PAKAR Sakit Puan, Dr. Sharmina merawat pesakit. FOTO: Khairul Azry Bidin.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


MENURUT Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr Sharmina Kamal, dalam bidang perubatan moden, prolaps atau rahim jatuh berlaku apabila ligamen dan otot bahagian pelvis (pinggul) menjadi lemah atau rosak sekali gus tidak dapat menampung organ pada bahagian berkenaan.

Apabila masalah ini berlaku ia boleh membuatkan rahim jatuh dan keluar menerusi faraj. Pundi kencing pula menonjol ke bahagian dinding faraj manakala usus besar menonjol ke arah belakang faraj.

Jelasnya lagi rahim jatuh boleh berlaku dalam pelbagai peringkat. Pada peringkat awal, ia hanya jatuh sedikit daripada kedudukan asal. Ia diikuti peringkat kedua apabila ia jatuh sehingga ke permukaan faraj.

“Pada tahap ini prolaps akan memberikan beberapa kesan sampingan dan tanda seperti kerap kencing dan berapa tidak selesa ketika berjalan. Apabila memasuki peringkat ketiga, keadaan menjadi lebih teruk apabila keseluruhan rahim terkeluar daripada saluran vagina dan permukaan. Ini dipanggil sebagai tombong,” katanya.

[gn4id:16594124]

Ramai beranggapan prolaps berlaku kepada ibu yang kerap melahirkan anak namun mereka yang belum beranak juga berpotensi mengalami peranakan jatuh sekiranya tidak menjaga perlakuan.

“Ini termasuk mereka yang berkecimpung dalam sukan angkat berat atau wanita yang gemarkan aktiviti lasak yang memerlukan tenaga kuat dan pernah terjatuh. Namun peratusan ini sangat kecil berbanding faktor usia dan juga kekerapan kelahiran anak,” jelasnya.

Selain itu punca prolaps adalah kelahiran yang kerap, anak terlalu besar ketika bersalin, meneran untuk tempoh masa yang lama, menghisap rokok, obesiti serta masalah pada respiratori kronik.

Mereka yang mengalami masalah ini akan berasa berat pada bahagian bawah, terasa seperti ada ‘benda’ mahu keluar dari faraj, sukar membuang air kecil atau tidak dapat mengawal kencing serta kesukaran membuang air besar.

“Hal ini berlaku kerana otot yang menyokong organ pelvis menjadi lemah sehingga tidak dapat menampung kekuatan rahim lantas ia mengelongsor turun,” katanya.

RAWATAN

Selepas pesakit dirujuk kepada doktor, doktor akan menilai rawatan yang akan diberikan kepada pesakit. Kebiasaannya rawatan menggunakan gelang khas akan diberikan kepada wanita daripada pelbagai peringkat usia.

Ia boleh digunakan wanita daripada pelbagai peringkat usia reproduktif atau wanita menopaus yang tidak boleh atau tidak mahu melakukan pembedahan

“Gelang ini terdapat dalam beberapa saiz bergantung kepada tahap prolaps. Alat ini akan dimasukkan ke dalam vagina bagi menghalang rahim jatuh semula.

“Sekiranya selepas pemakaian tiada kesan sampingan misalnya kesakitan yang serius, pendarahan, lelehan air, tidak boleh membuang air kecil atau besar ia akan dipakaikan selama tiga bulan sebelum diganti semula.

“Pesakit perlu berjumpa pakar sakit puan untuk memasang dan menukarnya dalam tempoh tu bagi mengelak jangkitan kuman,” katanya.

Jelas Dr Sharmina setiap rawatan bergantung kepada pelbagai sebab seperti usia, simptom, jenis organ rahim jatuh, perancangan reproduktif dan seksual, tahap kesihatan dan kesannya kepada kehidupan wanita.

Latihan senaman kegel turut diajar bagi wanita yang hanya mengalami mini prolaps. Wanita juga dinasihatkan berhenti merokok dan menurunkan berat badan bagi mengelak masalah ini berlaku. Untuk prolaps yang teruk dan sukar menggunakan kaedah gelang, pembedahan terpaksa dilakukan bagi mengelak komplikasi lain yang lebih buruk.

“Ada kala pembedahan yang dibuat tidak perlu membuang rahim hanya menambah sokongan pada organ-organ pelvis sahaja. Tetapi bagi kes prolaps membabitkan rahim sudah terlalu terkeluar atau jatuh dari vagina), rahim perlu dikeluarkan.

“Namun begitu risiko pembedahan pelvis tetap ada. Antaranya menyebabkan pendarahan, jangkitan kuman, kecederaan usus dan pundi kencing boleh berlaku,” katanya.

Bagi ibu hamil trimester ketiga dan dalam tempoh berpantang pula lakukan senaman kegel, kekalkan berat badan ideal serta merawat batuk kronik supaya prolaps dapat dielakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 5:30 AM