PEMENANG hadiah utama bersama Erlend Sannes Hardland, Bjorn Kruizenga dan Sandee Chai.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


PERADUAN seni tahunan Mencari Jordan Picasso anjuran Jordan Oral Care Malaysia, baru-baru ini, berakhir dengan pengumuman tiga puluh pemenang kanak-kanak berbakat dari seluruh Malaysia yang membawa pulang hadiah menarik bernilai RM 30,000.

Dua kategori yang dipertandingkan adalah kategori A untuk kanak-kanak berusia antara enam dan sembilan tahun dan kategori B untuk kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun.

Menurut Pengurus Pemasaran Serantau Jordan Asia Pasifik, Sandee Chai, peraduan berkenaan sudah diadakan selama tiga tahun berturut-turut.

“Tahun ini kami bawakan tema Makanan Kegemaran Saya. Kami mahu mengingatkan kanak-kanak mengenai amalan memberus gigi yang digalakkan tiga puluh minit selepas makan,” katanya.

Untuk menyertai peraduan itu, peserta cilik perlu mencipta karya seni yang memaparkan sajian kegemaran mereka menggunakan media bukan digital.

Malah ada yang begitu kreatif sehingga menggunakan bahan kitar semula untuk berkarya, sekali gus menjadikan hasil seni mereka kelihatan hidup dan nampak lazat.

“Sebahagian daripada falsafah Jordan membabitkan kehidupan lestari kerana kami sememangnya 100 peratus mesra alam. Jadi, apabila ada peserta yang menggunakan bahan kitar semula dalam karya, mereka memang layak mendapat pujian,” katanya.


HASIL seni ciptaan Chong Poh Yi.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Diraja Norway, Erlend Sannes Hadland yang hadir ke acara berkenaan turut memuji kebijaksanaan peserta.

Katanya, usaha menggalakkan dan memupuk kreativiti amat penting dalam perkembangan kanak-kanak. Tambahan seni ialah satu bentuk ekspresi diri dan kaedah komunikasi.

“Saya gembira kerana Jordan berjaya mencungkil bakat kreativiti dalam kalangan kanak-kanak menerusi peraduan Mencari Jordan Picasso. Tema berkaitan makanan yang diselitkan dengan peringatan untuk memberus gigi tiga puluh minit selepas makan menekankan komitmen jenama itu dalam meningkatkan kesedaran umum terhadap kebersihan gigi. Ia juga memupuk rasa cinta terhadap seni dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Pemenang hadiah utama kategori A adalah Ivy Sam San Yi. Kanak-kanak berusia lapan tahun itu mempertaruhkan karya berupa semangkuk spageti. Ibunya, Win Chong yang hadir menemani turut melahirkan rasa teruja dan gembira.

“Anak-anak kerap menyertai pertandingan dan inilah kali pertama salah seorang daripada mereka menang. Kami seisi keluarga cukup teruja dan gembira dengan kemenangan Ivy.

“Malah, semua anak saya kini semakin bersemangat untuk menyertai lebih banyak pertandingan dan saya akan sentiasa memberikan sokongan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Chong Poh Yi, 12, mengakui gembira dan teruja apabila hasil karyanya menempa hadiah utama bagi kategori B. Dia yang menyajikan set sushi mahu menyertai lebih banyak pertandingan seumpamanya di masa akan datang.

Selain pemenang, program itu turut meraikan 15 kanak-kanak kurang bernasib baik dari Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah. Mereka dijamu dengan hidangan lazat dan berkhasiat serta diajar mengenai pentingnya menjaga kebersihan gigi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 5:00 AM