Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


SEPASANG kebaya hijau disarungkan pada tubuh tinggi lampai. Rambut lurus melepasi bahu disisir rapi menyerlahkan pesona keanggunan wanita. Bibir merah bak delima dan pembayang mata rona gelap kelihatan serasi apabila digandingkan bersama.

Jika wanita era 60-an tampil elegan dengan kebaya pendek, bersanggul tinggi dan diserlahkan calitan gincu merah pulasan, apa kurangnya wanita zaman sekarang yang bijak bergaya terutama apabila melaram ke acara keraian.

Menurut jurusolek profesional, Yann Rifft, solekan turut berubah mengikut peredaran semasa. Namun, walau berubah, rona pembayang mata, gincu pelbagai warna dan teknologi maskara yang semakin menyerlah, solekan berasaskan gaya tradisi tetap menjadi pujaan kebanyakan wanita.

“Gaya sebegini selain kelihatan menawan ia cukup membuatkan penampilan kekal anggun di mata tetamu. Namun bukanlah bermakna wanita perlu tampil 100 peratus dengan teknik solekan yang sama. Sebaliknya ia boleh disesuaikan mengikut trend masa kini,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Yann, untuk mendapatkan gaya solekan tradisi teknik solekan seperti penggunaan bedak asas, pembayang mata, gincu dan maskara tidak boleh diabaikan. Ini kerana kekurangan satu daripadanya akan menjejaskan hasilnya.

“Untuk langkah pertama sapu bedak asas ke seluruh wajah namun pastikan sapuan tidak terlalu tebal, cukup untuk melindungi cela. Ini bagi memberikan kesan segar kepada wanita apatah lagi sekiranya digayakan pada hari keraian seperti majlis perkahwinan.

“Dalam keadaan cuaca panas warna yang tebal akan membuatkan solekan mudah cair disebabkan berpeluh. Untuk kesempurnaan tutupi dengan bedak debu dan kompak agar ton kulit menjadi sekata,” katanya.

Selesai bedak asas, pastikan warna pembayang mata tidak terlalu terang. Pilih gabungan rona semula jadi dengan sapuan coklat cerah sebagai asas, tambahkan merah jambu terang diikuti warna sedikit gelap.

“Mulakan dengan sapuan cerah bermula dari garisan bulu mata sehingga ke bawah kening. Kemudian, sapukan pembayang mata dengan ton sederhana cerah.

“Ton sederhana cerah adalah definisi kepada warna alami, jadi anda tidak perlu meratakan pembayang mata itu. Untuk tampak lebih gelap, sapuan pembayang mata ton gelap di garisan mata yang berkedut bagi menampakkan warna lebih seimbang dan tidak bertompok,” ulasnya.

Kemudian gunakan celak rona gelap dengan membuatkan garisan di sepanjang hujung kelopak mata. Pastikan garisan yang dioles menggunakan celak pada bahagian atas kelopak mata dan bawah garisan bulu mata bertemu pada hujung mata.

Kata Yann lagi, maskara yang berfungsi untuk melebat dan menghitamkan bulu mata perlu dioles dengan betul. Ini bertujuan mendapatkan mata menawan dan tampak elegan supaya tujuan mendapatkan solekan klasik berjaya dihasilkan.

Akhir sekali hias dengan pemerah pipi merah jambu pada bahagian atas tulang pipi. Caranya dengan membuat layangan pemerah pipi pada bahagian atas tulang pipi. Sapu gincu merah terang bagi menyudahkan solekan klasik.

“Untuk mendapatkan bentuk bibir yang seksi sebelum sapuan gunakan pensel bibir dan lukis bahagian luar bibir. Bentukkan bibir menjadi lebih mungil. Ratakan dengan gincu pilihan bersama sedikit pengilat bibit,” katanya.

Senada dengan konsep solekan, untuk gaya tradisi anda boleh mengenakan kebaya pendek atau labuh atau boleh juga memakai peplum untuk nampak langsing. Rambut boleh disanggul atau disisirkan ke tepi supaya kelihatan lebih remaja.

LANGKAH DEMI LANGKAH

1. SAPUAN bedak asas bagi menutupi cela.

2. AMBIL celak kemudian lukis pada bahagian alis supaya lebih terbentuk cantik.

3. GUNAKAN gabungan rona semula jadi untuk pembayang mata. Sapuan haruslah seimbang dengan menggabungkan tiga warna.

4. GUNAKAN celak cecair untuk mendapatkan mata lebih ‘tajam’.

5. SAPUAN maskara melentik dan melebatkan bulu mata.

6. SAPU pemerah pipi agar keanggunan lebih terserlah.

7. GINCU merah terang menyerahkan gaya tradisional

8. GAYA tradisi sesuai untuk acara keraian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 4:30 AM
GAYA tradisi sesuai untuk acara keraian. SOLEKAN & DANDANAN: yann_rifft (Instagram)