ADA anggap tidak begitu penting sedangkan ia antara kunci utama keutuhan rumah tangga.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


MEMBINA sebuah keluarga bahagia bukan hanya terletak pada keutuhan cinta dan rasa kasih antara suami dan isteri malah ia membabitkan lebih daripada itu terutama dalam mengikat hubungan mesra seluruh ahli keluarga yang lain.

Banyak kes perceraian dan konflik rumah tangga terjadi bukan disebabkan masalah pasangan itu sendiri namun berlaku atas faktor luaran terutama campur tangan ahli keluarga sendiri juga keluarga mentua.

Bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak namun realiti yang perlu dipandang serius dalam membina sebuah keluarga harmoni adalah keserasian serta penerimaan sepenuhnya antara kedua-dua keluarga.

Berkongsi pandangan mengenai topik hubungan keluarga mempengaruhi keharmonian rumah tangga terutama ‘sesama besan’, kaunselor bertauliah, Zumasni Rajikin berkata, ramai orang terlepas pandang dan menganggap hubungan di antara besan dalam sesebuah keluarga itu tidak terlalu penting walhal ia sebenarnya antara kunci utama keutuhan rumah tangga anak.

“Umum mengetahui besan adalah hubungan yang terjalin antara ibu bapa sendiri dengan ibu bapa mentua selepas berlakunya perkahwinan. Apabila sepasang suami isteri itu berkahwin secara tidak langsung kita sudah mempunyai dua ibu bapa yang perlu diutamakan.

“Bagi membina kebahagiaan berpanjangan, pasangan suami isteri itu sendiri bukan hanya perlu memikirkan mengenai hubungan mereka berdua namun lebih utama adalah menyatupadukan ibu bapa sendiri dan ibu bapa mentua untuk mendapatkan keluarga yang lebih bahagia dan dirahmati,” katanya.

Menurutnya, sangat menyedihkan apabila ramai pasangan yang langsung tidak mempedulikan hubungan itu dan menganggap ia bukanlah sesuatu yang terlalu penting.

“Bukan kepada pasangan yang berkahwin itu saja malah ibu bapa sendiri perlulah berusaha sebaik mungkin dalam membina hubungan yang baik dengan besan bagi membantu kebahagiaan rumah tangga anak.

“Kepada anak, tidak salah membawa kedua-dua ibu bapa masing-masing keluar makan sekali atau bercuti bersama-sama bagi mendapatkan keserasian kerana bukan mudah sebenarnya untuk mereka menyayangi dan menerima orang baru dengan sepenuh hati. Ibu bapa pula janganlah bersikap sombong, bukalah hati anda untuk membina hubungan erat dengan besan dan seluruh keluarganya,” ujarnya.

Katanya, paling utama adalah aspek komunikasi kerana masyarakat kini kebanyakannya memilih untuk kurang berkomunikasi yang akhirnya memburukkan lagi keadaan.


ZUMASNI

MASALAH UTAMA ANTARA BESAN

Menurut Zumasni, berdasarkan pemerhatiannya terdapat beberapa konflik yang sering terjadi di antara besan dan akhirnya turut memberi pengaruh kepada rumah tangga anak.

“Konflik pertama adalah rasa tidak puas hati terutama menjelang musim perayaan atau ketika berkunjung ke rumah anak. Disebabkan tidak mempunyai hubungan yang baik antara besan menyebabkan ada di antara mereka yang mula marah apabila anak serta menantu tidak menyambut hari raya pertama di rumah mereka.

“Walhal perkara itu bukanlah satu masalah yang terlalu serius sekiranya ada komunikasi dua hala dan hubungan yang baik di antara besan, ini adalah soal bertimbang rasa, mungkin tahun ini anak menantu beraya di rumah besan dan tahun depan mereka akan beraya di rumah anda, kebiasaannya masalah ini akan terjadi kepada besan yang tidak mempunyai hubungan baik,” katanya.

Menurutnya, masalah kedua adalah personaliti atau sikap besan yang terlalu cerewet serta gemar mencampuri urusan rumah tangga anak-anak.

“Cara terbaik adalah dengan mengalah, sekiranya anda ditakdirkan mempunyai besan yang sebegitu anggaplah ia antara dugaan untuk diri anda serta cubalah untuk terus berkelakuan baik walaupun sukar.

“Namun sekiranya besan anda menunjukkan tindakan melampau dengan suka campur tangan urusan rumah tangga anak, anda boleh menegur dengan cuba berkomunikasi dengan lembut, jelaskan kepada mereka hal rumah tangga anak tidak perlu diganggu sekiranya ia adalah sesuatu yang normal,” ujarnya.


PERANAN ibu dan ibu mentua sama penting dalam sesebuah keluarga.

Kata Zumasni, selain itu, adat dan budaya yang berbeza juga turut mempengaruhi hubungan antara besan serta boleh mendatangkan masalah.

“Ia biasanya berpunca daripada keluarga besan yang berlainan negeri dan latar belakang tetapi ia boleh diubah dan dibiasakan. Mula-mula mungkin agak sukar tetapi kita perlu memberi masa kepada menantu untuk membiasakan diri dengan kehidupan keluarga barunya. Ia juga secara tidak langsung memberi ruang kepada besan untuk memahami budaya hidup keluarga anda.

“Disebabkan itu saya katakan semuanya boleh diatasi asalkan masing-masing memainkan peranan sebaiknya, tidak kiralah anak atau menantu, ibu sendiri atau ibu mentua semuanya perlu bersama-sama dalam membina hubungan yang baik antara besan,” katanya.

Zumasni berkata, kembalilah kepada matlamat asal sebuah perkahwinan dalam menuju ke syurga bersama-sama dan atas sebab itu cubalah bersatu demi kebahagiaan semua pihak terutama anak yang berkahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 6:00 AM