SERONOK dengan apa yang dilakukan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


SENTIASA berpegang dengan prinsip ‘erti kehidupan sebenar adalah dengan memberi’ menjadikan anak muda kelahiran ibu kota ini tidak kenal erti penat dalam usaha membantu insan memerlukan.

Baru berusia 27 tahun namun pengalaman dalam dunia kesukarelawanan sangat luas. Mana tidaknya, dia mula menjejakkan kaki ke dalam bidang ini sejak lebih 10 tahun lalu iaitu ketika masih di bangku persekolahan.

Mengenali pemilik nama Zahidah Azman banyak membuka mata dan hati penulis mengenai semangat tanpa kenal erti jemu membantu golongan kurang bernasib baik.

Membuka bicara, Zahidah berkata, dia mula mengenali dunia sukarelawan sejak di sekolah menengah apabila sering mengikuti ibu dan rakan yang aktif dalam bidang ini.

“Sejak itu saya mula menanam azam untuk mengikut jejak langkah ibu kerana di samping membantu, banyak yang dapat kita pelajari secara tidak langsung dan semua itu ternyata tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Sangat seronok apabila melihat insan lain tersenyum gembira.

“Masih segar di ingatan, ketika saya berusia 17 tahun dan baru tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya keliru dengan hala tuju selepas SPM. Ketika itu saya tidak tahu jurusan yang bersesuaian dengan diri namun apa yang pasti mahu bergelar sukarelawan sepenuh masa,” katanya.

Menurut Zahidah, bermula daripada itu juga, dia mula mencari ruang dan peluang untuk bersama-sama menyumbang bakti serta tenaga sebagai sukarelawan dengan lebih serius.

“Disebabkan bidang ini sangat dekat dengan diri, saya sememangnya tidak janggal walaupun ketika itu baru berusia belasan tahun.

“Ibu banyak memberi inspirasi kepada saya untuk berbakti dalam bidang ini. Saya kemudian semakin komited sewaktu menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam apabila bertemu badan bukan kerajaan (NGO) Projek Ihsan yang memfokuskan memberi pendidikan kelas tuisyen percuma kepada anak miskin bandar,” ujarnya.

Kata Zahidah, program itu menjadi detik permulaan kepada dirinya untuk lebih bergiat secara serius dalam membantu insan memerlukan.

“Syukur, semuanya dipermudahkan dan apa yang saya hajati tercapai apabila diterima bekerja sebagai koordinator projek di Cinta Gaza Malaysia.


SUKARELAWAN tak kenal jemu, puas lihat senyuman di wajah penerima bantuan.

“Walaupun sudah mempunyai kerjaya tetap dalam bidang ini, saya tetap mencari masa terluang untuk terbabit dalam aktiviti sukarelawan terutama selepas tamat bekerja atau ketika hujung minggu,” katanya.

Zahidah berkata, ramai individu sekeliling bertanya mengapa dirinya terlalu komited dalam bidang itu.

“Jawapan saya mudah, saya berasakan hidup lebih bermakna dan mempunyai tujuan apabila berada dalam bidang ini. Kegembiraan yang hadir dengan berbakti ini sukar digambarkan.

“Hidup di dunia ini perlulah seiring antara menjaga hubungan baik dengan Tuhan dan sesama manusia. Ada hak dan tanggungjawab yang perlu kita laksanakan sebagai hamba,” ujarnya.

Menurutnya, dia juga sangat bersyukur kerana keluarga amat menyokong minat dan kerjayanya itu.

“Tentu saja ibu bapa saya menyokong malah mereka juga amat menggalakkan. Saya juga gembira kerana rakan sukarelawan lain sentiasa meningkatkan semangat saya untuk terus berbakti.

“Sepanjang 10 tahun berkhidmat dalam bidang ini, saya sangat tersentuh ketika pertemuan bersama seorang remaja di sekolah juvana. Selesai program berlangsung, remaja itu memanggil saya dan mula menceritakan perjalanan hidupnya yang sangat susah dan berliku.

“Hati saya sangat tersentuh ketika itu, namun saya perlu bijak mengawal emosi supaya dapat memberi kata-kata semangat kepadanya. Sejak itu, saya semakin sedar, setiap apa yang terjadi itu bersebab dan kita sesama manusia tidak boleh terus menyalahkan orang lain walaupun individu itu melakukan kesalahan,” katanya.

Menanam azam dan semangat untuk terus berbakti, Zahidah berkata, selagi hayat dikandung badan, dia akan terus menyumbang dan membantu.

“Banyak yang saya pelajari apabila berdepan insan kurang bernasib baik. Bukan saja di negara ini, saya turut berpeluang melakukan pelbagai aktiviti sukarelawan di negara jiran termasuk di Indonesia dan Bangladesh.

“Selain itu, saya turut berharap akan lebih ramai anak muda yang untuk meluangkan masa mengenali bidang ini. Ramai yang saya temui berminat namun teragak-agak dan kurang yakin. Percayalah, anda akan temui kegembiraan dan kebahagiaan tidak ternilai sebaik menjejakkan kaki dalam dunia sukarelawan ini,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 5:30 AM