GANDAKAN pengambilan buah dan sayuran.
WANITA tidak dapat penjagaan sempurna ketika hamil berisiko 3 kali ganda lahir bayi kurang berat. GAMBAR hiasan
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


KEHAMILAN adalah peristiwa yang sangat bermakna buat wanita yang lama menantikan kehadiran cahaya mata penyeri rumah tangga. Bermula saat menjalani ujian kehamilan sehingga disahkan doktor diri berbadan dua, ia menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

Sepanjang tempoh kehamilan, setiap pasangan mengharapkan bayi yang bakal lahir cukup sifat, sihat dan sempurna. Pilihan terbaik adalah dengan menjaga pemakanan dan memastikan tubuh mendapat nutrien secukupnya.

Ini kerana ada kajian menunjukkan ibu yang tidak mendapat penjagaan dan rawatan sempurna ketika hamil berhadapan risiko tiga kali ganda melahirkan bayi kurang berat badan.

Berikut beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk bakal ibu menjalani tempoh kehamilan lebih baik.

1. BERI TUMPUAN TRIMESTER PERTAMA

Ketika ini pembentukan sel dan perkembangan organ janin berlaku dengan sangat cepat. Berbanding wanita tidak hamil, setiap ibu mengandung memerlukan lebih 300 kalori sehari untuk memenuhi keperluan diri dan bayi.

Dengan itu, diet mereka perlu diisi dengan makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, susu rendah lemak, telur, keju dan bijirin.

2. PELBAGAIKAN SUMBER MAKANAN

Nutrien seperti protein, asid folik dan vitamin B12 sangat diperlukan ibu dan bayi dalam kandungan. Mengikut keperluan piramid makanan, pertambahan kalori ibu hamil pada trimester pertama hanya 80 iaitu bersamaan dengan sekeping roti.

3. ELAK MAKAN UNTUK DUA ORANG

Lazimnya ibu cenderung memberi alasan cepat lapar disebabkan perlu 'berkongsi makanan' dengan bayi dalam kandungan. Bagi yang tidak mengalami sebarang alahan, mereka selesa untuk makan apa saja yang terlintas di kepala tanpa mengira jumlah sebenar kalori diperlukan tubuh.

Cuba elak memberi alasan sebegini dan fokus kepada keperluan diri, bukan kehendak selera.

4. MAKAN DENGAN KERAP

Bukan semua ibu berpeluang bebas daripada risiko alahan. Ada yang mengalaminya sehingga fobia hendak menjamah makanan. Seelok-eloknya makan apa saja yang dirasakan sesuai dengan selera secara sedikit, tetapi kerap.

Elakkan pengambilan makanan pedas dan berminyak yang boleh menyebabkan ibu mudah muntah. Minuman berkafein juga tidak baik untuk ibu hamil. Gandakan pengambilan buah dan sayuran serta minum banyak air kosong.

5. KAWAL SELERA MAKAN

Trimester kedua kehamilan selalunya menjadi fasa paling menyeronokkan. Bagi ibu yang mengalami alahan teruk, biasanya tempoh ini tidak lagi memberi tekanan buat mereka. Biarpun selera semakin baik, kawal diet harian supaya tidak mengalami pertambahan berat badan secara mendadak.

Pilih makanan kaya protein, zat besi, omega dan DHA yang baik untuk otak. Pertambahan kalori pada fasa ini hanyalah 200 kalori saja atau bersamaan dengan segelas susu.

6. ELAK KALORI TINGGI

Perhatikan hidangan yang diambil setiap hari. Ibu hamil sepatutnya mengelak pengambilan makanan berkalori tinggi, berlemak, banyak gula dan garam.

Tinggalkan tabiat mengunyah kerepek, snek ringan dan cuba elak makanan segera. Pilih jenis kudapan yang baik seperti kacang dan buah. Kawal kuantiti pengambilan supaya tidak berlebihan.

7. HENTI BAHAN TERLARANG

Jika anda seorang perokok, berhentilah daripada terus membahayakan bayi dalam kandungan. Tinggalkan juga makanan atau minuman yang boleh memudaratkan diri dan bayi seperti minuman beralkohol atau jeruk. Ia mungkin boleh mengganggu perkembangan bayi.

.

8. JALANI PEMERIKSAAN

Ini penting dan perlu dilakukan sehingga anda selamat melahirkan bayi. Anda boleh melihat perkembangan bayi

menerusi pemeriksaan bulanan. Pada masa sama, doktor juga akan memantau tahap kesihatan ibu dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya terdapat masalah kencing manis atau darah tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 5:00 AM