BERSAMA kakitangan yang sentiasa memberikan yang terbaik kepada pelanggan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


SELEPAS hampir 18 tahun bertugas di sebuah syarikat telekomunikasi, akhirnya Azila Abu Kassim 47, mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai jurutera kerana ingin menunaikan impian ayah membuka perniagaan sendiri berasaskan makanan Johor.

Memikirkan usia ayah, Abu Kassim Awang yang makin meningkat, Azila yakin inilah masa untuk menurut kehendak ibu bapanya memandangkan sudah lama impian ini disampaikan kepadanya.

“Ketika itu saya baru menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik tetapi ingin bekerja makan gaji. Pada saya untuk apa belajar tinggi sekiranya tidak bekerja dalam jurusan yang diambil,” katanya.

Menggunakan nama D’Timer Cafe, premis pertama dibuka di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 2016 dengan memperkenalkan konsep hipster. Jelas Azila idea menggabungkan makanan tempatan Johor bersama kopi tercetus apabila melihat sambutan golongan muda kepada makanan dan minuman hipster sangat tinggi.

“Namun kebanyakan kafe hanya menghidangkan sajian seperti kek, biskut serta makanan barat dengan dekorasi yang cukup menarik. Jadi kami ingin menjadi pencetus kepada masakan Johor asli menggabungkan minuman kopi pelbagai perisa,” katanya.

Oleh kerana tiada pengalaman dalam bidang penyediaan makanan, Azila mengambil masa setahun untuk mengkaji dan mempelajari selok-belok mengenai kualiti, cita rasa, resipi, perkhidmatan serta kebersihan sebelum diberi tanggung jawab seratus peratus mengendalikannya.

“Alhamdulillah dalam tempoh enam bulan saya mendapat maklum balas positif pelanggan. Ini berikutan promosi yang kami peroleh di media menyebabkan nama kafe semakin dikenali ramai,” katanya yang ketika itu masih belum menggunakan media sosial secara meluas.

Anak kedua daripada empat beradik ini menjelaskan perniagaan dalam bidang makanan memerlukan kekuatan daripada segi makanan itu sendiri. Selain sajian enak, perkhidmatan penyediaan yang cepat dan pantas, layanan kelas pertama perlu diberikan bagi memastikan kesinambungan perniagaan.

Pada masa sama penyediaan sajian unik dan jarang jumpa menjadi penyebab utama sesebuah kafe itu mampu bertahan lama.

“Di sinilah saya menemui sesuatu yang istimewa dan tidak terdapat di kafe lain iaitu menu asli Johor berasaskan resipi turun-temurun keluarga saya,” katanya.

D’Timer Cafe menyediakan 20 menu menggunakan bahan asli Johor seperti rempah yang diambil dari Batu Pahat Johor. Beriani daging adalah resipi ayah, mi sanggul pula berasaskan cita rasa ibu manakala karipap telur daripada ibu saudara.

“Semua resipi ini memang tidak boleh diperoleh di tempat lain. Karipap telur misalnya ada sejarah tersendiri, apabila diusahakan mak cik sekitar tahun 70-an di kampung. Memang karipap telur sangat popular ketika itu sehingga pelanggan sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya,” katanya.

BUKA KAFE KEDUA

Berkat kesungguhan dan usaha gigih Azila pada November tahun lalu, cawangan kedua D’Timer Cafe dibuka di Damansara Utama dengan mengekalkan konsep yang sama.

Berada di lokasi strategik di tengah-tengah ibu kota, menurut Azila ia menjadi pilihan lokasi kedua terbaik memandangkan sebelum ini mereka berhasrat meluaskan operasi di Taman Tun Dr Ismail, namun disebabkan masalah tertentu ia ditukar kepada Damansara Utama.

“Alhamdulillah dalam jangka masa tiga tahun kami dapat membuka kafe kedua di sini. Selepas pembukaan secara rasmi saya percaya benarlah kekuatan perniagaan makanan adalah pada resipi yang enak dan tersendiri serta perkhidmatan yang pantas serta cekap,” katanya.

Sebagai ibu kepada dua cahaya mata ujar Azila sepanjang empat tahun berkecimpung dalam perniagaan, cabaran yang perlu dilalui sangatlah hebat berbanding kerjaya makan gaji. Ini kerana jika dulu sampai hujung bulan, pasti gaji sudah tersedia tetapi kini dia perlu memikirkan banyak perkara.

“Saya perlu mengorbankan masa bersama keluarga demi untuk memastikan semuanya berada dalam keadaan lancar. Tiada lagi cuti pada hujung minggu kerana semua hari adalah waktu bekerja bagi saya. Namun saya berbangga kerana dapat merealisasikan hasrat keluarga untuk memiliki premis makanan berasaskan makanan Johor,” katanya.

Bekas penuntut Universiti Strathclyde, United Kingdom ini mengakui biarpun berhadapan persaingan dalam industri makanan namun dia tetap mengekalkan dua perkara iaitu mempertahankan kualiti masakan dan juga perkhidmatan bagi membolehkan kafe ini menjadi pilihan†seisi keluarga.

Pada masa akan datang, dia berhasrat membuka Dapur Sentral untuk meningkatkan kualiti makanan. Ini dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun lagi bagi membolehkan kedua-dua kafe mendapat makanan dari dapur yang sama.

“Inilah yang saya sedang usahakan iaitu membina Dapur Sentral sendiri untuk semua jenis hidangan. Selain memastikan kualiti makanan, rasa dan juga kebersihan dapat ditingkatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 5:00 AM