HALAMAN rumah sempit bukan alasan tidak bercucuk tanam.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

MEMANFAATKAN halaman rumah dengan pelbagai tanaman dan sayuran bukan saja memberi kepuasan buat mereka yang meminatinya malah menghidangkan panorama indah dan menyejukkan pandangan. Melihat kebun dapur yang diusahakan wanita ini tumbuh merimbun mungkin ramai menyangka pengalamannya begitu luas memanfaatkan tanah di persekitaran rumah dengan bercucuk tanam.

Malah, biarpun kawasan halaman rumahnya tidaklah terlalu besar, ia tidak menjadi halangan buat Angelina Sinyang, 44, untuk mengusahakannya sebagai kebun dapur kerana menyedari banyak manfaat yang diperoleh daripadanya.

Angelina juga bijak bijak menyusun atur ruangan sedia ada dan memanfaatkan sepenuhnya kawasan rumahnya di Greenville Park, Kota Sentosa, Kuching, Sarawak itu untuk bercucuk tanam.

“Saya mula minat menanam sejak berpindah kerja ke Sarawak pada 2013 kerana berasakan agak rugi jika tanah lapang di belakang rumah ini dibiarkan kosong.

“Sebenarnya bukan susah hendak mewujudkan taman dapur. Maklumat mengenainya begitu mudah dicari dan banyak di Internet, bergantung kepada diri sama ada hendak atau tidak saja untuk mengusahakannya.

“Namun, apa yang memuaskan hati ialah apabila kami sekeluarga boleh makan sayuran yang bebas racun kimia dan pada masa sama dapat menggalakkan anak untuk sukakan sayur.

“Saya babitkan anak yang berusia empat tahun dalam aktiviti berkebun dan dia juga meminati hobi ini biarpun masih kecil. Banyak juga sumbangannya misalnya menolong mencabut rumput yang tumbuh di dalam pasu atau menyiram tanaman.

“Hobi ini juga bukan saja dapat mengisi waktu terluang, bahkan boleh jimat duit belanja membeli sayur-sayuran dan menyihatkan badan,” katanya.

ANAK dilatih menjaga tanaman.

Menurutnya, hasil tanaman yang diusahakan semuanya untuk kegunaan sendiri dan kadangkala disedekahkan kepada saudara-mara, rakan dan jiran.

Angelina turut berkongsi beberapa tip berkebun antaranya memilih tanaman dan sayur-sayuran mudah hidup dan senang dijaga serta tidak memerlukan tanah luas untuk membesar misalnya pucuk manis, ubi kayu dan sayuran berdaun.

Katanya, tanaman asas yang digunakan dalam masakan harian seperti kunyit, cili, lengkuas, serai, pandan dan daun kari adalah tanaman pilihan. Tidak perlu ditanam banyak, cukuplah sepokok kerana penggunaannya pun tidak banyak.

Tanaman jenis ini juga katanya senang hidup dan boleh ditanam dalam pasu untuk menjimatkan ruang.

Katanya, jangan bimbang jika tanah tidak subur kerana boleh tebus guna tanah dengan tanah campuran atau kompos yang banyak dijual di nurseri dan murah harganya.

Ruangan kecil tidak menjadi masalah jika bijak menyusun atur tanaman dan jika tanah tidak cukup, barangan kitar semula boleh dijadikan bekas tanaman.

“Contohnya, saya mengitar semula rak bertingkat dikutip dari pejabat anak saudara dan botol pencuci pakaian untuk menanam sayur-sayuran. Jangan lupa tebuk beberapa lubang belakang bekas supaya air mengalir dengan baik dan tanaman subur.

“Boleh juga buat rak kayu di tepi pagar untuk meletak bekas tanaman bagi membesarkan ruang berkebun,” katanya.

Katanya, jangan hanya tanam satu atau dua jenis tanaman tetapi pelbagaikan agar ada banyak sayur pilihan boleh dimasak setiap hari dengan sayuran berbeza.

Paling penting katanya, perlu rajin menjaga tanaman dan jangan lupa menyiram tanaman setiap hari sama ada pagi atau petang, meletakkan baja, merumput dan menyembur racun serangga bagi mengelak tanaman diserang siput, kumbang atau kulat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 5:00 AM