ADORMIDERA (kiri) dengan taburan bunga indah. Senrose Joobah ringkas tapi bergaya.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


KIRA-KIRA 10 hari lagi umat Islam bakal menyambut Aidiladha. Bagi kebanyakan wanita, kemeriahan hari raya ini tidak pernah kurang berbanding Aidilfitri. Baju kurung dan jubah baru tetap menjadi tumpuan untuk digayakan ketika berkunjung ke rumah sanak saudara.

Cuma, jika dilihat pada gaya, ramai wanita lebih suka memilih jubah, abaya atau busana jenis maksi labuh untuk disesuaikan dengan tema hari raya Haji.

Tidak ramai yang mengenakan kurung atau kebaya ketat pada Aidiladha kerana menghormati saudara dan teman yang mungkin berada di Kota Makkah, mengerjakan ibadah haji.

Ketika ini jugalah banyak jenama fesyen berlumba-lumba mengeluarkan koleksi jubah, khimar, abaya dan pelbagai busana indah yang mungkin jarang ditemui.


QASHIKA untuk ibu hamil dan Kajool bawa tema Pakistani.

Salah satu jenama tersohor pilihan ramai adalah Leeyanarahman. Tampil dengan pilihan warna pastel dan terang, koleksi jubah dan abaya yang dikeluarkan tampak cukup elegan dan menarik untuk digayakan.

Bijak bermain dengan tema, perincian, hiasan dan potongan, setiap busananya menawarkan gaya berbeza. Ada juga yang sesuai untuk wanita hamil.

Koleksi Kajool umpamanya, ia mengetengahkan busana sopan yang diinspirasikan daripada budaya masyarakat Pakistan. Jubah moden seakan gaun ini sesuai untuk mereka yang mahukan tema Bollywood raya ini.

Sekilas pandang, ia juga sesuai dijadikan persalinan untuk majlis istimewa seperti bertunang atau dipakai menghadiri majlis makan malam bertema.

Adormidera Joobah pula menampilkan pilihan busana indah yang menggunakan fabrik bermotifkan bunga poppy. Ropol gaya peplum di bahagian bawah baju ini menaikkan seri dan keceriaan pemakai.

Bagi mereka yang sukakan pilihan rona pastel, Koleksi Stellalissa dan Senserose Joobah mungkin pilihan yang sesuai. Stellalissa tampak mewah dengan taburan batu dan susunan permata di bahagian bawah dada.

Potongan busana ini ringkas namun susunan bertingkat buat langkah pemakai tampak lembut, sopan dan anggun. Lebih menarik, busana ini juga mesra penyusuan.

Bagi ibu hamil, jubah Qashika dan Madonna sesuai untuk bergaya. Biarpun ringkas, namun hiasannya yang menutup dada pasti buat ibu lebih selesa.


STELLALISSA (kiri) dan Madonna busana mewah, elegan dan selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 5:00 AM