SARAN makan awal, tepat pada waktu kerana perut kosong sebabkan keadaan lebih teruk.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


MENGALAMI loya ketika hamil antara situasi yang kerap dialami kebanyakan bakal ibu. Ramai yang menderita akibat loya dan muntah melampau terutama pada trimester pertama kehamilan.

Tentu saja ramai yang tertanya-tanya mengapa situasi itu berlaku, walaupun bukanlah kandungan pertama, hampir setiap wanita yang mengalaminya tetap ingin tahu sekiranya terdapat kaedah atau cara yang dapat melegakan alahan dialami.

Hakikatnya, lebih 80 peratus wanita hamil akan berasa loya, manakala 50 peratus daripadanya akan mengalami muntah-muntah yang membawa maksud situasi itu sangat normal dihadapi wanita hamil.

Mengupas mengenai situasi ini, pegawai perubatan, Dr Farhanah Ibrahim berkata, alahan ketika hamil biasanya disebabkan perubahan hormon yang terjadi kepada setiap wanita terbabit

“Human chorionic gonadotropin (hCG) adalah hormon yang dihasilkan ketika itu dan ia terhasil dengan paras lebih tinggi pada trimester pertama dan menyebabkan usus sedikit mengembang daripada biasa.

“Estrogen dan progesteron yang lebih tinggi ketika hamil juga menyebabkan pergerakan usus menjadi lebih perlahan apabila kedua-dua faktor ini bersama faktor perubahan fisiologi lain menyumbang kepada rasa loya dan muntah, terutama ketika awal kehamilan,” katanya.

Menurut Dr Farhanah, antara kaedah yang boleh membantu mengurangkan rasa loya itu adalah makan dalam kuantiti kecil tetapi kerap.

“Sebenarnya, perut yang kosong boleh membuatkan anda rasa loya lebih teruk, jadi pastikan anda makan awal dan tepat pada waktunya. Anda juga dinasihatkan tidak mengambil makanan terlalu banyak yang boleh membuat perut terlalu kenyang.

“Ibu mengandung juga disarankan memilih makanan dalam kuantiti yang kecil dan makan secara kerap. Jangan makan untuk dua orang kerana itu hanya satu mitos. Makan perlahan-lahan dan ambil masa untuk mengunyah makanan anda,” katanya.

Katanya, selain itu ibu hamil perlu memilih makanan dengan betul iaitu dengan mengelak makanan atau bau yang boleh membuat anda loya.


DR Farhanah

“Pemilihan makanan juga penting, jadi elakkan makanan berminyak, berlemak dan pedas. Sebaliknya, anda harus pilih makanan yang tinggi kandungan protein dan karbohidrat, rendah lemak dan mudah dicerna seperti pisang, beras, keropok, epal dan roti bakar.

“Selain itu, pengambilan makanan masin juga boleh membantu, dan begitu juga makanan yang mengandungi halia,” ujarnya.

Dr Farhanah berkata, selain pemakanan, ibu hamil juga perlu memperbanyakkan pengambilan air kosong.

“Sama seperti makanan, mengambil jumlah air yang mencukupi sepanjang hari mungkin sedikit sebanyak dapat membantu. Tetapkan untuk minum enam hingga lapan cawan tidak berkafein setiap hari.

“Elakkan minuman yang terlalu sejuk atau manis. Elakkan juga pengambilan alkohol kerana ia tidak baik untuk bayi malah akan menyebabkan alahan menjadi semakin teruk,” katanya.

Tambahnya, ibu hamil juga digalakkan untuk cukup rehat dan tidur terutama sekurang-kurangnya lapan jam setiap malam kerana keletihan boleh menyebabkan loya menjadi lebih teruk.

“Anda juga boleh tidur sekejap sekiranya perlu selain elakkan tergesa-gesa terjaga dan bangun daripada katil terlalu cepat.

“Selain itu, ibu hamil juga perlu mengelakkan diri daripada tekanan kerana ia boleh membuatkan alahan anda menjadi lebih teruk. Sekiranya anda berasa terlalu tertekan, cuba kurangkan beban kerja dengan membahagikan masa dengan lebih efektif,” ujarnya.

Kebiasaannya loya dan muntah ketika hamil lebih berisiko untuk berlaku pada:

- Kehamilan pertama

- Kehamilan kembar

- Kehamilan molar

- Ibu lebih berat badan

- Keturunan yang mengalami alahan teruk ketika mengandung

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 5:30 AM