TAUHU bergedil boleh diubah suai ikut selera sendiri.
Siti Zarinah
Sahibsitizarinah@hmetro.com.my

MULA popular sekitar 2017, apabila ditularkan sebagai makanan hipster paling sedap dan mudah dimasak, ramai tidak tahu tauhu bergedil sebenarnya adalah gabungan masakan Cina dan Jawa. Ia diinovasikan daripada bergedil daging yang disumbat ke dalam tauhu kering kemudian digoreng garing.

Apabila ia mula ditularkan, terdapat pelbagai versi tauhu bergedil yang dihasilkan menggunakan bahan berbeza. Namun bahan asas bergedil tetap sama.

Menurut Zulfa Zainal Abidin umumnya resipi ini tidak ubah seperti resipi tauhu sumbat. Apa yang membezakannya adalah inti sayur itu diganti kentang lenyek yang digabung bersama isi ayam atau daging, sama seperti bergedil.

“Bagi menyedapkan rasa, terdapat bahan lain seperti cili, bawang Holland, daun sup dan daun bawang di dalamnya. Semua bahan ini dikisar kemudian disumbat ke dalam tauhu,” katanya.

Hidangan ini enak dijadikan sebagai pembuka selera atau juadah minum petang disebabkan rasanya yang rangup di luar serta enak bersama isi daging dan ayam di dalamnya. Selain keenakan tauhu, sambal kicap turut memainkan peranan penting.

“Sebab itu kesedapan tauhu bergedil turut bergantung kepada sambal kicap dengan rasa masin, manis dan pedas yang secukup rasa. Ada juga individu meletakkan cili padi untuk dimakan bersama tauhu, tetapi ia terpulang kepada cita rasa masing-masing,” kata Zulfa yang menghasilkan resipi tauhu bergedil sendiri selepas beberapa kali mengubahsuainya.

BAHAN-BAHAN:

- 10 biji kentang direbus atau digoreng. Kemudian kisar sehingga halus.

- 1 kilo daging direbus dan dikisar.

- 1 sudu kecil serbuk lada hitam.

- 1 sudu kecil serbuk jintan manis.

- 1 sudu kecil serbuk jintan putih.

- 1 pokok daun sup dimayang halus.

- 1 pokok daun bawang dimayang halus.

- 1 biji cili merah dibelah, dibuang biji dan dihiris halus.

- 2 biji bawang Holland dihiris dan digoreng kemudian dikisar.

- 3 biji kuning telur.

- Garam secukup rasa

CARA MENYEDIAKANNYA:

1. Satukan semua bahan. Gaul sehingga rata.

BAHAN UNTUK SALUTAN TEPUNG:

- 5 biji telur

- 3 sudu besar tepung jagung.

- 3 sudu besar tepung gandum.

- 1 sudu kecil serbuk paprika.

- 1 sudu kecil serbuk cili (emping halus)

- Garam secukup rasa.

- Sedikit air.

Semua bahan ini disatukan kemudian digaul rata.

BAHAN SAMBAL KICAP:

- 5 tangkai cili padi atau secukup rasa.

- 3 ulas bawang putih.

- Kedua-dua bahan ini digoreng hingga layu.

- 5 sudu besar kicap manis.

- 5 sudu besar kicap masin secukupnya.

- Air secukupnya.

Kisar semua bahan sehingga halus.

CARA-CARANYA

1. BAHAN untuk bergedil yang sudah siap dicampurkan.

2. SALUTAN tepung untuk menggoreng tauhu.


1 DAN 2

3. POTONG tauhu kembung. Biarkan ada ruang untuk mengisi bergedil di dalamnya.

4. SUMBAT bergedil ke dalam tauhu.


3 DAN 4

5. CELUPKAN tauhu yang sudah sedia diisi bergedil ke dalam salutan tepung tadi.

6. PANASKAN minyak gunakan api sederhana kecil. Apabila minyak sudah panas masukkan tauhu bergedil dan kacau sehingga kekuning-kuningan.


5 DAN 6

7. ANGKAT apabila sudah masak dan enak dihidangkan panas bersama sambal kicap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 5:30 AM