NISSA ibu kepada lima cahaya mata anggun mengenakan busana hitam ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


TIDAK banyak pasangan sanggup memiliki ramai cahaya mata pada usia muda. Apatah lagi jika ada mulut nakal yang sering memberikan sindiran dan kata-kata kurang enak didengar. Pasti sedikit sebanyak memberikan tekanan terhadap emosi dan jiwa si ibu.

Bagi Nissa Hashim, dia tidak pernah menyangka dikurniakan cahaya mata dalam masa yang singkat sebaik mendirikan rumah tangga. Malah pada usia 25 tahun, kala rakan seusia masih menyambung pengajian di universiti atau mula mencari pekerjaan, wanita cantik ini sudah memiliki lima cahaya mata.

Bercerita lebih lanjut, ujar wanita kelahiran Kedah ini, sebaik mendirikan rumah tangga selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia tidak pernah merancang untuk hamil pada usia belasan tahun. Ini kerana dia berasakan masih terlalu muda untuk memiliki anak dan pada masa sama dalam perancangan untuk menyambung pengajian ke universiti.

“Namun rezeki Tuhan tiada siapa yang mampu menolak apabila saya disahkan hamil bunting pelamin. Oleh kerana suami menjalankan perniagaan sendiri, jadi dia membuat keputusan agar saya tidak menyambung pengajian demi menjaga kandungan. Pada masa sama dia ingin mengajar saya selok- belok berniaga,” katanya.

Nissa bersyukur kerana walaupun hamil muda, dia tidak mempunyai sebarang masalah dari segi kesihatan. Malah dia mampu melakukan aktiviti lasak seperti memasang pelamin dan kerja andaman yang ada kala berlarutan sehingga jam 4 pagi.

“Akibat kurang rehat, cahaya mata pertama dilahirkan pada usia kandungan tujuh bulan iaitu pada 29 Disember 2012. Syukur kerana ibu memberikan perhatian dan menjaga saya sepenuhnya ketika dalam pantang. Suami pula sangat mengambil berat walaupun perlu berulang-alik ke hospital untuk pemeriksaan jaundis anak kami. Dia juga memberikan sokongan emosi kepada saya dengan menyediakan keperluan berpantang dan bersama-sama menjaga bayi pada waktu malam,” ujarnya.


NISSA bersama suami tersayang yang banyak membantu dalam urusan penjagaan anak.

Tanpa menggunakan sebarang kaedah perancang keluarga, ketika usia Adam Mikhail sembilan bulan, Nissa hamil untuk kali kedua. Pada mulanya wanita ini tidak dapat menerima kenyataan disebabkan Adam masih terlalu kecil dan menyusu badan sepenuhnya. Bagaimanapun, suami memberikan kata-kata semangat supaya menerima rezeki Allah dengan reda.

“Pada usia masih terlalu muda saya terfikir mengapa perlu hamil lagi? Pasti selepas ini saya tidak dapat menikmati zaman muda sama seperti rakan lain. Bagaimana pula dengan bentuk badan yang semakin berubah? Apabila melihat perut yang semakin membesar lama-kelamaan timbul rasa sayang kepada janin dalam kandungan,” katanya.

Anak kedua yang diberi nama Adrian Malique lahir pada tanggal 14 Mei 2014 tanpa sebarang komplikasi. Malah Nissa mula rapat dengan doktor yang bertugas memandangkan sering bertemu selepas itu.

MENGANDUNG LAGI TANPA DIDUGA

Kandungan kali ketiga juga berlaku tanpa diduga, walaupun mengambil pil perancang, Nissa tidak mengamalkannya secara konsisten. Akibatnya dia hamil lagi ketika anak masih berusia di bawah 12 bulan. Ketika masih pada awal kandungan dia cuba merahsiakannya daripada keluarga kerana khuatir ibu memarahinya.

“Tetapi sebaik perkhabaran kehamilan disampaikan kepada ibu, ternyata dia menerimanya. Ibu memberikan sokongan dengan mengatakan anak itu rezeki Allah jadi saya perlu menerima dengan reda dan syukur,” jelasnya yang melahirkan cahaya mata ketiga, Adeena Malaeka pada 2015 dengan perbezaan usia setahun.


NISSA dapat zuriat pertama pada 2012 dan anak kelima pada 2017.

