GIMNASIUM menjadi lokasi sosial yang baik untuk latihan fizikal dan mental.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


JIKA dahulu, apabila wanita ke gimnasium dikatakan kurang sopan kerana ia terlalu sinonim dengan lelaki yang ingin membina bentuk badan atau kelihatan cergas.

Dikatakan juga, jika wanita ingin kelihatan lebih sihat dan cergas, tidak perlu ke situ kerana lebih sesuai mengamalkan pemakanan atau aktiviti yang bersifat tradisional.

Namun, peredaran zaman sememangnya menjadikan gaya hidup semakin berubah. Istilah persempadanan jantina juga semakin lapuk apabila berbicara soal penjagaan kesihatan.

Kini, jika wanita ke gimnasium bukan sesuatu yang pelik, malah ia amalan yang digalakkan kerana mempunyai faedah tersendiri.

Pemilik Gimnasium 29Planet Fiteness, Muhammad Nashriq Zailan atau lebih mesra disapa Nash mengakui ketika ini lebih ramai wanita memilih untuk menjadikan pusat kesihatan itu sebagai rumah kedua mereka.

Beliau berkata, jika dahulu wanita lebih obses kepada pengambilan makanan tambahan yang dipercayai 100 peratus dapat membentuk tubuh badan kini berubah sama sekali kerana kesedaran mengenai gaya hidup sihat mula meningkat.

“Misalnya di gimnasium ini yang beroperasi sejak Mac lalu, boleh dikatakan setiap hari tidak kurang 10 pengunjung dalam kalangan wanita kerana mereka mula sedar aktiviti di pusat kecergasan mempunyai pelbagai kesan yang baik untuk hidup mereka.

“Jika mereka bergantung kepada pil atau makanan tambahan yang dikatakan mampu membantu memberikan kesan untuk mendapatkan bentuk badan diidamkan, mungkin ia berkesan 10 hingga 20 peratus sahaja. Perkara utama adalah aktiviti senaman dan ia diperakui oleh semua pakar perubatan,” katanya.

Malah, pihaknya yang melantik Amyazlina Nordin sebagai duta Gimnasium 29Planet Fiteness bukan disebabkan untuk mempergunakan wanita sebagai alat mempromosi perniagaan, tetapi ia membuktikan wanita bekerjaya ketika ini lebih aktif ke gimnasium.


AKTIVITI kardio antara yang boleh dilakukan wanita untuk mendapatkan bentuk badan yang menarik dan kekal cergas.

Jelasnya, duta yang dilantiknya mempunyai kerjaya profesional dalam bidang kewangan dan amat aktif melakukan pelbagai aktiviti di gimnasium yang mampu memberi kesan positif dalam hidup wanita itu secara peribadi.

Nash berkata, ketika ini banyak gimnasium mempunyai kemudahan dikhaskan kepada kaum hawa termasuk menyediakan jurulatih wanita dan melakukan aktiviti kecergasan yang sesuai dengan golongan itu.

“Bagi mereka menginginkan bentuk badan yang ideal, aktiviti kardio seperti menggunakan mesin larian sememangnya kerap digunakan. Jadi, jika kami di sini, ada bahagian yang sememangnya dikhaskan untuk wanita menggunakannya.

“Tambahan, jika mereka inginkan jurulatih wanita kita juga ada kerana sudah lumrah biasanya sesama jantina lebih cepat mesra dan mudah untuk berkomunikasi dalam pelbagai hal,” katanya.

Nash berkata, soal malu untuk wanita ke gimnasium juga ketika ini semakin berkurangan kerana masyarakat hari ini lebih terbuka dan lebih menghormati antara satu sama lain ketika melakukan aktiviti kecergasan meskipun berlainan jantina.

“Tidak ada istilah ‘menggatal’ jika wanita mengunjungi gimnasium kerana mereka yang ke pusat kecergasan hari ini mempunyai matlamat untuk mempunyai gaya hidup sihat dan memiliki bentuk badan yang diidamkan.

“Jika dalam tempoh satu jam misalnya di gimnasium, pastinya sesi latihan bersama jurulatih perlu diberi tumpuan kerana mereka sudah membayar sejumlah wang dan pastinya tidak mahu mensia-siakan duit itu.

“Jadi orang yang datang ke pusat kecergasan sememangnya mereka menumpukan kepada latihan dan aktiviti yang boleh menjurus kepada kesihatan fizikal dan mental. Malah, menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Ujarnya, gimnasium juga menjadi satu platform membentuk komuniti wanita yang mengamalkan gaya hidup sihat kerana di pusat kecergasan itu setiap wanita mempunyai minat yang sama.

“Meskipun ada yang datang seorang diri, apabila mereka berjumpa dengan rakan wanita yang lain, mereka akan berkawan dan dapat berkongsi untuk melakukan aktiviti kecergasan yang lain bersama-sama.

“Jadi di sini mereka dapat membentuk komuniti wanita yang gemarkan gaya hidup sihat. Selain itu, gimnasium juga boleh menjadi lokasi untuk pasangan yang berumah tangga membina kecergasan diri bersama-sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 4:30 AM