AMAL berpantang cara betul, makanan sejuk dan berangin perlu dielak. GAMBAR hiasan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


SERING kita mendengar pesanan orang tua supaya wanita mengelak daripada mengangkat barangan berat supaya tidak mengalami situasi peranakan jatuh.

Namun masih ramai yang tidak mengambil berat mengenai isu ini kerana berpendapat ia hanyalah perkara biasa.

Bagi pengamal perubatan Melayu, Suzima Hazish, pengalaman didatangi wanita yang mengadu masalah rahim jatuh, prolaps atau tombong sememangnya agak ramai.

Jika dahulu ia kerap berlaku kepada wanita berusia (60 tahun ke atas) tetapi kini disebabkan perubahan gaya hidup dan pemakanan menyebabkan ia turut dialami wanita muda atau yang belum berkahwin.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Suzima, bagi wanita muda masalah tombong berpunca daripada penjagaan berpantang tidak betul dan kerap melahirkan anak dalam jarak yang dekat. Bagi wanita belum berkahwin pula tombong boleh terjadi sekiranya mereka kerap melakukan aktiviti lasak seperti mengangkat dan menolak bebanan berat atau pernah terjatuh.

“Berdasarkan pengalaman, saya pernah didatangi wanita berusia awal 30-an yang mengadu mengalami masalah tombong serius. Apabila disoal dia mengakui tidak mengamalkan pantang dengan betul selepas melahirkan anak ketiga disebabkan tinggal berjauhan dengan suami.


SUZIMA

“Saya rasa sangat kasihan dengan wanita ini kerana dia masih muda. Sudah pasti tombong akan mengganggu urusan harian dan hubungan suami isteri.

“Kes sebegini memang kerap dirujuk kepada saya. Jika terlalu teruk seperti kes wanita hamil tujuh bulan yang mengalami tombong yang serius saya meminta mereka merujuk kepada doktor untuk rawatan lanjut. Ini kerana urutan tidak dapat memulihkannya.

“Namun jika masih di peringkat permulaan saya akan menasihati mereka menerusi amalan berpantang menerusi pengambilan akar kayu, urutan, bertangas dan pengambilan makanan yang betul,” katanya.

Namun jelas Suzima tidak semua tukang urut berkemahiran melakukan sengkak atau menaikkan peranakan kerana ia memerlukan kemahiran dan juga pengalaman. Jadi apa yang mampu dilakukan adalah memberikan kesedaran mengenai pentingnya berpantang selepas melahirkan anak.

Mengakui ramai wanita muda mengambil mudah urusan berpantang kerana berasakan mereka masih kuat dan tiada apa yang berlaku selepas itu namun mereka silap. Berpantang adalah untuk penjagaan dalam jangka masa panjang.

“Memang benar mungkin tanpa urutan, berbengkung dan bertungku kelihatan mereka masih kuat. Tetapi bagaimana apabila usia sudah meningkat kesannya pasti dapat dirasai,” katanya.

Sebab itu Suzima sangat memperjuangkan amalan mengambil jamu, herba dan air akar kayu untuk mengecut serta menguatkan rahim. Kemudian ditambah dengan bertangas, berurut dan bertungku bagi memastikan rahim berada dalam kedudukan normal selain memastikan ia bersih semula.

“Amalan ini bukanlah dilakukan sepanjang masa, cuma dalam tempoh 44 hari, kena jaga betul-betul bukannya lama. Begitu juga pengambilan makanan sejuk dan berangin yang seharusnya dielakkan ketika dalam pantang. Apabila badan sudah kuat dan sihat boleh ambil secara sederhana.

“Ada orang ingat kena berpantang selama-lamanya. Tidaklah begitu, berpantang juga perlu ikut kesesuaian dan keperluan badan,” nasihatnya.

Sebagai pejuang rawatan perbidanan Melayu lama Suzima mengakui tombong sangat ditakuti wanita kerana selain menjejaskan hubungan seksual dan kesihatan ia juga menyebabkan wanita kurang keyakinan diri.


URUTAN dapat mengelak masalah tombong.

Ini disebabkan ada rasa malu yang kuat untuk bercerita kepada orang lain lantas mereka membiarkannya tanpa rawatan. Lama-kelamaan ia menjadi semakin teruk seperti berair, luka dan berbau sehingga perlu kepada pembedahan.

“Kesan dalam rumah tangga pula mereka yang mengalami tombong akan merasa sakit ketika berhubungan intim dan ini boleh menyebabkan keretakan dalam rumah tangga,” katanya.

BAGAIMANA MENGESAN TOMBONG:

1. SECARA BERBARING (digalakkan untuk anak dara)

Letakkan ibu jari dalam pusat. Jika terasa berdenyut-denyut, maknanya tempat peranakan berada di tempat yang betul. Jika tiada terasa apa-apa, lurut ke bawah pusat hingga terasa denyutannya.

Andai terasa denyut-denyut di bahagian bawah pusat, anda perlu menaikkan semula tempat peranakan. Biasanya kaedah mengurut boleh dilakukan oleh bidan yang pakar.

2. SECARA MENCANGKUNG

Masukkan jari ke dalam vagina sehingga ke atas dan cuba sentuh objek berbentuk bulat seperti guli tetapi lembut. Jika dapat merasainya, maknanya peranakan sudah menggelongsor turun dari kedudukannya. Untuk kepastian, ambil cermin dan tengok jika ada daging yang sudah terkeluar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 6:00 AM