Walaupun terpaksa menjaga ketiga-tiga anak yang masih kecil, ia tidak sedikit pun memberikan tekanan kepada Nissa kerana dia mendapat sokongan penuh suami. Suami sangat mengambil berat dan membantu melakukan kerja rumah. Jadi rasa penat itu berkurangan.

“Lama-kelamaan timbul keseronokan memiliki ramai anak apatah lagi apabila melihat keletah mereka. Saya mulai tidak kisah jika hamil lagi dalam waktu terdekat. Tambah pula sepanjang kehamilan saya tidak mengalami sebarang alahan. Boleh bekerja membantu suami menguruskan perniagaannya,” ujarnya.

Mungkin disebabkan doa untuk memiliki anak seterusnya, Nissa hamil lagi buat kali keempat dengan jangkaan tarikh bersalin pada 2016. Tidak seperti kandungan ketiga yang membuatkan Nissa rasa tertekan, kali ini dia sudah lali dengan kritikan orang sekeliling.

“Saya sudah menganggap melahirkan anak sebagai rutin, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan. Semuanya perlu dilalui seperti biasa. Kehamilan keempat juga sangat mudah, saya tidak mengalami sebarang alahan. Jadi semua urusan penjagaan anak dapat saya lakukan tanpa bantuan suami,” katanya.

Selepas melahirkan Adeelea Marshanda, Nissa bercadang berehat seketika bagi memberikan sepenuh perhatian kepada keempat-keempat anaknya. Namun sekali lagi dia diuji dengan kehamilan kelima.

“Ketika itu saya menunaikan umrah bersama suami dan mengambil pil untuk menghalang haid. Pulang dari umrah, haid jadi tidak teratur dan saya beranggapan ia perkara biasa kesan daripada pengambilan ubat-ubatan. Namun selepas tidak datang haid pada bulan seterusnya saya terus melakukan pemeriksaan sendiri.

“Alangkah terkejutnya apabila ujian kehamilan menunjukkan tanda positif. Antara gembira, terharu dan terkejut. Namun akhirnya saya reda dengan ketentuan Allah dan menerima kehamilan dengan gembira,” katanya melahirkan cahaya mata pada 2017.

Sama seperti kandungan keempat, Nissa juga tidak mengalami sebarang alahan malah dia semakin kuat mengharungi kehidupan harian sebagai isteri dan ibu kepada lima orang anak.

“Bohong jika mengatakan saya tidak penat pada saat anak masih kecil. Anak sulung baru berusia lima tahun tetapi dia sudah mempunyai empat adik yang masih kecil. Saya kuatkan semangat dan tekad menjalankan urusan rumah tangga kerana Allah. Akhirnya saya dapat melalui semua kesusahan dengan mudah,” katanya yang memberi nama anak kelima, Adzra Maryam.

Menurut Nissa, sepanjang 2012 sehingga 2017 memang dia tidak pernah merancang. Walaupun doktor ada memberikan ubat perancang keluarga namun tidak diambil secara konsisten. Ini kerana timbul dalam diri keseronokan memiliki zuriat yang ramai. Jadi apabila mengandung, ia tidak mendatangkan masalah kepada dirinya.

Ujarnya lagi, memang tidak mudah memiliki ramai anak pada usia muda dengan jarak setahun setiap orang. Sepanjang 2012 sehingga 2017 dia lebih banyak mendiamkan diri di rumah, hanya memberikan tumpuan kepada suami dan anak. Nissa juga tidak mempunyai rakan baik di Kedah jadi tekanan atau rasa rendah diri tidak terasa.

“Dalam lima tahun memang saya tidak dapat memberikan tumpuan kepada diri sendiri terutama perkara berkaitan kecantikan. Namun sebagai isteri kecantikan diri perlu dijaga terutama dalam perkara asas seperti kecantikan kulit wajah dan kebersihan diri,” katanya.

Tambahnya lagi, pengalaman dibesarkan dalam keluarga ramai iaitu enam beradik, menjadikan mereka sangat rapat antara satu sama lain. Malah arwah ibu menjadi pendengar setia dan sering memberikan nasihat sekiranya berhadapan sebarang masalah.

“Didikan ibu bapa sejak kecil akan saya terapkan kepada anak. Saya juga berharap mereka menjadi insan berguna apabila dewasa kelak dan mampu membahagiakan kami. Sekurang-kurangnya jika ada anak tinggal berjauhan, ada anak lain yang boleh menjenguk kami dan bergilir-gilir menjaga apabila kami tua kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 5:00 AM