IKATAN skaf boleh digayakan mengikut kesesuaian majlis. FOTO: Rosela Ismail
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


BOSAN dengan gaya rambut panjang mengurai, keriting mahupun bersanggul ringkas, cuba tukar dengan pemilihan aksesori ringkas yang mungkin boleh menceriakan penampilan.

Tidak perlu mengeluarkan modal besar untuk mendapatkan aksesori mahal, memadai menggunakan skaf lama, tudung, selendang, bandana mahupun kain perca bersaiz lebar.

Dalam dunia fesyen, pemilihan aksesori untuk menetapkan gaya rambut tidak penting. Apa yang utama adalah idea dan kreativiti supaya penampilan anda tampak seiring dengan imej yang dibawa.

Melilit skaf mungkin popular dalam kalangan wanita yang suka mengenakan blaus atau terikat dengan gaya korporat. Skaf lazimnya dililit di leher sebagai pelengkap gaya.

Sementara untuk bahagian kepada, skaf lebih dilihat berfungsi sebagai tudung atau turban. Sebenarnya skaf masih sesuai dijadikan aksesori kepala buat wanita yang tidak bertudung.

Tidak kira bercorak atau polos, pemilihan skaf tidak semestinya perlu sedondon dengan warna baju, melainkan jika anda mahu menghadiri majlis bertema.

Kata jurumekap artis, El Manda Zuhairy (@mandalicious_official), tidak ramai wanita yang berani mengenakan ikatan skaf di kepala kerana bimbang tidak bersesuaian bentuk wajah, selain tidak tahu cara melilitnya.

“Selalunya ikatan reben di kepala ini jadi pilihan buat padanan kasual. Ia aksesori kepala paling ideal buat wanita berperwatakan ceria dan memiliki rambut keriting atau panjang, tetapi tidak sempat berdandan.

“Apa yang perlu mereka lakukan hanyalah merapikan rambut dan ikat kemas seperti biasa. Jika perlu, guna semburan rambut. Kemudian, pilih tudung segi empat, selendang atau skaf dan mulakan ikatan sebagaimana contoh.

“Anda boleh mengambil inspirasi gaya daripada selebriti luar negara seperti Rihanna atau sesiapa saja yang dirasakan sesuai. Pemilihan fabrik juga tidak terhad kepada jenis kapas atau kain bawal.

“Pilih fabrik sifon untuk kesan lipatan yang tidak ketara dan nampak mengurai. Gunakan tudung daripada fabrik kapas untuk gaya lebih ringkas,” katanya.

Bagi yang mahu mencuba melilit skaf di kepala, El Manda berkongsi langkah pemakaian paling ringkas. Apa yang perlu hanyalah fabrik empat segi sama atau paling mudah, tudung bawal.


LIPAT tudung menjadi segi tiga. Gandakan lipatan

RAPATKAN ke bahagian belakang kepala dan sisip rambut supaya kemas. Ikat kemas di bahagian atas tengah kepala.

IKAT reben dengan menyeimbangkan saiz sisipan kiri dan kanan. Selit baki skaf bersama rambut dan kemaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 4:30 AM