BUKA ruang untuk meluahkan perasaan mereka elak rasa terabai. GAMBAR hiasan
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

RUMAH tangga mana yang tidak pernah berdepan dugaan. Ada pasangan yang mampu menghadapi cabaran namun sekiranya sudah tertulis tiada jodoh antaranya, maka perceraian mungkin jalan terakhir untuk masing-masing meneruskan kehidupan.

Selain pasangan suami isteri, anak antara individu yang turut sama terkesan akibat daripada perceraian. Bagaimana mereka bereaksi terhadap perkara itu bergantung kepada umur, personaliti dan penerimaan mereka terhadap perpisahan ibu bapanya.

Kerap kali berlaku, reaksi yang ditunjukkan termasuk terkejut, kesedihan, kehampaan, marah dan bimbang. Namun, kanak-kanak mungkin dapat menyesuaikan diri dengan tekanan dan ramai yang membesar menjadi remaja yang lebih fleksibel dan bertoleransi.

Antara perkara paling penting yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu kanak-kanak melalui masa yang sukar ini ialah:

. Pastikan konflik, perbincangan hangat dan perbualan mengenai undang-undang dijauhkan daripada anak-anak.

. Kurangkan gangguan kepada rutin harian anak-anak.

. Hadapi suasana negatif dan menyalahkan antara satu sama lain dalam sesi terapi peribadi atau perbualan dengan rakan di luar rumah - bukan di depan anak-anak.

. Pastikan setiap ibu bapa terbabit dalam kehidupan anak-anak.

Orang dewasa yang melalui perpisahan dan perceraian memerlukan sokongan daripada rakan, pihak profesional dan keluarga. Namun, elakkan daripada mendapatkan sokongan daripada anak-anak anda, walaupun mereka mahu berbuat demikian.


DAPATKAN bantuan sekiranya berasa tertekan. GAMBAR hiasan

Berikut beberapa cara untuk membantu anak-anak menghadapi kekecewaan akibat perceraian:

1. MENGGALAKKAN KEJUJURAN

Kanak-kanak perlu tahu bahawa perasaan mereka adalah penting kepada ibu bapa dan akan diambil serius.

2. BANTU ANAK MELUAHKAN PERASAAN MEREKA DENGAN KATA-KATA

Tingkah laku anak-anak sering kali dapat memberi petunjuk kepada perasaan sedih atau kemarahan mereka. Jadilah pendengar yang baik, walaupun sukar bagi anda untuk mendengar apa yang mereka katakan.

3. MENGIYAKAN PERASAAN MEREKA

Mengatakan ‘saya tahu awak berasa sedih sekarang’ atau ‘saya tahu awak sepi tanpa ayah di sini’ membolehkan anak-anak mengetahui bahawa perasaan mereka adalah benar. Penting untuk anda menggalakkan anak-anak meluahkan semuanya sebelum anda mula menawarkan cara untuk menjadikannya lebih baik. Biarkan kanak-kanak tahu bahawa mereka boleh berasa gembira, lega atau teruja apabila bercakap mengenai masa depan.

4. TAWARKAN SOKONGAN

Ajukan soalan seperti ‘apa yang dapat membantu awak berasa lebih baik?’ kepada anak-anak. Mereka mungkin tidak dapat menyebutnya, tetapi anda boleh mencadangkan beberapa idea.

Kanak-kanak yang lebih kecil mungkin sangat menghargai tawaran untuk menghubungi bapanya melalui telefon atau melukis lukisan untuk diberikan kepada ibunya.

Anak yang lebih besar mungkin mempunyai kemahuan lain yang tidak anda ketahui. Jadi, apabila anda bertanya soalan itu, ia membuka ruang kepada anak-anak untuk meluahkan keinginannya. Ia bukan saja dapat mengelakkan mereka berasa bersalah atau terabai, malah cara ini mampu memperbaiki hubungan anak dengan bapa atau ibu yang tidak tinggal bersamanya.

5. PASTIKAN DIRI ANDA SIHAT

Bagi orang dewasa, perpisahan dan perceraian boleh membuatkan mereka sangat tertekan. Tekanan itu bertambah dengan masalah berkaitan hak penjagaan, tuntutan atau pembahagian harta dan urusan kewangan yang boleh membawa kepada perkara lebih buruk.

Mencari cara untuk menguruskan tekanan sendiri adalah penting untuk anda dan seluruh keluarga. Memastikan diri sentiasa sihat secara fizikal dan emosi mungkin dapat membantu anda menghadapi kesan tekanan. Malah dengan memenuhi keperluan sendiri, anda boleh memastikan bahawa anda berada dalam keadaan terbaik untuk menjaga anak-anak.

6. DAPATKAN BANTUAN

Ini bukan masanya untuk anda lalui semuanya sendirian. Cari kumpulan sokongan, berbincang dengan orang lain yang pernah melaluinya, gunakan sumber dalam talian atau tanya doktor mahupun pemimpin agama. Apabila anda mendapatkan bantuan, anda sebenarnya memberi contoh yang baik kepada anak-anak dari segi cara melakukan penyesuaian yang sihat untuk perubahan ini.

Bantuan kaunselor, ahli terapi atau rakan juga akan mengekalkan sempadan yang sihat dengan anak-anak anda. Penting bagi anda untuk tidak mengharapkan anak memberikan sepenuh sokongan apatah lagi jika anak masih kecil. Anak yang lebih besar dan mahu berbuat demikian boleh cuba membuat anda berasa lebih baik dengan cara masing-masing.

Bagaimanapun, lebih baik jangan biarkan mereka menjadi penyokong emosi anda. Biarkan anak-anak tahu bagaimana tersentuhnya anda dengan sifat dan kebaikan mereka, tetapi luahkan masalah, tekanan hanya kepada rakan atau ahli terapi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 5:00 AM