Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


TAMPIL cantik pada hari biasa tidak sesukar dibayangkan sesetengah orang, malah solekan diguna setiap hari seharusnya ringkas tapi menarik.

Solekan semula jadi hingga hari ini masih menjadi kegemaran ramai wanita. Selain nampak lebih minimalis, ia juga sesuai digayakan untuk acara santai mahupun ke majlis glamor.

Tidak sukar mendapatkan kulit yang kelihatan sihat, halus dan bersinar dengan teknik solekan tepat. Seperti solekan minimalis yang menjadi kegilaan ramai wanita kini, teknik bayangan dan penyerlah berperanan menampilkan solekan tampak mewah serta mahal persis selebriti.

Jurusolek, Siti Murzianawaty Mohd Kusairry (@sitiekusairrymakeup) berkata, menyolek wajah dengan teknik betul dan pemilihan sesuai buat wanita yang meningkat usia 30-an boleh membantu membangkitkan keremajaan wajah dan paling utama menutup kekurangan pada wajah.

Katanya, bagi solekan ini kebanyakan warna tanah atau warna semula jadi digunakan untuk menampilkan wajah lebih semula jadi manakala teknik penyerlah dan bayangan menjadikan solekan tampak mewah.

“Untuk menampilkan wajah tampak lebih muda dari usia, penyerlah perlu dilebihkan berbanding pemerah pipi. Penyerlah krim lebih sesuai digunakan untuk kesan optimum.

“Berbeza dengan teknik solekan lain, solekan ini tidak fokus pada penggunaan warna menyerlah sebaliknya cukup sekadar permainan warna tanah dan semula jadi untuk tampil berseri,” katanya.

Siti Murzianawaty berkata, selepas membersihkan wajah, solekan dimulakan dengan menyapu primer pada seluruh wajah. Penyediaan atau ‘prep’ wajah juga penting agar kulit kekal lembap dan menyerlahkan solekan.

Selepas itu, penyamar noda disapu pada bahagian wajah yang lebih gelap seperti di bawah mata, sisi hidung, bahagian atas bibir dan pangkal dahi diikuti alas bedak di seluruh wajah mengikut kesesuaian warna kulit.

Alas bedak berfungsi untuk menutup cela atau parut kecil pada wajah, tetapi jika terlalu tebal akan membuatkan solekan kelihatan bercapuk. Cara terbaik sapukan alas bedak secara tipis dan diratakan sebelum menggunakan bedak tabur.

Selepas itu, gunakan pensil mata atau berus kening dan bentukkan kening mengikut kesesuaian bentuk wajah. Untuk kelihatan muda dan lebih lembut, pastikan warna pensil mata tidak terlalu gelap. Warna coklat gelap pilihan terbaik.

Sapukan pembayang mata pada bahagian kelopak. Bagi solekan minimalis, warna yang digunakan haruslah berwarna tanah dan cukup hanya satu warna pembayang mata.

Kemaskan bahagian bulu mata menggunakan maskara. Gunakan celak mata di bahagian dalam dan luar alis kelopak mata.

Untuk membentuk wajah pula, gunakan teknik ‘shading’ agar bahagian seperti hidung dan tulang pipi nampak menyerlah sebelum menyapukan pemerah pipi di atas shading.

Pada bahagian bibir, oles gincu dengan warna semula jadi atau pastel. Siti Murzianawaty menunjukkan langkah solekan untuk menampilkan keremajaan wajah.

1.WAJAH sebelum disolek.

2.SAPUKAN penyamar noda di bahagian lebih gelap.

3.SAPUKAN alas bedak di seluruh wajah.

4.PEMBAYANG mata disapu pada kelopak mata.

5.LAKUKAN teknik ‘shading’ sebelum menyapu krim penyerlah.

6.PEMERAH pipi diratakan pada tulang pipi.

7.OLES gincu berwarna semulajadi atau pastel.

8.WAJAH siap disolek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 5:20 AM