USAH cepat panik apabila anak alami tindak balas alahan di rumah
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


REAKSI alergi atau alahan adalah perkara biasa pada kanak-kanak yang dicetuskan oleh alergen yang bersentuhan dengan kulit, mata, hidung dan usus mereka. Masalah utama alahan boleh timbul dalam beberapa bentuk, contohnya ekzema atopi atau dermatitis, alahan rhinitis atau alahan asma.

Malah, hampir semua bahan boleh menjadi alergen (bahan yang menyebabkan alahan). Selain makanan tertentu, antara beberapa alergen lazim termasuk habuk, debu bunga, kulapuk, bulu haiwan dan ubatan.

Penyebab alahan pada kanak-kanak boleh datang daripada makanan seperti telur, kacang tanah, pelbagai kekacang, susu lembu, soya, gandum, ikan dan kerang-kerangan. Gigitan lebah atau serangga lain, ubatan seperti antibiotik atau anestetik; dan lateks atau getah turut menjadi penyebab alahan.

Menurut Pakar Kanak-kanak, Dr Fadzlina Abd Aziz, keterukan alahan boleh terjadi sama ada pada bahagian tertentu badan atau seluruh badan.

Bagaimanapun, katanya, perlu diingatkan juga setiap individu mempunyai reaksi alahan yang berbeza.

“Alahan boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu alahan biasa, sederhana dan alahan teruk. Alahan yang teruk jika tidak dirawat boleh menyebabkan renjatan atau tindak balas serius (anafilaksis).

“Anafilaksis adalah situasi yang berbahaya apabila kesan alahan yang serius menyebabkan beberapa fungsi badan terganggu termasuk kemerosotan tekanan darah, masalah pernafasan dan pitam.

“Kebanyakan reaksi alahan adalah ringan, tetapi sesetengahnya mungkin sangat teruk. Anafilaksis adalah bentuk reaksi alahan yang paling parah dan mengancam nyawa,” katanya.

Oleh itu, katanya, reaksi anafilaksis adalah kecemasan perubatan yang jika tidak diambil tindakan segera boleh membahayakan nyawa anak.

Antara tindak balas alahan yang boleh dialami termasuk kesukaran bernafas, saluran udara membengkak dan menyebabkan kesukaran bernafas, serak atau masalah bercakap, halangan pada hidung atau batuk, denyutan jantung atau nadi menjadi pantas, kulit berasa gatal, kebas dan kemerahan atau pembengkakan pada bahagian kulit dan badan.

Dr Fadzlina berkata, apabila berdepan situasi anak mengalami tindak balas alahan di rumah, ibu bapa dinasihatkan agar tidak cepat panik.

BULU haiwan boleh mengundang alahan.

Ini kerana, katanya, episod alahan makanan yang paling ringan akan bertindak balas dengan baik dengan ubat antihistamin yang diberikan secara oral (makan). Bagi tindak balas anafilaksis pula, katanya, kebiasaannya rawatan pertama adalah adrenalin yang diberikan dalam bentuk suntikan.

“Biarkan anak berbaring, tetapi jika pernafasan sukar, mereka boleh duduk. Kemudian berikan suntikan dengan autoinjector dan hubungi ambulans dengan segera.

“Suntikan autoinjector kedua mungkin diperlukan semasa menunggu ambulans. Sekiranya tiada penyuntik automatik ini di rumah, hubungi ambulans dengan segera,” katanya.

TANDA AWAL ALAHAN

- Kesan iritasi (kemerahan) dan gatal pada kulit

- Bengkak pada bahagian badan seperti kelopak mata, bibir dan muka

- Perubahan suara (menjadi kasar)

- Sukar bernafas

- Sakit tekak

- Lesu

ALAHAN MAKANAN

Pemakanan yang seimbang amat penting untuk menjamin tumbesaran kanak-kanak. Bagaimanapun, segelintir kanak-kanak tidak dapat menikmati semua makanan kerana mengalami alahan yang menyebabkan kesan sampingan berbeza.

Contohnya, kita digalakkan memakan pelbagai jenis kekacang kerana ia mengandungi banyak khasiat dan nutrisi penting untuk badan, tapi ada orang tidak dapat mengambilnya kerana alahan.

Bagi kanak-kanak, mungkin masalah alahan ini akan menyukarkan mereka menikmati makanan yang diingini seperti kek. Kanak-kanak ini mungkin alah pada gluten yang terkandung dalam tepung dan menyebabkan mereka tidak berpeluang merasai kek yang enak.

Bagaimanapun, jika kena caranya banyak resipi makanan yang boleh diolah mengikut kreativiti ibu bapa untuk anak yang mengalami masalah alahan terhadap sesuatu bahan makanan sekali gus memberi peluang anak mereka menikmati makanan enak tanpa berasa terpinggir atau berbeza dengan orang lain.

DAPATKAN DIAGNOSIS PAKAR

Disebabkan gejala alahan muncul dengan pelbagai rupa, adalah mustahak untuk ibu bapa supaya tidak tersilap mendiagnosis anak mereka dan melakukan rawatan sendiri tanpa nasihat doktor.

Jika anak mengalami mana-mana gejala atau mengesyaki mereka alah pada sesuatu bahan, bawa anak anda menemui doktor atau pakar alahan.

Dalam kebanyakan kes, ada ubatan yang berkesan untuk menguruskan gejala alahan dan memberikan kelegaan kepada anak.

Bagi mengenal pasti bahan yang menyebabkan alahan, kaedah tertentu seperti ujian pada kulit atau darah digunakan walaupun dalam segelintir kes punca alahan dapat diketahui dengan hanya melihat gejala yang timbul.

Kadangkala lebih daripada satu jenis alergen dapat dikesan dalam ujian berkenaan dan menjauhkan kanak-kanak daripada punca alahan boleh menghilangkan gejala.

Bagi kes yang rumit atau mengancam nyawa, ia memerlukan jadual ketat rawatan yang khusus bagi mencegah episod alahan pada masa depan.

Amat penting memaklumkan masalah alahan anak kepada pihak sekolah, pengasuh dan perawat supaya berjaga-jaga dengan alahan terbabit untuk tindakan pencegahan dan melakukan rawatan segera jika terdedah dengan alergen.

Memaklumkan masalah alahan anak kepada pihak sekolah, pengasuh dan perawat supaya berjaga-jaga dengan alahan terbabit untuk tindakan pencegahan dan melakukan rawatan segera jika terdedah dengan alergen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 6:00 AM