KETIKA bertugas di NASA.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


BERBEZA sungguh suasana apabila bercerita dengan wanita ini. Aura, sifat daya saing yang tinggi dan semangat positif pada dirinya sukar untuk dicabar.

Enam tahun lalu nama Prof Madya Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim, 41, mencipta fenomena besar apabila berjaya mencatat sejarah sebagai wanita pertama Malaysia terbabit dalam program penghantaran penyelidikan ke angkasa dalam misi agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Amerika Syarikat (AS) ke planet Marikh.

Ketika itu, dia yang mesra dengan panggilan Dr Amani masih bekerja sebagai saintis di Purdue University, West Lafayette, Indiana. Wanita ini diberi tugas mereka bentuk dan membina nanosatelit biopenderia untuk melakukan kajian mengenai kesan graviti terhadap tumbuh-tumbuhan.

Peluang itu bagaimanapun ditawarkan seorang ketua jabatan di NASA yang juga mentornya, D Marshall Porterfield. Selepas hampir 20 tahun di AS, wanita ini kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Jabatan Bioteknologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Bertemu wanita ini di Menara KEN, Taman Tun Dr Ismail lewat petang Isnin lalu, Dr Amani tersenyum ceria menyambut di ruang menunggu. Celoteh panjang kemudian bersambung di ruang bilik yang lebih selesa.

Kata anak kelahiran Kelantan ini, dia tidak menguasai loghat negeri kelahiran berikutan membesar di Pulau Pinang. Dibesarkan dalam keluarga yang mengutamakan ilmu, anak ketiga daripada lima beradik ini mengakui sebahagian besar umurnya dihabiskan dengan membuat kajian di makmal.

“Berbanding kebanyakan wanita lain, saya selalu berasa diri lebih beruntung kerana mempunyai ibu bapa yang sangat memahami, sentiasa memberi dorongan dan menyokong minat anaknya untuk terus maju dalam bidang ini.

“Bayangkan, ketika orang lain menerima tekanan dan pertanyaan bila hendak berumah tangga serta memiliki anak, ibu saya bersikap sebaliknya. Setiap kali kami berhubung menerusi telefon ketika saya di AS dulu, tiga pertanyaan pertamanya adalah; sudah makan atau belum; sudah solat atau belum dan kerja bagaimana?

“Sebab itu, saya selalu berasakan kejayaan saya hari ini hasil sokongan padu ibu bapa. Mereka tahu betapa besarnya usaha, impian dan cita-cita saya dalam melaksanakan misi diberi NASA,” katanya.


DR Amani kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Jabatan Bioteknologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

MAJUKAN NEGARA

Mengimbau kembali zaman kecilnya, kata Dr Amani, dia tidak pernah tahu apa itu NASA, angkasa lepas dan sebagainya. Tetapi kerana rasa cintanya kepada ilmu dan rasa ingin tahu yang sangat menebal, wanita ini mula meneroka dunia angkasa perlahan-lahan.

“Kata ibu, saya seorang yang suka duduk di sofa dan berkhayal. Namun, dalam khayal itu saya selalu memikirkan cara menjadi orang berguna kepada masyarakat. Saya mahu membuat kajian yang memberi impak kepada manusia secara keseluruhannya.

“Apabila mencapai umur 17 tahun, saya berangkat menyambung pengajian di AS. Dalam tempoh hampir 20 tahun di sana, saya berjuang sebagai wanita bujang, bukan berkahwin.

“Hanya apabila pulang ke Malaysia saja saya dijodohkan dengan lelaki yang dikenali sejak usia remaja,” katanya.

Jelas Dr Amani, sejak tahun pertama di AS lagi dia sudah merebut peluang bekerja secara sukarela di makmal profesor. Kerja pertamanya adalah mencuci kanta mikroskop.

“Beratus-ratus kanta saya bersihkan sehari. Kalau orang sekarang, dia mungkin akan kata ini kerja kuli. Semua orang tak mahu. Namun, kerja itulah yang akhirnya membuka banyak lagi peluang lain.

“Seorang penyelidik di makmal memuji sikap saya yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam kerja. Jadi, dia mencadangkan kepada seorang profesor untuk memberikan projek yang lebih mencabar.

“Dari situ jugalah bermulanya saya membuat kajian biopenderia. Oleh kerana banyak latihan dalam bilik mencuci di makmal, seorang rakan memberitahu terdapat kualiti membanggakan dalam diri saya. Apabila orang lain tidak boleh buat, saya mampu usahakan sehingga ia jadi realiti,” katanya yang memiliki ijazah sarjana muda dan sarjana di University of Minnesota di Minneapolis.


KETIKA terlibat dalam program penghantaran penyelidikan ke angkasa.

Peluang kian cerah buat wanita ini apabila melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di Purdue University, pusat pengajian yang melahirkan angkasawan pertama menjejakkan kaki ke bulan, Neil Alden Armstrong.

Kata Dr Amani, sepanjang pengajian, dia tidak pernah mengambil mudah setiap pekerjaan dan peluang yang tiba kepadanya. Jadi, apabila diberi kepercayaan memimpin projek NASA, dia melaksanakan sebaik-baiknya.

“Hari ini, apabila sudah berada di Malaysia, saya selalu bertanyakan kepada diri, apa bentuk sumbangan yang boleh dilakukan untuk membantu masyarakat dan negara.

“Saya pernah ke Kelantan ketika bencana banjir besar yang lalu. Saya bersama satu badan bukan kerajaan (NGO) ke lokasi paling teruk terjejas. Di sana, saya melihat orang tua mengangkat air yang keruh untuk dijadikan air minuman.

“Saya fikir, mengapa tidak saya cipta satu alat yang boleh membantu mengesan kehadiran bakteria dalam air? Alat ini nanti boleh digunakan semua dan ia sudah di peringkat akhir sebelum diperkenalkan kepada umum,” katanya.

Kata Dr Amani, dia sentiasa positif untuk menyumbang kepada negara, namun masih mencari sokongan pelabur untuk merealisasikan impiannya.

“Saya lihat Malaysia memiliki ramai pakar yang mempunyai potensi dalam pelbagai bidang. Mereka ini ada pencapaian membanggakan di luar negara, dihormati dan disanjung, namun hilang punca apabila kembali ke tanah air.

“Bakat dan kebijaksanaan mereka tidak digunakan, apatah lagi dihargai atau diangkat menerusi projek mega yang ada. Sebab itu, saya mahu adakan satu organisasi khusus untuk menghimpunkan golongan pakar dan ilmuwan tempatan supaya mereka dapat menyumbang kepada kemajuan negara menerusi syarikat kelahiran anak Malaysia sendiri.

“Saya ambil Samsung sebagai contoh. Ia syarikat yang menghimpunkan kebijaksanaan dan kepakaran anak Korea Selatan dan kini dikenali di mata dunia. Ramai anak Malaysia kini disanjung di luar negara, jadi mengapa tidak kita buka ruang untuk mereka menyinar di negara sendiri?” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 5:00 AM