaan sentiasa mencari inisiatif terbaik bagi memastikan kesejahteraan wanita diutamakan. Usaha itu termasuk menterjemahkan komitmen itu dalam bentuk dasar dan perundangan yang digubal atau dipinda.

Beliau berkata, program yang diadakan pula untuk memastikan sebarang bentuk keganasan terhadap golongan terbabit dilakukan secara holistik bagi mengekang masalah ini serta membantu golongan yang menjadi mangsa.

Antaranya Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita digubal bagi memperkasakan wanita dipergiatkan dan menjadi agenda setiap rakyat Malaysia.


TURUT dijalankan aktiviti untuk kanak-kanak.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mewujudkan Talian Nur 15999 pada 2007 dan talian Childline 15999 pada 2010 bagi membolehkan orang awam membuat aduan kes penderaan, keganasan, pembuangan bayi dan khidmat kaunseling,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Stop It, Survive (SIS) 2019 sempena Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Dewan Jubli Intan Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian kekeluargaan Wakil Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Zulkafli Kadir; Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim dan Adun Yong Peng, Chew Peck Choo.

Turut dianjurkan forum jenayah bertajuk Menangani Keganasan Terhadap Wanita membabitkan Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat dengan panel Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah Negeri Johor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor.

Gan berkata, isu keganasan rumah tangga menjadi fenomena biasa yang sering berlaku apabila runtuhnya sesebuah institusi kekeluargaan.

“Kes penderaan dan penganiayaan terhadap wanita dan kanak-kanak adalah ‘jenayah senyap’ yang semakin menular dalam masyarakat kita.

“Apa yang menyedihkan apabila ia lambat diketahui hingga menyebabkan kecederaan teruk dan si mangsa sudah pun meninggal dunia,” katanya.

Katanya, keganasan rumah tangga menyebabkan kesan trauma berpanjangan kepada mangsanya. Ada mangsa yang mengalami tekanan dan trauma jangka panjang dan kesan yang mendalam terutamanya kepada kanak-kanak.

“Dari sudut psikologinya, kemungkinan anak ini akan mengulangi apa yang dilihat dan dilakukan ibu bapa mereka dan berpotensi menjadi ‘pendera’ apabila dewasa kelak,” katanya.

Katanya, menerusi laporan ‘Report Working Together : Case Studies in Domestic Violence Response’ pada tahun 2015, terdapat 44 wanita atau 40 peratus daripada mereka didera secara fizikal dan mental oleh pasangan mereka lebih daripada lima tahun.

Sementara itu, 41 peratus pula didera antara satu hingga lima tahun dan selebihnya kurang daripada satu tahun. Ini membuktikan sebanyak 81 peratus wanita pernah menjadi mangsa dera.

Katanya, perangkaan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2013 hingga Mei tahun ini mencatatkan sebanyak 3,424 kes membabitkan keganasan rumah tangga.


GAN (berdiri depan enam dari kiri) bersama tetamu jemputan dan peserta program Stop It Survive Daerah Batu Pahat sempena Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita.

“Statistik ini menunjukkan peningkatan pada setiap tahun dengan 583 kes pada 2013, 541 kes (2014), 633 kes (2015), 671 kes (2016), 681 kes (2017) dan 315 kes sehingga Mei ini,” katanya.

Beliau berkata, kes keganasan terhadap wanita merangkumi keganasan rumah tangga, rogol, sumbang mahram dan penyalahgunaan pekerja domestik. Selain itu ia juga membabitkan penderaan kanak-kanak, pencabulan dan gangguan seksual.

Katanya, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) pindaan 2012 diwujudkan bagi membendung kejadian keganasan terhadap wanita dan penderaan kanak-kanak.”

Akta ini dikuatkuasakan pada 20 Februari 2013 bagi memperluaskan takrifan keganasan rumah tangga dari bentuk fizikal membabitkan penderaan emosi, mental dan psikologi. Selain itu ia merangkumi penggunaan bahan memabukkan serta bahan yang menyebabkan delusi kepada mangsa termasuk kanak-kanak.

Katanya, Akta Keganasan Rumah Tangga bertujuan melindungi wanita daripada penjenayah atau pelaku yang melakukan keganasan terhadap mangsa dan bukannya meruntuhkan institusi kekeluargaan.

“Wanita dan masyarakat perlu sedar dan faham akta yang dipinda ini mempunyai tujuan murni bagi membendung jenayah keganasan terhadap mangsa yang terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 6:00 AM