Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

SENAMAN tidak semestinya dilakukan hanya untuk meningkatkan kecergasan dan mengekalkan kesihatan badan, sebalik­nya ia boleh menguatkan sebahagian otot terutama otot teras iaitu di bahagian abdomen dan perut.

Contohnya, latihan kecergasan yang memfokuskan otot teras berfungsi untuk meningkatkan daya ketahanan, kekuatan, keseimbangan, postur, koordinasi serta ketangkasan.

Kebanyakan orang sebenarnya akan berkata, mereka bersenam untuk meningkatkan kualiti hidup. Justeru, itulah fokus senaman ini iaitu melatih dan membangunkan otot perut untuk menjadikannya lebih kuat. Pada masa sama ia membantu menyokong tulang belakang.

Tidak perlu peralatan khas untuk senaman yang hebat. Senaman menggunakan bebanan berat badan sendiri juga boleh jadi sangat berkesan untuk otot seperti yang dilakukan dengan dumbel, getah rintangan atau mesin mahal.

Menurut Jurulatih Kecergasan, Mohamad Ashraf Hasim atau Coach Cem, beberapa latihan seperti crunches cukup efektif untuk melatih otot perut. Ia termasuk latihan yang mudah dilakukan di mana saja dan hanya memerlukan ruangan yang kecil.

Katanya, tanpa menggunakan sebarang peralatan, senaman ini dapat membantu pembentukan perut dan juga berguna untuk melatih otot punggung dan pinggang.

“Ia bukan hanya bagus untuk otot teras, ia juga berkesan untuk menguatkan otot di bahu, belakang badan, tangan, kaki dan punggung. Senaman ini juga membolehkan anda menggerakkan otot teras tanpa risiko kecederaan bahagian belakang badan.

“Antara manfaat utama meningkatkan kekuatan otot teras adalah mengurangkan risiko kecederaan belakang dan tulang belakang anda, meningkatkan metabolisma, memperbaiki postur dan koordinasi serta meningkatkan keanjalan otot,” katanya.

Coach Cem menunjukkan langkah demi langkah beberapa latihan menguatkan otot teras yang boleh dilakukan di mana saja.

LARIAN MENDAKI

1. Dalam posisi plank, pastikan menahan berat badan dengan tangan lurus.


LANGKAH 1

2. Lutut dibawa ke dada berselang-seli lutut kanan dan kiri.


LANGKAH 2

SILANG KAKI KE BELAKANG

3. Tahan berat badan dengan tangan diluruskan dan tolak lutut kanan menghala ke siku.


LANGKAH 3

4. Bawa kaki kanan ke belakang kaki kiri. Ulang dengan menukar posisi kaki sebelah lagi.


LANGKAH 4

ANGKAT KAKI

5. Baring telentang dengan kedua tangan diletak di bawah punggung dan angkat kepala sedikit.


LANGKAH 5

6. Angkat kaki ke atas. Turunkan kaki tanpa menyentuh lantai.


LANGKAH 6

CRUNCHES BERTENTANGAN

7. Baring telentang dan tapak tangan menyentuh telinga.


LANGKAH 7

8. Serentak bawa lutut ke arah dada dan siku menyentuh tepi lutut.


LANGKAH 8

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 5:00 AM
SENAMAN ini dapat membantu pembentukan perut dan juga berguna untuk melatih otot punggung dan pinggang. FOTO: Salhani Ibrahim