ADA ibu bapa risau anak enggan makan tapi ditangani secara salah.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


“DOKTOR, anak saya selalu tak nak makan. Saya bagi makan nasi dia tak nak, lauk-pauk lagilah dia tolak. Selalunya dia hanya suka makan roti berinti coklat atau biskut.

Itu antara rungutan dan aduan biasa diungkap kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak berusia dua tahun ke atas.

Pelbagai cara dicuba hingga ada dalam kalangan ibu bapa sanggup mengeluarkan belanja agak tinggi membeli vitamin bersesuaian semata-mata untuk menambah selera si anak.

Mana tidaknya, anak hanya makan sekali atau dua kali dalam sehari. Itu pun dalam kuantiti yang sedikit dan tentunya menimbulkan kebimbangan kepada mana-mana ibu bapa.

Mengupas berkenaan senario ini, Pegawai Perubatan, Dr Mohd Hanafi Abdull Habir berkata, apabila berdepan situasi itu, kebanyakan doktor akan memastikan beberapa perkara penting terlebih dulu sebelum memutuskan apa jua jawapan.

“Perkara pertama ialah keadaan kesihatan kanak-kanak itu sendiri. Adakah dia dalam keadaan sihat atau sebaliknya kerana ia memainkan peranan terbesar dalam menentukan selera seorang kanak-kanak.

“Selain itu, kami juga akan meneliti perkembangan si kecil terutama berkaitan berat badan dan ketinggiannya. Sekiranya semua perkara itu dalam keadaan baik namun kanak-kanak terbabit tetap sukar untuk makan secara konsisten, ia memerlukan pemantauan, kefahaman dan usaha daripada ibu bapa,” katanya.


JANGAN terlalu obses mahu beri anak makan hinggakan memaksa.

Menurutnya, soalan pertama yang akan diajukan ialah berapa kali si ibu, si bapa atau penjaga mengajak anak makan?

“Jawapan paling biasa yang saya terima ialah tiga kali sehari iaitu pagi, tengah hari dan malam namun hakikatnya jawapan itu salah kerana tiga waktu itu ialah waktu individu dewasa makan, bukanlah kanak-kanak atau bayi.

“Mengapa saya katakan jawapan itu salah. Ini kerana perut dan keperluan makanan kanak-kanak tidak sama seperti dewasa. Biasanya dalam tempoh empat jam kanak-kanak akan berasa lapar yang menyebabkan dia mula makan apa yang dia rasakan sedap seperti coklat, biskut atau makanan ringan.

Katanya, ibu atau bapa kemudian terus memberikan kanak-kanak itu makan nasi tanpa menyedari anak baru saja makan biskut dan roti yang kemudian ditolak si kecil.

“Walhal si anak masih kenyang. Walaupun hanya mengambil biskut atau roti, si kecil tetap berasa kenyang disebabkan keadaan perutnya yang masih kecil.

“Dalam situasi lain, ada juga segelintir ibu bapa sangat risau apabila anak mereka langsung tidak mahu makan nasi dan memilih roti atau mi. Jawapan saya tidak mengapa, asalkan si anak itu cukup zat makanan mengikut piramid makanan terutama karbohidrat, protein, sayur dan lemak, ibu bapa tidaklah perlu terlalu risau,” ujarnya.

BERIKAN APA SAJA MAKANAN BERKHASIAT

Menurut Dr Mohd Hanafi, paling utama perhatikan apa saja makanan yang diambil anak dan waktu makan.

“Jangan terlalu obses mahu beri anak makan hinggakan memaksa. Perlu diingat setiap kanak-kanak berbeza, begitu juga dengan selera makannya. Mungkin ada anak lain yang mudah diberi makan terutama nasi dan janganlah samakan dengan anak anda.

“Asalkan dia makan walaupun sedikit sudah memadai. Ibu juga perlulah kreatif menyediakan hidangan yang digemari anak kerana mungkin dia tidak sukakan nasi putih tetapi sukakan nasi goreng,” katanya.

Katanya, selagi kanak-kanak itu aktif dan sihat, selagi itulah ibu bapa tidak perlu terlalu risau.

“Paling penting jangan samakan keperluan makan dewasa dengan keperluan makan kanak-kanak kerana tidak semestinya anda sebagai ibu bapa sudah berasa lapar, mereka juga berasa begitu.

“Sekiranya terdapat sebarang kebimbangan, segeralah bawa si kecil bertemu doktor bagi memeriksa keadaan dirinya,” ujarnya.

TIP MENAMBAH SELERA MAKAN KANAK-KANAK:

- Jadikan makanan lebih ceria dan nampak menyelerakan. Sebab itu si ibu perlu bijak dan kreatif dalam proses menyediakan makanan.

- Jadikan waktu makan sebagai waktu berkumpul dan bergembira sesama keluarga. Biasakan makan bersama-sama sejak si anak masih kecil.

- Pelbagaikan makanan setiap hari. Jangan berikan makanan yang sama setiap hari kerana kanak-kanak mudah berasa bosan dan kemudian menolak makanan itu.

- Kenal pasti makanan kegemaran anak-anak dan berikan makanan itu jika ia berkhasiat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 5:30 AM