NIKMATI buah-buahan sebelum sajian utama.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


SESEKALI dijemput menikmati hidangan mewah di hotel, restoran atau dewan majlis memang menyeronok­kan. Belum tiba hari dinanti, sudah terbayang hidangan enak di depan mata. Ada masanya nafsu makan sebegini timbul bukan kerana tidak pernah merasa atau jarang mendapat peluang seumpamanya. Ia hadir berikutan perasaan teruja melihat hidangan itu sendiri.

Namun apa yang dikesalkan adalah sikap tamak sesetengah individu setiap kali ke majlis undangan. Mereka ini cenderung memenuhkan pinggan dengan pelbagai juadah hingga terlupa pada had pengambilan makanan, bersesuaian keperluan diri.

Bagi kelompok ini, tindakan mereka tidak menjejaskan apapun kerana peluang yang datang hanya sesekali. Jadi, nafsu makan akan diberi keutamaan sepanjang majlis.

Pada akhirnya nanti, pembaziran pasti berlaku. Pihak penganjur majlis pula yang menanggung kerugian. Makanan dikhaskan buat tetamu tidak mencukupi, berikutan banyak terbuang begitu saja. Lebih penting, jika nafsu sebegini terus dibiarkan beraja, tidak mustahil ia boleh menyumbang kepada pertambahan berat badan secara mendadak.

Menurut Pengasas AF Fitness, Rohani Mat Yaman, ada beberapa tip yang boleh membantu individu mengatasi sifat tamak di majlis undangan, sekali gus mengekalkan pengambilan makanan sesuai keperluan diri.

Kaedah ini bukan saja membantu wanita dan lelaki untuk lebih fokus dalam mendapatkan berat badan ideal, bahkan berupaya mengelak masalah kegemukan, kesan daripada pengambilan makanan secara berlebihan.


ROHANI

“Sentiasa bawa bekal air kosong. Di hotel atau restoran mewah, air kosong biasanya disediakan di atas meja. Namun jika menghadiri majlis di dewan, mereka biasanya akan menyediakan air manis. Kalau hendak minta air kosong, mungkin anda malu.

“Jadi, bawalah bekal sendiri dan letak dalam beg tangan. Fungsi air kosong untuk membantu kita kenyang. Jadi, anda akan lebih mudah mengawal nafsu makan. Kemudian, cuba elak minum air manis kerana ia mengandungi kalori,” katanya.

Jelas Rohani, apabila makan di luar, kita selalunya terlupa jumlah air manis yang diminum sepanjang bersembang. Jika segelas air sirap mengandungi 40kcal, bagaimana dengan minuman lain termasuk kopi, teh susu, koktel dan sebagainya?

“Paling penting, alas perut sebelum menghadiri majlis. Makan sesuatu supaya kita tidak jadi terlalu lapar apabila sampai ke tempat yang dituju. Pertimbangkan kemungkinan jalan sesak berikutan waktu puncak. Kalau sudah lapar sejak dari rumah, tentu anda akan makan lebih dari kuantiti sepatutnya di majlis yang dihadiri.

“Lebih teruk, anda juga bakal cenderung memilih makanan yang manis. Tidak guna menyesal apabila melihat nombor timbangan naik mendadak minggu depan,” katanya.

TIP PILIH MAKANAN

1. Pilih menu

Ambil makanan utama seperti nasi, mi atau bihun terlebih dulu sebelum menikmati juadah ringan seperti kuih dan manisan. Sentiasa ingat bahawa tiga keping kerepek bersamaan 40 kalori. Jika anda leka bersembang, tidak mustahil semangkuk kerepek habis dimakan.

Bayangkan kalau perut masih lapar selepas menghabiskan kerepek, tentu hidangan berat yang akan jadi sasaran. Jadi, ambillah hidangan utama dulu. Apabila perut terisi, nafsu makan akan berkurang.

2. Pilih buah

Hidangan bufet di tempat mewah selalunya menyediakan pelbagai pilihan buah-buahan dan salad. Nikmati hidangan ini dulu sebelum sajian utama, tidak kira selazat manapun juadah yang terhidang di depan mata. Ambillah walau semangkuk dan nikmati sambil berborak. Selepas 15 minit, baru ambil hidangan utama. Perut yang terisi akan memberi isyarat supaya mengambil hidangan setakat perlu saja. Jadi, rasa tamak terhadap makanan juga akan berkurang.

3. Elak sifat tamak

Ambil sajian dalam kuantiti sedikit. Jika masih terasa lapar, tambah sedikit lagi. Cara ini boleh membantu mengelak diri terlebih makan dan mungkin membazir. Lagipun, ini adalah cara yang ‘manis’ untuk mengekang sikap tamak terhadap makanan.

4. Rancang perjalanan

Jika anda masih punya perancangan untuk singgah ke mana-mana lokasi selepas makan, pertimbangkan untuk membahagikan jenis makanan yang bakal diambil. Contohnya, di hotel anda makan sajian nasi, lokasi seterusnya mungkin buah-buahan atau salad ringkas.

5. Elakkan duduk berhampiran meja hidangan

Meja yang dekat dengan barisan hidangan enak selalunya mengundang pengambilan jumlah kalori yang besar. Lebih-lebih lagi jika meja untuk hidangan pencuci mulut atau manisan. Ini berikutan tabiat kita yang suka menjamah hidangan remeh sambil berborak. Kemungkinan, anda tidak sedar berapa banyak manisan yang dicapai sambil rancak berbual.

6. Alih perhatian

Jika anda sudah kenyang atau terlebih makan mengikut kiraan kalori tetapi masih perlu memenuhi singgah ke lokasi seterusnya untuk tujuan hampir sama, sibukkan diri dengan aktiviti sampingan seperti menyuap anak dan berborak. Jadi, tidak ada orang yang perasan anda tidak menjamah makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 5:00 AM