JAGA ibu bapa penuh adab, ikhlas ketika mereka sihat atau terlantar sakit. GAMBAR hiasan
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


SETIAP insan bergelar anak tentu saja mengharapkan kedua-dua ibu bapa berada dalam keadaan sihat terutama apabila usia semakin meningkat.

Namun, soal kesihatan sememangnya sukar dijangka, ini kerana ada di antara warga emas yang masih kuat dan memiliki kesihatan yang baik namun ada juga sebaliknya.

Lumrah kehidupan, apabila usia semakin meningkat, pelbagai penyakit mula menjengah, apatah lagi kepada individu yang berusia lebih 60 tahun.

Walaupun sedih mengenangkan ibu atau bapa yang mempunyai pelbagai jenis penyakit atau ada yang terlantar, anak perlu memastikan dua keramat hidup itu dapat menjalani kehidupan dengan baik walaupun dalam keadaan kurang sihat.

Menjaga dan menemani ibu bapa sama ada yang masih boleh berjalan atau terlantar adalah tanggungjawab semua anak, bukan hanya dibebankan kepada anak sulung atau anak lelaki sahaja.

Bagaimanapun, dalam tuntutan hidup kini, kebanyakan anak rantau dan tinggal berjauhan menyebabkan tugas menjaga orang tua dilepaskan kepada pembantu atau anak yang tinggal paling hampir dengan ibu bapa.

Memang diakui ia bukanlah perkara mudah, apatah lagi apabila si anak sudah berkeluarga namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak diri daripada menunaikan tanggungjawab kepada dua insan yang banyak berjasa kepada kita.

Apabila ibu atau bapa dalam keadaan uzur atau tidak sihat, anak-anak perlu duduk berbincang dan mencari langkah terbaik terutamanya dari segi rawatan bagi memastikan kebajikan dan kesihatan mereka sentiasa terjaga.

Sekiranya ibu bapa memerlukan rawatan susulan di hospital, pastikan setiap temu janji dipenuhi. Sekiranya mempunyai masalah dari segi masa, si anak perlu menukar tarikh temu janji dan memaklumkan pihak hospital dengan segera. Sebaiknya, aturkan jadual giliran supaya anak boleh merancang cuti untuk membawa ibu bapa ke hospital.

PANDUAN MENJAGA IBU BAPA SAKIT

1. Berikan masa dan kasih sayang tanpa berbelah bagi supaya ibu bapa dapat rasakan betapa istimewanya kedudukan mereka di hati anak-anak.

2. Bagi anak yang tinggal berjauhan, sebaiknya telefon ibu dan bapa setiap hari. Jika tidak dapat, usahakan untuk menelefon mereka sekurang-kurangnya dua atau tiga hari sekali. Melalui cara ini anak boleh mengetahui keadaan kesihatan ibu bapa.

3. Bawa ibu bapa bertemu doktor terutama apabila mereka mengadu tidak sihat atau teman mereka setiap kali temu janji pemeriksaan di hospital. Ambil cuti dan bergilir-gilir dengan adik-beradik yang lain.

4. Pantau jadual pengambilan ubat ibu dan bapa. Pastikan ubat dalam bungkusan asalnya supaya ibu atau bapa tidak keliru ketika mengambil ubat khususnya jika mereka perlu mengambil beberapa jenis ubat pada masa sama. Ingatkan ibu dan bapa untuk mengambil ubat pada masa yang ditetapkan.

5. Sekiranya, ibu atau bapa adalah pesakit terlantar, pastikan mereka dalam keadaan bersih. Mandikan atau lap badan mereka dengan kerap menggunakan air suam.

Sapukan losen atau minyak bayi untuk mengelakkan kulit mereka menjadi kering. Pastikan lampin pakai buang kerap ditukar dan letakkan minyak angin, bedak atau minyak wangi di badan mereka.

6. Alihkan kedudukan badan ibu atau ayah yang terlantar setiap dua jam untuk mengelakkan luka tekanan pada belakang badan. Periksa belakang badannya setiap hari untuk mengesan luka.

7. Masak makanan kegemaran ibu bapa terutama sekiranya mereka tidak ada selera untuk makan. Tanya apa yang mereka inginkan dan cuba dapatkannya.

8. Urut atau picit kaki dan badan ibu bapa bagi melegakan kesakitan ditanggung.

9. Ajar anak kecil untuk menyayangi datuk dan nenek mereka. Kerap bawa anak-anak pulang ke kampung untuk memastikan hubungan terjalin erat.

10. Bersembang dan ceriakan mereka. Ini dapat merangsang otak ibu bapa terutama yang berada dalam keadaan terlantar. Dalam masa sama ia dapat mengurangkan kebosanan dan tekanan jiwa yang dialami mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 5:00 AM